Jangan balik kampung??

Ini adalah cerita pendek yang baru saja saya tulis. Saya tak pasti sama ada ia boleh dikategorikan sebagai cerpen satira. Tajuknya orang kampung balik beraya. Selamat membaca bagi sesiapa yang terjumpa tulisan ni.

Bijan orang kampung. Mak bapak Bijan ada di kampung nun di selatan Semenanjung. Sebulan atau dua bulan sekali Bijan angkut anak isteri balik ke kampung yang menjadi tanah kelahiran dan saksi kepada zaman kanak-kanak dan remajanya. Sungguh, Bijan sangat cintakan desa halamannya. Memori suka dan duka terpahat di situ. Itulah juga yang sering Bijan ceritakan kepada anak-anak setiap kali mereka meluangkan masa bersama-sama di rumah atau berada di dalam kereta.

Dengan anak-anak, Bijan cipta dunia persahabatan antara dia dan Awatif dan Adnin. Dia mahu kedua-dua anak gadisnya merasai keberadaan seorang bapa dalam lingkungan dunia pembesaran mereka. Sedia untuk berkongsi apa-apa sahaja cerita dengannya. Begitu juga dengan isterinya.

Bercerita tentang balik kampung, ada masa-masa memang Bijan tidak cukup duit untuk pulang. Ada kewajipan yang perlu dilunaskan. Bijan kena selesaikan pembayaran insurans kereta dan cukai jalan yang telah tamat tempoh dan kadang-kala kereta Bijan yang dua buah itu perlu diservis dan mungkin juga ada kerosakan di mana-mana. Namun, bila hati dipaut untuk pulang, dia akan pulang.

Bijan positif. Masa bersama-sama dengan mak bapak bukannya banyak mana pun diperuntukkan. Tidak perlu Bijan terlalu berkira-kira dan mencongak, yang dia akan kehabisan duit sebaik sahaja pulang ke ibu kota. Duit boleh dicari, tapi mak dan bapak itu sahajalah satu-satunya.

Pernah sekali duit dalam akaun hanya ada RM200. Bapak telefon suruh balik sebab mak jatuh sakit. Sebaik sahaja talian dimatikan, Bijan pandang muka isteri yang sedang menyusukan Adnin. Sayangnya Bijan pada isteri kerana si isteri ini sangat bijak menelah perubahan wajah Bijan.

Isteri memujuk. Isteri yang bekerja sebagai pembantu tadbir itu pun manalah ada gaji yang besar. Dia pun sudah banyak membantu Bijan. Menutup lompong-lompong yang tidak mampu ditutup oleh Bijan. Sementelah mereka baharu sahaja melangsaikan yuran tuisyen Awatif yang akan menduduki UPSR dan mengganti tayar kereta Viva yang telah haus.

Bijan masih belum beri kata putus kepada mak. Dia tahu mak rindukan cucu-cucunya. Kalau ayat tak dapat balik itu yang disuakan ke telinga mak, Bijan seratus peratus pasti mak akan sedih. Walaupun, mak akan kata tak mengapa. Nak buat macamana kalau tak boleh balik. Sakit dada Bijan kalau terpaksa mengecewakan mak.

Setelah berbincang dan berpakat dengan isteri, mereka bersetuju untuk pulang. Tambah RM100 yang dihulur oleh isteri, mereka akan berbekalkan RM300 sahaja untuk pulang. Cukuplah untuk duit tol dan minyak. Bijan lapangkan dada. Insya Allah, mana tahu Allah akan beri rezeki daripada sumber yang tidak disangka.

Bijan sedang solat Isyak apabila tiba-tiba dia rasakan isteri sedang duduk bersimpuh di tepinya. Sebaik sahaja salam kiri diberi, wajah isteri yang tersenyum lebar membuatkan dia cuak. Sudah tentu-tentu Bijan hairan. Sampul surat kecil berwarna coklat dunjukkan kepadanya. Dia buka lantas keluar not-not RM50. Bijan terpinga-pinga. Itu adalah RM1000 yang ditemui oleh si isteri dalam sampul surat yang diselitkan di celah-celah pakaian, benar-benar melegakan Bijan.

Itu duit kutu yang disimpan untuk perbaharui insuran dan cukai jalan kereta bulan hadapan. Isteri lupa yang dia menerima duit itu dua bulan lepas. Baharu sekejap tadi dia teringat yang dia seperti ada menyimpan duit di rumah. Bijan gembira tidak terperi. Bijan yakin bila kita berniat baik, Allah pasti akan lorongkan jalan yang mudah dan tidak dijangka. Malam itu mereka bergerak pulang dengan hati yang sangat lapang dan syukur yang tidak terkira.

Bagi Bijan, menggembirakan hati mak bapak adalah perkara yang paling utama. Dia tidak nafikan, pulang ke kampung akan melibatkan penggunaan wang yang agak besar. Tetapi, dia bersyukur kerana isteri tidak pernah mendesak dan meminta-minta benda yang bukan-bukan semata-mata untuk menunjuk-nunjuk kepada saudar-mara dan orang kampung.

Raya sudah dekat. Bijan sekeluarga tidak perlukan kereta baharu untuk beraya. Isteri tidak perlukan barang kemas baharu. Perabot apatah lagi. Lagipun mereka akan habiskan masa di kampung selama seminggu. Kalau ada orang beraya ke rumah mereka nanti pun, tidak ada pula rasanya yang sibuk bertanya kenapa tidak tukar sofa, langsir, karpet? Makna raya bukan itu bagi Bijan.

Orang yang sibuk tentang perkara-perkara itu, sudah tentu orang yang banyak duit. Orang yang tidak kisah duitnya dialirkan kepada benda-benda yang baharu yang itulah yang membuatkan mereka bahagia.

Paling penting adalah meluangkan masa bersama orang tua. Mengeratkan silaturahim dengan saudara mara dan sahabat handai yang jarang ditemui. Alangkah sedihnya mak bapak, waktu yang paling bermakna untuk habiskan masa bersama-sama, kita tiada di sisi mereka. Jangan kerana takut duit habis, kita biarkan mereka menangis.

Advertisements

Tiada Inai di Jarinya

Orang selalu kata, tak kenal maka tak cinta. Mungkin itu yang paling sesuai Madeehah katakan tentang hubungannya dengan Maleek. Walaupun mereka tidaklah terlalu rapat selepas perkenalan mereka tetapi Madeehah rasa dia boleh berkawan dengan Maleek. Bukan jatuh cinta tapi ingin benar memahami seorang Adam.

Sewaktu belajar dahulu, dia tidak mempunyai ramai kawan lelaki. Malah dia bukanlah seorang pelajar perempuan yang senang didampingi kerana sifatnya yang sentiasa memasang tembok di hadapannya setiap kali berada di kalangan kaum lelaki. Entahlah, dia terlalu pemalu. Itu sifat semulajadinya! Namun semakin menginjak ke alam yang lebih dewasa, dia mula salah tiada salahnya menjalinkan hubungan yang erat dengan lelaki. Erat dan rapat tidak semestinya membibitkan rasa cinta. Bukankah perasaan cinta itu terlalu istimewa? Akan datang apabila bertemu dengan pria pilihan?

Namun, dia tahu ada batasan yang perlu dijaga antara dia dan Maleek. Dia nampak sikap Maleek yang terlalu longgar batasannya dengan perempuan. Kadang-kadang dengan selamba dia menyentuh tangan Madeehah. Bagi orang seperti Maleek,  kalau marah pun jawapannya selamba sahaja. Tak luak pun kalau setakat tersentuh macam tu. Geram dia dengan perangai Maleek. Apa lagi dengan penuh hikmah dia menegur lelaki itu.

Tiada Inai di Jarinya

Kalau bahasa kasarnya, terkejut beruk Madeehah apabila sekujur tubuh yang sedang duduk meneliti beberapa dokumen di hadapannya. Diakah? Benarkah? Kecilnya dunia ini! Dalam separuh sedar dia memberi salam lantas lelaki yang mengenakan kemeja berwarna biru laut dengan tie berwarna biru muda itu mendongak. Pantas riak wajahnya berubah. Rasanya kedua-dua mereka mengalami kejutan saat itu.

Madeehah berusaha menenangkan perasaannya. Entah kenapa dia rasa gugup mungkin mengenangkan kesilapannya tempoh hari terhadap lelaki itu. “En Maleek?” Dia memulakan pertanyaan sebagai tuan rumah. Gila! Jantungnya memang berdegup kencang. Memang sejak peristiwa itu, dia selalu berdoa supaya dipertemukan dengan lelaki itu tetapi perasaan ini terlalu menggila. “Err..ya saya. Cik Madeehah?” Madeehah mengangguk. Lelaki itu tergelak kecil. “Alhamdulillah, berjumpa juga saya dengan cik.” Madeehah hairan dengan pernyataan itu. Fakta atau auta? Ikhlaskah dia? Namun dia hanya mendiamkan diri, ingin terus mendengar penjelasan lelaki itu.

Madeehah mempersilakan lelaki itu duduk. “Terlebih dahulu, memang saya perlu minta maaf dengan Cik atas kekasaran saya tempoh hari. Frankly speaking, memang saya pun terkejut kenapa saya boleh beraksi begitu depan Cik. ” Ish, boleh percaya ke dia ni? bisik hati Madeehah. Madeehah terus mengambil keputusan untuk meluahkan rasa maaf kepada lelaki bernama Maleek Irwasyh itu. Lantas melarikan diri ke bilik, mendapatkan wang di dalam beg duit yang disimpan di dalam sampul surat. Terpinga-pinga lelaki itu melihat gelagat Madeehah yang tiba-tiba kalut tapi comel di matanya! Dia tersenyum sambil terus sabar menanti kehadiran gadis itu. Ada rasa tenang dan bahagia menyelinap dalam hatinya saat itu. Mungkin didorong oleh rasa lega kerana sekian lama dia menyimpan rasa sesal dengan gelagatnya dahulu.

heliza helmi and awal ashaari

Gambar sekadar hiasan. Nak ambil mood mengolah cerita

Tiada Inai di Jarinya

Mata Madeehah hinggap di pintu kaca biliknya yang telah membawa Suraya keluar dari situ. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi dan dapat merasakan keselesaan paling maksima. Pandangan ditebarkan pula ke atas meja kerja yang menempatkan timbunan surat yang harus juga diberi perhatian. Tiba-tiba dia terasa bosan, bosan dengan kehidupan yang terlalu mendambakan diri kepada kerja. Dia mengeluh perlahan. Telefon bimbitnya yang berbunyi menjadi penyelamat agar dia tidak terus dilamun dengan keluhan dan desahan.

Dia langsung tidak melihat skrin telefon, lantas menjawab panggilan tersebut. Mendengar suara itu, Madeehah tersenyum. Terasa seluruh desah dan resah terlerai. Dia bertanya khabar lantas tergelak kecil apabila mendengar suara kecil itu menjawab pertanyaannya. Dia leka menjawab pertanyaan manja si kecil. Sesekali dia mengusik. Matanya mempamerkan wajah si kecil yang comel dengan sepasang lesung pipit di pipi. Madeehah senang dengan perasaannya ketika ini dan terasa mahu memeluk si kecil yang menjadi penghibur di kala dukanya.

Pintu kaca biliknya dikuak. Menjengul wajah Suraya dengan muka yang agak pelik. Dia memberi isyarat, mengatakan tetamu yang telah tiba menanti di bilik mesyuarat. Dia memberi isyarat supaya menunggu selama 5 minit. Kemudian meminta diri daripada si kecil lalu berjanji akan menemuinya selepas habis waktu kerja nanti.

“Maaf, Aya. Encik Maleek Irwasyh dah sampai ya?” Dia menyoal Suraya yang masih tercegat di situ sambil tersenyum. Manis gadis itu tersenyum. Ya, Cik Madeehah. Saya dah banyak kali ketuk pintu tapi Cik tak dengar. Sebab tu saya masuk saja tadi. Maaf ya, cik.” Gadis itu memang kaya dengan budi bahasa. “Tak apa, Aya. Saya on the line tadi. Memang tak dengar tadi.” Dia menjelaskan situasi. Suraya dapat melihat perubahan mood Madeehah. “Wah! Bersemangat Cik. Tadi cakap dengan pakwe ya?” Madeehah gelak kecil, sedar dengan cubaan Suraya untuk serkap jarang. “Tak adalah. Manalah saya ni ada pakwe. Eh? Jomlah. Kesian pulak tetamu kita dah tunggu lama.” Mereka segera beralih ke bilik mesyuarat yang telah bersebelahan dengan bilik Madeehah.

Tulisan Tanpa Tajuk

Pagi Isnin itu, rutin kerja harian dirasakan membosankan. Melihat timbunan dokumen dan fail yang perlu diteliti membuatkan dia mengeluh. Terasa mahu melarikan diri dari semua itu tetapi kecintaan pada kerjaya menghalang dia melakukan kerja yang tidak masuk akal itu.

Dari pintu kaca biliknya, dia melihat pembantu tadbirnya memegang beberapa buah fail yang berkehendak kepada semakan dan tindakannya. Dia cuba senyum, memujuk hati supaya melupakan rasa bosan yang membelenggunya ketika ini. Perlu mengakui, inilah kehidupan. Dia memberi isyarat menyuruh gadis lepasa kolej swasta beberapa bulan lalu itu masuk. Gadis itu tampak manis dengan kebaya ketat polos berwarna hijau lumut. Tidak seperti hari-hari biasa di mana gadis bernama Suraya itu lebih senang mengenakan blaus dan seluar slack.

“Wah! Cantik awak hari ni,”puji Madeehah. Dia sebenarnya jarang memuji tetapi sekiranya pemandangan yang terbentang di hadapan menarik matanya, dengan mudah pujian terlontar dari bibirnya. Suraya senyum malu. “Biasa sajalah, kak. Sesekali tukar imej.” Suraya membalas senang. Dia menghulurkan tiga buah ABBA fail kepada Madeeehah. “Ini fail sebut harga buku Pesona Pengantin, senarai buku terkini keluaran syarikat kita dan resume untuk pembantu Encik Rashidi. Encik Rashidi minta Kak Dihah pilih sebab Kak Dihah yang ketuai temuduga hari tu.” Madeehah mengangguk faham.

“Lagi satu, tadi saya terima panggilan daripada syarikat percetakan Pantas Pintar. Macam biasa mereka nak datang untuk hantar profil syarikat mereka. Dah 2 kali mereka telefon, minta tetapkan temujanji dengan Kak Dihah. Tapi disebabkan Kak Dihah tak ada kat pejabat saya minta mereka datang hari ni lah.” Lancar Suraya memberi maklumat. Madeehah tidak menafikan kebolehan PR gadis itu walaupun dia masih belum menerima diplomanya. Rezekinya murah, belum lagi konvokesyen sudah mendapat pekerjaan. Madeehah menyandarkan tubuh ke kerusi. Dia cuba mengingat nama pencetak yang disebut oleh Suraya tadi. Nama itu seperti biasa didengari. Suraya seperti memahami reaksi Madeeehah.

“Bukankah Pantas Pintar tu adalah syarikat percetakan bumiputera terbesar di Malaysia, kak?” Dia masih berdiri walaupun telah disuruh duduk oleh Madeehah tadi. Dia tahu Madeehah tidak menganggapnya sebagai pekerja bawahan kerana sejak hari pertama dia melapor diri, Madeehah tidak membenarkan Suraya memanggilnya dengan gelaran cik atau puan. Cukup dengan kakak sahaja. Suraya senang dengan gadis tinggi lampai yang amat komited dengan kerjanya itu.

“Ya..betul. Baru Kak Dihah ingat. Pukul berapa temujanji tu, Aya?” Madeehah ingin mendapatkan kepastian. “Pukul 10 pagi. Nak saya sediakan makanan dan minuman ke, kak?” Suraya bertindak seperti seorang setiausaha. Madeehah tergelak. “Aya, Aya. Jangan susahkan diri awak. Nanti saya jemput mereka makan di restoran hujung lot kedai ni sajalah.” Suraya senyum malu. Mukanya yang putih kuning memerah.

Apabila Aku Mula Berkarya

Senja di desa. Indah dan mendamaikan. Lukisan di langit mencorak warna yang cukup indah. Aduhai perasaan…apabila berada dalam suasana begini hati mula berbicara bagai pujangga. Dia senyum nipis, menyedari tabiatnya.

Ada satu perasaan yang dirasakan saat ini. Rindu. Entah kepada rindu ini didambakan. Tetapi rasa rindu ini dibuai indah tatkala mengingatkan satu nama. Tahukah si empunya nama itu tentang apa yang dirasainya? Mungkin tidak. Lelaki itu bukanlah orang yang paling rapat dalam hidupnya. Mereka hanya mengenali di persimpangan jalan. Jalan yang telah menyebabkan timbulnya pergaduhan kecil antara dia dan lelaki itu. Siapa yang bersalah? Pastinya dia, yang suka benar berangan sewaktu memandu. Akibatnya berlaku pelanggaran kecil antara kereta comelnya dengan kereta mata belalang lelaki itu. Aduh…si kancil dengan si gajah. Sudah pasti dia yang menerima akibatnya walaupun realitinya dia yang terlanggar belakang kereta itu.

Rasa bersalah yang menggunung sudah pasti. Dia ingat masih bagaimana dia kaku di tempat duduk buat seketika. Trauma. Apabila cermin tingkap di ketuk beberapa kali barulah dia kembali ke alam realiti. Wajah lelaki itu tenang tetapi pucat di wajahnya hanya Allah yang Mengetahui. Dalam keadaan begitu pun, lelaki itu masih mampu menghadiahkan senyuman. Dia kebingungan. Perlahan-lahan dia keluar dari kereta yang dibeli setelah genap setahun menjadi seorang pekerja.

“Oo..patutlah. Rabun rupanya.” Selamba lelaki itu bersuara dengan senyum sinisnya. Dia yang terleka dengan senyuman yang dirasakan ikhlas tadi terus tersentak. Harap muka saja boleh tahan, tapi bahasa kasar, getus hati kecilnya. Namun disebabkan dia yang bersalah, dimaniskan juga mukanya yang memang manis itu. Dan berlakulah dialog-dialog biasa bagi orang sudah berbuat salah. “Tak ada maknanya awak minta maaf daripada saya. Macam ni lah. Saya bagi awak RM200 ni, awak pergilah buat cermin mata baru yang lebih tinggi kuasanya. Tak adalah lepas ni ada orang lain lagi yang menjadi mangsa awak.” Lelaki itu masih dengan kata-kata bisanya walaupun intonasinya cukup lembut dan berhemah.

“Eh awak ni. Tak betul ke? Dahlah kurang asam. Saya bawa awak pergi workshop abang sayalah. Baiki apa yang patut.” Dia masih cuba berbudi bahasa walaupun hakikatnya kereta dia yang lebih merana. “Tak payahlah cik adik ooii. Kereta saya ni tak boleh masuk bengkel sebarangan ni. No standard la.” Ya Allah berlagaknya lelaki ini. “Saya ni nak menyelesaikan masalah ni cepat. Nak pergi kerja. Boleh tak jangan jadi tipikal. Nak gaduh-gaduh buat apa? Kalau awak nak minta ganti rugi saya bayar. Tapi bukan hari ni lah. Awak bagi nombor telefon awak.” Geram yang ditahan tadi sudah bertukar amarah. “Saya kata tak payah, tak payahlah. Ambil duit ni, buat cermin mata baru.” 2 keping RM100 disumbat dalam tapak tangan yang digenggam sedari tadi. Kemudian lelaki itu terus berlalu, memecut keretanya. Dia terlongo. Seumur hidup tak pernah dia berjumpa dengan orang begini.

Itulah kali terakhir dia berjumpa dengan lelaki itu. Duit itu sudah pasti disimpan dan doanya semoga Allah membuka pertemuannya dengan lelaki itu sekali lagi. Hanya dengan satu tujuan, untuk memulangkan duit itu dan pastinya memohon maaf di atas kecuaiannya.