Ini memang betul-betul demam! Gara-gara Descendants of The Sun!

Salam siaran. Dah April pun.

Dan dalam bulan 3 dan 4 ni saya demam. Demam drama Korea yang paling popular dan trending sekarang ini…Descendants of The Sun (DOTS). Seriously, saya memang tak tahu langsung pasal kewujudan drama yang menampilkan heroin Hallju kegemaran saya, Song Hyekyo ini.

Saya tahu pun melalui ofismate saya, yang sama penggemar drama Korea macam saya hehe. Saya memang suka drama Korea sejak zaman Autumn in My Heart tapi tak semua drama yang saya tengok. Saya tapis jugak la. Kalau pelakon favourite saya ada dan jalan ceritanya menarik, memang saya layan la. Contoh macam drama, A Man Who In Loves lakonan hero kegemaran saya, Song Seungheun. Tapi ada jugak drama yang saya tak kenal atau suka pelakonnya tapi disebabkan cerita tu best, saya tengoklah. Contoh, drama The Village-Achiara.

Berbalik pada DOTS ni, ia mengisahkan kisah cinta antara seorang tentera Special Force lakonan Song Joongki sebagai Kapten Yoo Sin Jin/ Big Boss dan Song Hye Kyo sebagai Dr Kang Meo Yeon. Suka sangat masa first time diaorang jumpa. Gaduh-gaduh dulu. Berprasangka. Lepas tu, hati dah mula something. Cute sangat!

Saya start tengok episod 3 atau 4. Masa tu scene Kapten Yoo dan Dr Kang berjalan kat satu pulau yang ada bangkai kapal besar tu. Macam merepek je sebab tentera dengan doktor kot dan time tu pulak kat tempat yang ditugaskan untuk tugasan keamanan? Macamana boleh bersiar-siar begitu. Hehe…Tapi disebabkan saya suka SHK, saya try tengok marathon dari episod 1-4 . Haaa….dah faham jalan cerita dan betapa sweetnya mereka berdua ni, demam terus. Addicted! Tak pernah macam ni kot. Sampaikan wallpaper, handphone, whatsapp, pc kat opis pun saya letak gambar diorang. Bermula daripada situ la saya start google tentang SJK. Mamat ni bila pakai baju biasa, nampak biasa je. Tapi dia nampak sangat manly dengan persalinan tentera tu. Tak cair???

Sekarang dah nak masuk episod 13. Diorang dah balik ke Korea selepas terlibat dalam misi keselamatan di Uruk. Azamnya nak tahan diri dari tengok sehinggalah minggu depan. Tapi tak tahulah. Dah la sekarang ni setiap hari intai IG tengok diorang yang sekarang ni sedang buat promosi kat Hong Kong. Sebagaimana sweet dan kuatnya chemistry diorang dalam drama begitulah kat luar. Sampai peminat harap sangat diorang couple.

Ok…mai saya cerita kenapa la saya suka sangat drama ni yang dah tersenarai dalam K Wave yang betul-betul melanda seluruh dunia. Dulu kan kecoh dengan Oppa Gangnam Style. Sekarang DOTS pulak.

  1. SHK ni memang sentiasa cantik kan? Cantik sangat. Lakonannya sebagai doktor yang tegas, berprinsip, komited dan sanggup buat apa sahaja untuk pesakitnya memang berkesan. SJK ni saya memang saya tak pernah kenal. Saya mula suka dia tapi saya paling suka tengok dia dalam drama haha. Karakter sebagai tentera yang berdisiplin, berkaliber, handsome, smart, berkarisma dan juga sangat komited dengan tugasan menjaga keselamatan negara memang sangat memukau! Tapi dalam masa yang sama dia juga ada sisi humor dan kelakarnya. Ish pendek kata sweet sangat dua orang ni disatukan. Tersengih-sengih tengok momen diorang berdua.

  2. Lagu OSTnya pun best di halwa telinga. Dah siap download pun huhu…Over! (Sambil buat entri ni pun sambil dengar lagu-lagunya).

  3. Jalan cerita yang berbeza. Percintaan antara seorang tentera dan doktor. Rasanya setakat saya layan drama Korea ni, tak ada lagi jalan cerita begini.

  4. Tak ada adegan makan-makan penuh meja yang biasa kelihatan dalam drama Korea. Tak banyak juga adegan makan.

  5. Sound effect yang superb masa adegan tembak-menembak, letupan, bunyi helikopter. Lengkap dengan elemen debar, cemas, manis, dan lucu.

  6. Skripnya yang menarik yang diakui sendiri oleh SJK.

  7. Sinematografi yang sangat cantik! Serius terutama adegan-adegan masa kat Uruk tu.

  8. Team production yang beri segala tenaga sepenuhnya. Kalau tak silap drama ni jalani penggambaran selama 285 hari. Lama kan? Perlukan kekuatan fizikal dan mental bukan? Good job team DOTS. Respect u alls walaupun tak kenal. Apa-apa kerja pun kalau kita buat dengan bersungguh-sungguh mesti hasilkan pulangan yang sangat memeberangsangkan dan kepuasan yang tak boleh digambarkan. Bukan?

  9. Saya paling kagum dengan adegan gempa bumi yang berlaku kat Uruk. Nampak real! Dan disebabkan peristiwa tu Big Boss dan Dr Kang saling jatuh cinta.

  10. Poster drama yang sangat cantik dan meaningful! Rasanya tertumpah perasaan kasih, sayang, cinta dan rindu Big Boss kepada Dr Kang. Perempuan sukakan bila lelaki ambil berat dan pamerkan perasaan sayang tu.

  11. Saya pun sukakan lakonan Jin Goo sebagai Sarjan Seo Dae Young. Karismanya sangat terserlah dalam pakaian tentera.

  12. Cuma satu yang tak berkenan dengan drama Korea sekarang ni. Banyak sangat adegan cium. Rasanya hampir dramanya mesti ada adegan ni. Dah macam cerita Barat dah. Saya lebih suka kalau hero dan heroin pamerkan kasih sayang dengan renungan mata atau pelukan. Tak sesuai nak tengok dengan anak-anak.

    Ok la itu sahaja. Saya memang berharap demam saya ni cepat kebah. Rasanya macam dah dok kat satu dunia lain sebab asyik memikirkan pasal DOTS. Eh entah apa-apa je kan? Huhu.. Dah la tiap2 hari layan OSTnya sama ada dalam kereta ataupun kat opis.

LoveDOTSCantik, kan? Katanya gambar ni diambil oleh salah seorang krew. SJK pun paling suka gambar ni.

DescendedSuka scene ni. Terserlah karismanya.

dots2Antara scene manis yang digemari

Advertisements

Berjaya juga buat puding raja. Suka! Suka!

Assalamualaikum…

Setelah berkali-kali percubaan buat puding raja tanpa jala emas, akhirnya hari itu memang hari yang menggembirakan buat saya! Menjadi juga jala emas saya. Suka sangat! Alhamdulillah….

Al-kisah, department saya nak buat makan-makan sempena majlis perpisahan Ellia Zuliana aka Nana yang akan berhijrah ke agensi kerajaan. Kawan-kawan dok request nak makan puding raja. Teringinlah…kesian pulak mendengarnya kan? Jadi, punyalah nekad memang nak buat jugak.

Bab cari barang renyah sikitlah. Majlisnya hari Selasa. Jadi, hari Ahad saya ajak my adeng pergi Giant. Ingat nak beli semua barang kat sana. Sekali ada juga yang tak adanya. Barang yang dapat hanya ceri dan buah prun. Buah gajusnya saya tak berkenan sebab x lawa, kecut dan kecik. Kalau ikut hati nak beli sebab malas nak fikir dah. tapi bila fikir semula, kita ni nak bagi orang makan mesti guna bahan yang terbaik, ya dok? Bahan untuk jala emas tu paling elok guna telur itik tapi tak ada juga kat Giant tu huhu…Balik dari Giant menyinggah pulak kedai jual bahan kek. Beli kacang gajus dan corong untuk ‘menjala’ nanti.

Haa…tak cukup bahan lagi tu. Bahan utamanya…pisang saya kena cari kat pasar malam hari Isnin pulak. Bertabahlah hati sebab kenangkan kawan-kawan. Hari Isnin, saya dan my adeng cuti sebab Tuah ada 2 temujanji kat HUKM. Petang pulak, temujanji Saif kat Klinik Kesihatan Bandar Baru Bangi. Balik klinik, singgah pasar malam. Pisang untuk puding raja ni tak boleh guna sebarangan pisang, tau? Kena guna pisang lemak manis. Memang sangat sedap! Selalunya ada kat pasar malam tu tapi hari tu mungkin saya datang awal kot, sebelum pukul 5 orang yang jual pisang tu tak ada pulak. Saya cuba meninjau kot-kot bernasib baik. Alhamdulillah ada jugak orang jual pisang tapi pisang emas. Tak apalah, beli jela. Pisang emas pun ok cuba rasanya tak semantap pisang lemak manis la. Pisang lemak manis ni kalau kat kampung saya memang senang la nak cari. Dah asal makanannya dari Pekan Bandar Diraja, kan?

Operasi seterusnya mencari telur itik. Tapi memang tak ada rezeki, tak jumpa telurnya. Jadi, alternatifnya guna telur ayam sajalah. Telur ayam pun ok tapi ia tak selikat dan warnanya pucat tak macam telur itik. Tak apa,, take a breath! Yang penting kita niat buat dengan kasih sayang hehe…

Lepas Maghrib, my adeng tolong masak. Saya start kerja dalam pukul 9.30 malam. Siap semua dengan basuh pinggan mangkuk sekali dalam pukul 11.30. Anak-anak pun tak tidur lagi. Kuat betul 2 hero saya berjaga.

Okey, sekali lagi bahan-bahan untuk pusing raja (ini ikut apa yang saya buat). Sebelum ni dah ada dalam entri https://ilhamfatihah.wordpress.com/tag/puding-raja/ tapi yang ni saya copy resepi orang lain.

Bahan-bahan:

2 ikat pisang
Minyak masak untuk menggoreng
Sedikit butter/marjerin

untuk jala emas:

7 biji telur ayam (seeloknya telur itik)
2 sudu gula
1 cawan air

untuk hiasan:

ceri
kacang gajus   (agak-agak berapa banyak nak guna)
buah prun

untuk kuah:

satu tin susu cair
satu tin air
4 susu besar tepung kastard (dibancuh dengan air terlebih dahulu)
Sedikit garam
5-6 sudu gula

Cara membuat:

Mula-mula saya buat jala emas dulu. Caranya didihkan air dengan gula. Dah mendidih, mulalah menjala macam buat roti jala tu. Percubaan pertama,jala emas saya ni memang tak berapa cantik la.

Kemudian, saya goreng sekejap buah gajus tanpa minyak. Agak-agak jangan sampai hangus pulak.

Step ketiga, saya goreng pisang dengan cara deep frying. Pisang kena tenggelam dalam minyak. Ini pun goreng sekejap saja. Pisang tu dah kuning sikit, terus angkat. Nanti lembik pulak. Marjerin untuk bagi rasa pisang tu sedap dan lemak sikit.

Kuah puding pulak, campurkan semua bahan dalam periuk dan masak atas api sederhana. Dah pekat sikit tutup api.

Seterusnya masa untuk menyusun dalam bekas dan menghias. Yang ni ikut kreativiti sendiri, ya?

Nak makan, kaut bahan pisang dan curah kuah di atasnya. Dijamin sangat sedap!

Alhamdulillah. Bawak pergi opis, sekejap saja dah licin. Itupun kawan-kawan kata kenapa bawak sikit. Huhu..maaflah kawan-kawan tu saja yang termampu mengikut keupayaan tenaga yang ada. Nasib baik hari itu Tuah dan Saif tak kacau. Cuma masa nak menghias tu, Tuah tanya, ibu masak apa tu, ibu? Hehehe..

Tempahan pun dah ada hahaha..ini sangat best! Insya Allah…saya kena usya tempat yang jual pisang dan telur itik dulu. Di samping, kira kos untuk jualan. Lepas tu baru boleh penuhi permintaan kawan-kawan.

hasil

Ini yang saya dapat menggunakan mengikut kiraan bahan-bahan yang digunaka. Yang 2 bekas bulat tu, saya bagi satu masing-masing untuk cikgu anak-anak. 


puding


 

Jom layan drama ‘3 Days’

Disebabkan keterujaan saya yang masih belum hilang terhadap drama terbaru keluaran SBS ‘3 Days’ ni, jadi saya sangat berbesar hati nak kongsi tentang review drama yang didapati memang menerima banyak pujian dan dikatakan drama Korea yang lain daripada yang lain hehehe…

Sewaktu review ni dibuat saya sudahpun habis menonton kesemua episod secara online. Yelah…nak tunggu kat Channel One Astro memang jenuh la hehe…sekarang, kalau di tv baru dalam 4 episod, kalau tak silap. Tayangannya hanya hari Ahad. Siang, dari pukul 12.30 hingga pukul 3 rasanya untuk 2 episod berturut-turut. Malam ada ulangan, pukul 8.45 malam.

Disebabkan saya tak sabar nak tahu kesudahan drama ni, saya boleh layan drama ni secara maraton hari Sabtu dan ahad lepas. Adalah juga berhenti-henti untuk solat, mandi dan uruskan Tuah dan Saif. Sambil nonton, saya lipat kain dan juga gosok baju. Iron Lady memang kena macam tu kan? Korea Korea juga, kerja-kerja rumah jangan diabaikan kiki.

Memang kebelakangan ni saya banyak tengok drama Korea berbanding drama Melayu. Ok, apa cerita kat Channel One sekarang? Temptation (tengok la juga)…Incarnation of Money (ulangan dah tengok dulu)…The Woman Who Married Thrice ( tak layan sangat)…Angel Eyes (tak layan sebab tak suka sangat heroinnya)…Good Daughter, Hana (tengok sikit je).

Macamana saya boleh terjebak dengan 3 Days ni? Hari Ahad 2 minggu lepas, tak pergi mana-mana, jadi memang saya ngadap tv. Dok tekan-tekan remote, cari rancangan yang menarik sambil nak lipat kain. Sekali baca info ndrama ni. Eh, macam menarik je. Kisah seorang pengawal peribadi Presiden Korea, Han Tae-kyung yang mahu membongkar misteri di sebalik kehilangan Presiden Korea, Lee Dong Hwi pada satu malam ketika berehat di rumah penginapan peribadinya dan kematian bapa Tae-kyung  yang mungkin ada kaitan antara kedua-dua kes ni.  Menarik kan?

Lakonan Park Yoochun sebagai Han Tae Kyung memang berkesan. Ini pertama kali saya tengok lakonannya. Suka pulak saya dengan mamat ni. Saya perasan dalam drama ni, dia tak senyum pun sebab terlalu serius memikir, mencari dan menjejak klu-klu. Kisah cinta pun tak ada sangat. Tak ada sebut “sarang hae” hehe… Cuma adalah dia jatuh cinta dengan polis wanita yang banyak tolong dia dari awal hingga akhir kes, lakonan Park Ha-Sun sebagai Yoon Bo Won. Itu pun dipaparkan dalam episod ke-14 kalau tak silap lah. (maaflah, saya ni pelupa). Dialog dia untuk beritahu dia suka kat perempuan tu pun tak straight to the point. Dia cuma cakap antaranya, jangan senyum-senyum kat lelaki lain. Masa cakap tu pun muka dia serius. Hehe..cute sangat saya rasa.

Memang banyak persoalan yang buat kita tertanya-tanya? Siapa bunuh ayah Tae-kyung? Apa yang ada dalam sampul surat bertulis Confidential 98? Siapa tembak Presiden? Kenapa Ham Bong Soo, ketua Tae-kyung nak bunuh Presiden? Apa sebenarnya peristiwa 1998 yang berlaku di Yangjinri dan telah menyebabkan Presiden rasa kesal? Siapa dalang di sebalik semua ini dan kenapa? Dan satu lagi…rupa-rupanya walaupun berkhidmat di Blue House, ramai juga yang jadi musuh dalam selimut!

Info :
Judul       : Three Days @ 3 Days
Genre      : Aksi, thriller
Penulis    : Kim Eun-hee
Arahan    : Shin Kyung-soo
                     Hong Chak-woo
Siaran     : SBS
Lakonan   : Park Yoochun – Han Tae-kyung
                 Son Hyun-joo – Lee Dong-hwi (Presiden Korea)
                 Park Ha-sun – Yoon Bo-won (Konstabel Polis)
                So Yi-hyun – Lee Cha-young (Ejen SWAT yang berkhidmat di Blue House)
                Choi Won-young – Kim Do-jin (CEO Syarikat Jaesin)
Bilangan episod      : 16

Boleh tonton di http://myasiantv.com/ dengan sari kata Bahasa Inggeris. Kalau boleh sabar, tunggulah kat Channel One. Okey, siapa yang ada rasa teruja tu, selamat menonton!

3days

 

 

Buku ini sangat menginspirasikan!

Bismillahirrahmanirrahim.

Entri pertama saya di tahun 2014.

Saya tidak tergolong di kalangan orang yang teruja menyambut tahun baru kerana tidak mahu terikut-ikut dengan budaya barat yang terlalu sibuk dengan sambutan tahun baru. Tetapi saya tetap jadikan setiap tahun baru itu sebagai penanda aras untuk saya capai sesuatu. Terima kasih ya Allah, kerana masih memberikan nafas buat hamba-Mu ini. Walaupun masih banyak kesilapan dan kesalahan yang saya lakukan, sesungguhnya kasih sayang Allah tidak pernah surut buat saya dan keluarga. Masih banyak perkara yang sama mahu lakukan terutama untuk Tuah dan bakal adiknya. 🙂

Membaca dan menghayati catatan Nazali Noor dalam buku Ulu Yam di Liverpool, Aku Bukan Mat Salih Celup lebih memberikan kesedaran kepada saya betapa terlalu banyak impian saya yang mahu lakukan tetapi saya biarkan ia terperuk jauh dalam minda saja tanpa saya berusaha untuk merealisasikannya. (Mood tulisan agak official sebab kesan yang sangat mendalam daripada pembacaan buku ni).

Kenapa saya kata buku ini sangat menginspirasikan?

Pertama – Sesungguhnya dengan sejujurnya saya bersyukur kerana ‘dipertemukan’ dengan buku ini dan dibukakan hati untuk membelek isinya. Antara genre buku yang saya gemari ialah buku motivasi tetapi buku seperti ini tidak banyak dalam koleksi perpustakaan saya. Sebab saya takut ‘ditipu’. Yalah, niat membaca mahu memotivasikan namun selalunya saya kecewa dengan kandungan buku yang langsung tidak membangunkan spiritual saya. Saya tahu, apa-apa perubahan yang kita mahu lakukan bergantung kepada diri sendiri tetapi bak kata Nazali kadang-kadang kita perlukan orang lain untuk membantu kita merealisasikan impian sekurang-kurangnya dengan sokongan dan dorongan mereka.

Kedua – Buku ini adalah buku motivasi pertama yang saya baca dan habiskan dalam masa 3 hari sahaja (disebabkan kekangan rasa mengantuk yang cepat pada waktu malam sejak preggy ni). Selalunya rasanya tak khatam buku genre macam ni saya baca. Tetapi, buku ini buatkan saya jadi tak sabar untuk mengetahui kisah seterusnya dalam hidup Nazali. Sehinggakan saya bawa buku ni ke pejabat dan menghadiri temujanji Tuah di HUKM. Serius saya teruja!

Ketiga – Saya sangat terkesan dengan kehidupan Nazali yang sangat menghargai orang-orang di sekelilingnya. Bukan sahaja ibu bapa, isteri, anak-anak, adik-beradik tetapi juga pelajar-pelajarnya dan sesiapa sahaja. Bagaimana dia terlalu menghargai emaknya? Menyanjung ayahnya? Dan sangat menghargai Puan Ainon…isteri kesayangan yang digambarkan sebagai pendamping paling setia buat dirinya. Mungkin masih ramai orang seperti Nazali. Mungkin juga tak ramai. Tetapi Nazali telah mengangkat watak-watak penting dalam hidupnya dengan ayat yang ringkas namun menyentuh perasaan. Rasanya saya cemburu dengan Puan Ainon yang dilihat sebagai orang paling penting dalan hidup Nazali.Ya, dia telah mengungkapkannya dari hati yang paling dalam dan sebab itulah dia telah berjaya menyentuh hati saya.

Keempat – Beliau berjaya membawa kisah hidupnya daripada seorang kanak-kanak biasa di Ulu Yam hingga menjadi orang luar biasa di Liverpool. Sememangnya dia bertuah dipertemukan dengan 5 watak yang telah memberi impak mendalam dalam dia mengenali potensi diri sendiri.

Saya rasa mahu mempromosikan buku ini kepada sesiapa sahaja. Jadi, jika anda juga mahu sesuatu seperti ini apa kata dapatkan buku ni di kedai-kedai buku berhampiran. Haha..beriklan pulak kita ya?. Buku wajib baca untuk individu yang mahukan sesuatu yang menginspirasikan. Tadi saya dah whatsapp cover buku ni dalam group adik-beradik saya. Senang rasa hati!

Buku ni khabarnya antara buku terlaris di MPH. Dah masuk cetakan kedua. Okey…insya Allah nanti kita sambung di entri seterusnya untuk saya singkap apakah impian saya selama ini?

Terima kasih.

ilhamfatihah.

ImejAmbil dari website alaf21

Peminat MasterChef

Since saya mengandung, saya suka sangat tengok program Masterchef.  Masterchef America, Australia dan Junior Masterchef Australia semua saya ngadap. Nak kata pehtu pegi praktik masak takde pon tapi suka sangat tengok diorang masak dan persembahkan makanan diorang kepada juri. Ish, kalu saya diberi time macam tu mau ke laut rasanya. Pehtu nak suruh orang komen lak masakan kita. Nak tunggu diorang bagi komen, jantung dah macam nak gugur.

Memandangkan sekarang dah ada Masterchef Malaysia, saya  layan Masterchef Malaysia la pulak. Saya follow dari awal. Takat ni saya takde lagi peserta favourite. Yelah, awal lagi. Cuma saya tertarik dengan seorang peserta dari Sabah. Keja penoreh getah tapi waktu pusingan awal aritu dia berjaya mengagumkan juri dengan masakan baratnya. Haaa…Saiful namanya.

Secara keseluruhan saya nampak MCM ni nampak serius. Yelah, tak semua tukang masak macam Chef Wan, boleh berceloteh sambil memasak. Kan aritu Chef Wan komen MCM ni straight sangat. Takpelah, MCM kedua nanti ada la penambaikannya. Lepas ni buat la MCM Junior. Mesti best.

Jadi, marilah kita layan program ni hingga ke episod akhir. Mana tau kita pulak peserta Masterchef Malaysia kedua hahahahaha….

My Princess..My New Favourite

Dah lama jugak la yang saya tak menekuni drama Korea. Kalau tengok pun, tengok macam tu je. Member ngan adik saya dok share cita..banyak cita Korea best sekarang ni macam My Slave Hunter, Iris, The Fugitive Plan B tapi semua saya tak layan. Sebab hero yang saya suka takde walaupun diaorang cakap jalan citenya best.

Tapi, cita terbaru ni tak sanggup saya lepaskan sebab my favourite hero is back!! Kawan saya la dok cite, drama akan on air Januari 2011. Saya ingat dah boleh lah tengok KBS World tapi xde lagi. So apa lagi layan online le..hahaha suka,suka.

Cite dia romantik komedi. Bila saya tengok sorang-sorang kat rumah thru komputer saya boleh tergelak-gelak dan boleh tahan mata tengok sampai kul 12 tengah malam. Kalau esoknya tak keja confirm saya layan sampai pagi. Tapi, cite tu baru 6 episod. Nak tunggu lagu 10 episod. Rasanya jalan citenya boleh jangka. Mula-mula hero ngan heroin gaduh-gaduh lama-lama nanti tanpa disedari diorang jatuh cinta. Saya nak layan jugak citeni  sebab saya nak tengok hero saya sepuas-puasnya hehehe…

My Song Seung Hun in Autumn in My Heart


Tengok?! Hensem kan?

 

Yang ni saya tak tengok sangat sebab banyak sangat konflik

Terbaru…encemnya..

Mahu Ucap Setinggi Tahniah Buat Mereka!

 

Fuhhh! Seriously saya tak sangka pencapaian mereka sehebat ini. Tak sangka…mereka mampu bangkit dari kekalahan dan arini mereka dah jadi jaguh bola sepak Asia Tenggara. Banggaaaa sangat! Masa mula-mula Piala AFF Suzuki ni, saya buat tak tau je. Yelah, takut. Masih mengharap ada perubahan tapi takut mengharap lebih-lebih sangat nanti saya gak yang kecewa. Hehehe…

Bila tengok team Malaysia kalah 1-5 ngan Indonesia, saya tengok macam dah takde harapan Malaysia nak cipta kejayaan…tapi bila dah berjaya ke separuh akhir dan baca komen positif dari surat khabar, saya mula amik tau semula. Separuh akhir lawan Vietnam kat Bukit Jalil, saya tengok macam-macam tu je. My adeng tengok kat stadium. Bukak siaran langsung tapi buat hal lain. Time 2 gol tu pun saya tak tengok  tapi memang tak sangka diorang menang dengan juara bertahan tu.

Time lawan Indonesia kat Bukit Jalil…masya Allah saya tak sangka (tak sangka lagi? hehe) stadium boleh penuh macam tu. Meriah yang tersangat-sangat!!! Tapi, saya tetap tak tengok betul-betul sampai tiga-tiga gol yang cantik tu saya terlepas. Takpelah, yang penting udoh menaaanngggg.. YEEEEE…

Alhamdulillah… kejayaan baru dah tercipta! Setinggi-tinggi tahniah buat semua pemain, jurulatih, pegawai dan semua rakyat Malaysia termasuk saya sebab  Malaysia sudah menambah koleksi kejayaannya untuk dipahatkan di arena antarabangsa. Waaahhhh..bangganya…

Terima kasih dan teruskan perjuangan mencipta lebih banyak kejayaan..K.Rajagopal, Khairul Fahmi, Sharbinee, Safiee Sali, Nor Shahrul Idlan, Ashari, Kunanlan, Mahalli, Muslim, Safiq, Amirulhadi dan semua yang terlibat membentuk skuad Harimau Malaya!

p.s. Saya tak mahu nama Harimau Malaya ditukar kepada Harimau Malaysia. Sebab Harimau Malaya sudah punyai lambang kegagahan dari sebuah megara yang dahulunya adalah Malaya. Biarlah dikekalkan nama bersejarah itu.

Tumpang gembira dengan kejayaan anak-anak muda ni

Teruskan sokongan buat mereka