Baik buruknya media sosial, kita yang tentukan

Segmen siaran Radio Era yang dikendalikan oleh Sepahtu baru-baru ini agak menarik. Saya selalu begitu. Tidak ‘setia’ pada satu saluran radio sahaja. Saya lebih suka menukar-nukar saluran yang dirasakan ‘enak’ di halwa telinga. Selalunya saluran yang lebih banyak memutarkan lagu ataupun ada topik menarik yang diulas, itulah yang saya pilih. Kalau rasa siaran tersebut agak membosankan, saya akan mula menukar-nukar saluran sehingga bertemu dengan yang berkenan di hati.

Kisahnya, saya tertarik dengan topik yang dibincangkan iaitu ‘Digoda atau Tergoda di Media Sosial’. Tajuk ini adalah rentetan daripada pendedahan tentang 22 sebab remeh pasangan yang berkahwin bercerai. Pasangan ini dikatakan pasangan yang telah berkahwin dalam tempoh 5 tahun ke bawah. Antara sebab yang disenaraikan ialah suami tidak suka makan di dalam kereta, isteri sorokkan kopiah suami kerana tidak mahu suami menghabiskan masa berborak di surau, berebut rancangan televisyen, cemburu pasangan berkawan dengan bekas kekasih dan macam-macam lagi.

Tempoh lima tahun perkahwinan ini adalah tempoh yang dilihat rapuh kerana dalam fasa inilah pasangan berusaha mencari keserasian antara satu sama lain. Fasa bercinta dan berkahwin adalah fasa yang berbeza. Ada orang kata fasa bercinta adalah fantasi dan fasa berumahtangga adalah realiti. Satu punca yang menyebabkan pengantin baharu bermasam muka ini memang melekat dalam fikiran saya. Remeh dan kedengaran kelakar. Si suami memicit dari atas. Si isteri pula memicit dari bawah. Berbeza cara memicit ubat gigi pun boleh menjadi isu.

Menurut statistik perceraian yang dikeluarkan, dalam tempoh enam tahun lalu, sebanyak lebih 274,000 pasangan Islam di Malaysia bercerai. Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut mendedahkan sebanyak 38,035 pasangan bercerai sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu.

Berdasarkan statistik itu, secara purata sebanyak 156 kes perceraian berlaku setiap hari atau enam kes bagi setiap jam.

Malah, dilaporkan perceraian pasangan Islam dalam tempoh lima tahun lalu juga menunjukkan peningkatan begitu ketara iaitu daripada 43,749 kes pada 2011 kepada 53,870 kes pada 2014, iaitu naik sebanyak 10,121 kes.

Namun, di sebalik semua punca tersebut hakikatnya ada lagi punca yang lebih besar iaitu penggunaan media sosial yang berlebihan sehingga menggugat keharmonian keluarga. Disebabkan ketaksuban itu, ada yang mula berkenalan dengan teman-teman di media sosial sehingga wujud perasaan sayang dan mula merasakan perkahwinan sedia ada bermasalah. Masakan tidak, pasangan di rumah diabaikan dan kurang berkomunikasi tetapi teman di alam siber itu yang lebih diutamakan. Dari pagi membawa ke malam, hanya teman siber yang dihubungi. Masakan hubungan yang hanya bermula dengan teman biasa boleh berubah kepada teman istimewa?

Berbalik kepada topik di Radio Era tadi, seorang pemanggil wanita menceritakan sendiri pengalaman beliau apabila suaminya mula berkenalan dengan seorang wanita lain di facebook. Kebetulan pula, beliau berkongsi akaun laman sosial itu dengan suaminya. Jadi, apa-apa komen di status atau di gambar-gambar yang dimuatnaik dapat dibaca dan dipantau oleh beliau. Beliau mula menyedari apabila ada seorang wanita yang kerap menekan butang like di status-status mereka.

Pada mulanya beliau tidak mengendahkannya dan menganggap itu perkara biasa. Namun, lama-kelamaan, beliau mula berasa sangsi. Lantas beliau mula memeriksa kotak mesej yang rupa-rupanya banyak memaparkan mesej-mesej yang ‘kurang enak’. Akhirnya, si suami mengakui yang di mempunyai hubungan dengan wanita lain. Dipendekkan cerita, mereka berpisah dan bekas suaminya itu berkahwin dengan wanita tersebut. Malangnya, perkahwinan mereka tidak bertahan lama.

Moralnya di sini, hubungan antara suami atau isteri orang ini hanya keseronokan sementara dan tidak berlandaskan ketulusan hanya keasyikan yang seketika. Beliau sempat menasihatkan kepada para pendengar supaya berusahalah untuk tidak menjalinkan hubungan sama ada dengan isteri atau suami orang.

Kisah sebegini sudah terlalu banyak kita dengar. Ini adalah realiti yang berlaku setiap hari. Dalam dunia yang terlalu mendambakan media sosial pada hari ini, gajet telah menjadi benda paling penting dalam hidup. Kehidupan bagaikan tidak sempurna seandainya sehari tidak menjenguk ke laman sosial.

Teringat pula saya kepada pertanyaan yang pernah saya baca di Majalah Remaja ketika berada di sekolah menengah. Pada ketika itu, tiada lagi penggunaan telefon bimbit. ‘Apakah barang yang wajib apabila keluar dari rumah?’ Selalunya soalan itu ditujukan kepada selebriti untuk sesuatu ruangan di dalam majalah tersebut. Antara jawapan yang masih saya ingat adalah kunci rumah, dompet, kad pengenalan, pen ataupun buku catatan.

Tetapi sekiranya soalan itu ditanyakan pada era ini, sudah tentunya jawapannya adalah telefon bimbit. Rasanya majoriti telah menggunakan telefon pintar yang boleh memuatkan pelbagai perisian seperti facebook, youtube, instagram, permainan Candy Crush Soda (yang telah termasuk di dalam iklan baru-baru ini tentang apa yang remaja lakukan sepanjang hari). Pada hari ini, facebook telah menajdi medium penting dalam kehidupan manusia. Aktiviti seharian dirasakan tidak lengkap tanpa membuka facebook.

Di sisi lain, saya melihat banyak juga manfaat yang kita boleh perolehi daripada facebook. Contohnya, peluang untuk kita membantu mereka yang tidak berkemampuan, membantu mereka yang memerlukan rawatan, tips mendidik anak, nasihat, tazkirah ringkas seperti fenomena ‘Ini Rashid’ yang menjadi viral dan perhatian kebelakangan ini.

Rasanya isu penggunaan laman sosial ini sudah banyak diperkatakan oleh pelbagai pihak termasuk cendekiawan dan ulama.

Menggunakan kemudahan yang ada bukan satu kesalahan cuma, sebagai seorang Islam kita perlu meletakkan had penggunaan bagi menyeimbangkan semua urusan dalam aktiviti seharian. Urusan paling penting adalah mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sedangkan kita ini dicipta oleh Allah hanya untuk beribadah kepadaNya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (Az-Zariyaat 51:56)

Mungkin ada yang mempertikaikan, ‘Aku berwhatsapp tapi aku sembahyang. Tidaklah sampai aku tinggalkan sembahyang.’ Kita tidak menafikan semua itu. Namun, kalau dihitung berapa banyak masa yang kita peruntukkan untuk gajet berbanding dengan masa menghadap Allah? Itupun selalu kita amalkan, telefon diletakkan di tepi sejadah. Habis sahaja salam akhir, telefon itulah yang kita capai dahulu. Lebih-lebih lagi apabila telinga kita menangkap bunyi ton menandakan ada mesej baharu yang masuk.

Selalu kan kita mendengar orang memberi alasan tidak sempat membaca al-Quran ataupun menunaikan solat sunat. Namun, ada pula masa untuk menskroll segala status yang terpampang di wall facebook. Itupun sudah memakan masa berapa lama? Kemudian, apabila ada status atau gambar yang menarik, kita pun menekan butang ‘ like’.

Selain itu, memberi perhatian kepada keluarga adalah tanggungjawab kita terutama memperuntukkan masa berkualiti dengan anak-anak. Tips mendisiplinkan diri untuk tidak menggunakan telefon bimbit atau sebarang gajet dari pukul 6 petang hingga 10 malam adalah satu kaedah terbaik yang boleh kita praktikkan. Saya sudah mencuba tetapi mungkin agak payah di awalnya kerana kebiasaan yang sudah sebati. Usaha ini masih berterusan apatah lagi anak-anak saya sekarang memang pantang melihat saya memegang telefon, mereka juga berebut-rebut hendak menggunakannya.

Saya cuba juga dengan membuang perisian YouTube. Saya terkesima baru-baru ini kerana ada juga video berbentuk animasi tetapi memaparkan adegan yang sama sekali tidak sesuai dengan kanak-kanak. Sekarang telefon hanya untuk menonton video gelagat mereka sendiri yang saya simpan sebagai kenang-kenangan.

Setakat ini, cara ini berjaya tetapi bimbang pula kerana anak makin membesar dan kalau mengikut kepada pengalaman kawan-kawan, anak mereka sendiri sudah pandai memuatnaik perisian yang mereka mahukan di Play Store.

Begitu juga dengan urusan kita dengan masyarakat. Manusia secara fitrah, perlu kepada hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap orang harus saling memerlukan di antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan. Tidak  mungkin seorang manusia boleh hidup seorang diri tanpa perlu berurusan dengan orang lain selama dia tinggal dalam sebuah komuniti.

Jiran adalah orang paling hampir untuk kita minta bantuan ketika berlaku kesusahan. Oleh sebab itu, Islam amat menganjurkan supaya umatnya berbuat baik kepada jiran tetangga seperti menziarahi jiran yang sakit, menghadiri jemputan perkahwinan atau apa-apa majlis yang sesuai, membantu ketika berlaku kematian, meraikan kegembiraan bersama-sama, berkongsi kesedihan dan sebagainya.

Pernah dengar tagline yang selalu digunakan oleh Allahyarham Aziz Desa dalam segmen Malaysia Hari Ini suatu ketika dahulu? ‘Yang jauh kita dekat-dekatkan, yang dekat kita mesra-mesrakan’? Nampaknya, dalam dunia hari ini, yang dekat itulah yang semakin renggang dan jauh kerana perhatian dilebihkan kepada yang jauh yang wujud di alam maya.

Di mana-mana sahaja sekarang ini, terutama di tempat makan. Telefon bimbitlah yang menjadi agen komunikasi. Berjumpa untuk tujuan berbual-bual tetapi tumpuannya lebih kepada alat perhubungan canggih itu, bukan sosok yang berada di hadapan mata.

Baik buruknya penggunaan media sosial, segala-galanya tertakluk kepada tapisan yang ada di dalam diri kita. Kawalan diri itu memang perlu ada kerana hidup kita bukan untuk disia-siakan begitu sahaja. Tanggungjawab yang dipikul perlu dilunaskan. Kita tidak mampu menolak kecanggihan teknologi yang dibekalkan kepada generasi hari ini. Yang mampu kita lakukan adalah membuat pertimbangan dan pertimbangan itu ada pada diri kita.

Editor.

Advertisements

Berbeza dengan bersebab

Ini adalah artikel yang saya tulis. Saya mahu abadikan di sini untuk bacaan umum. Mungkin ruangan yang saya gunakan sebelum ini agak terhad.

Pernah suatu hari dalam kelas Bahasa Inggeris yang saya hadiri bagi melengkapkan jam kredit pengajian bagi mata pelajaran pilihan di tahun 2, pensyarah Puan Zuraidah meminta kami mengadakan sebuah diskusi ringkas mengenai kewajaran menghantar ibu bapa ke rumah orang-orang tua.

Seramai 15 orang yang berada di dalam kelas tersebut, hanya saya seorang yang melontarkan pendapat yang berbeza. Saya bukan memilih untuk menjadi popular tetapi jawapan itu memang lahir spontan dari pemikiran saya dan terus saya lontarkan dalam ayat Bahasa Inggeris yang tidak sempurna namun masih difahami oleh Puan Zuraidah dan kawan-kawan.

Puan Zuraidah seakan terdiam seketika, berfikir apabila mendengar saya menyatakan yang saya bersetuju ibu bapa dihantar ke rumah orang tua sekiranya mereka mempunyai alasan yang kukuh untuk berbuat demikian.

Alasan saya, jika ia merupakan permintaan ibu bapa itu sendiri untuk berada di sana, tidak salah kalau permintaan mereka dipenuhi. Sekurang-kurangnya di sana mereka mempunyai kawan-kawan sebaya dan boleh sama-sama belajar ilmu agama.

Saya memilih pandangan tersebut kerana melihat dari sudut pandang yang berbeza. Maksud saya, bukan menghantar kerana tidak mampu menjaga kedua orang tua. Lantaran disebabkan kesibukan atau tidak sanggup menjaga kedua orang tua yang dirasa banyak kerenah dan menyusahkan. Tetapi mahu mereka menikmati kehidupan yang masih bersisa bersama teman-teman yang mempunyai aliran rasa yang sama dengan mereka.

Di samping boleh memanfaatkan masa dengan membaca al-Quran, berzikir dan menunaikan solat sama ada wajib atau sunat dalam keadaan yang tenang tanpa gangguan yang mungkin datang dari bunyi televisyen, tangisan cucu mahupun kerja-kerja rumah yang tidak pernah habis.

Yayasan Al-Jenderami yang bertempat di Jenderam Hilir, Dengkil contohnya, telah menyediakan penginapan khas kepada warga emas terutama kaum ibu bagi mendalami ilmu agama. Kompleks Warga Emas tersebut bukannya sebuah pusat penjagaan tetapi lebih kepada pusat pengajian tradisional ala-ala pondok. Di situlah para ibu menambah ilmu fardhu ain, solat berjemaah dan membaca al-Quran dalam suasana yang kondusif.

Malah, menurut statistik yang dikeluarkan pada tahun 2013 oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat, terdapat 1,116 pusat jagan orang tua di seluruh Malaysia. 629 buah merupakan pusat jagaan harian. Manakala 487 buah adalah rumah kediaman. Kewujudan pusat penjagaan ini signifikan dengan cara kehidupan masyarakat pada hari ini.

Tuntutan kerja dan taraf hidup yang semakin tinggi sekarang menyebabkan ada anak-anak yang tidak mampu menjaga ibu bapa di rumah. Oleh sebab itu, mereka mengambil inisiatif menghantar ibu bapa ke rumah jagaan harian. Ada juga ibu bapa yang sudah tidak mampu mengurus diri sendiri dan perlu kepada perhatian sepanjang masa.

Selain itu, ada juga ibu atau bapa yang tinggal bersendirian di rumah atau di kampung dan dibimbangi oleh anak-anak untuk mengurus kehidupan seharian. Jadi, ibu atau bapa ini akan bergilir-gilir tinggal di rumah anak-anaknya. Namun, sudah pastinya mereka kesunyian apabila anak-anak keluar bekerja awal pagi dan pulang lewat petang.

Pada saya, ibu bapa kita sepatutnya tidak kita sibukkan lagi dengan hal-hal duniawi kita. Meminta mereka menjaga anak-anak kita dengan bayaran tertentu walaupun kita tahu ada juga ibu bapa yang sanggup berbuat demikian kerana tidak mahu cucu mereka diasuh oleh orang asing.

Teringat pula saya kisah seorang wanita yang saya kenali terpaksa memendam perasaan dengan ibu mertuanya. Ibu mertuanya berkeras tidak membenarkan cucunya dihantar ke pusat asuhan anak-anak kerana khuatir dengan pelbagai kes penderaan dan kecuaian pengasuh.

Dan suami yang taat kepada ibu, hanya akur dengan tidak membenarkan permintaan sang isteri yang mahu anaknya sekurang-kurangnya dapat mempelajari sesuatu di tadika, meluaskan pergaulannya dan menyertai aktiviti untuk meningkatkan kemahiran motor halus dan kasarnya. Itu antara salah satu kisah kehidupan yang pelbagai rencam.

Walau bagaimanapun, saya sedar setiap daripada kita menghadapi laluan perjalanan kehidupan yang berlainan. Ada yang hidup berkeluarga, tetapi terpaksa pula meminta bantuan ibu menjaga anak mereka kerana tidak mempunyai kenderaan yang selesa untuk menghantar dan mengambil anak. Ada juga yang disebabkan masalah kesihatan anak yang memerlukan perhatian intensif daripada ahli keluarga. Ada juga yang tidak berkemampuan membayar yuran bulanan pusat asuhan dan bermacam lagi corat-coret yang Allah SWT anugerahkan kepada manusia.

Saya kira niat kita adalah paling penting. Sekiranya niat kita baik mahu memberikan yang terbaik, saya tidak melihat menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang tua dalam bentuk jagaan harian sebagai satu kesalahan yang besar dan patut diperlekehkan.

Hakikatnya banyak faktor yang perlu dilihat dalam keadaan masyarakat kita hari ini. Kita perlu mengambil kira faktor keselamatan, kesihatan dan juga sosial mereka. Biarkanlah mereka melalui kehidupan dengan ceria dan bahagia. Bukan dihadapkan dengan masalah-masalah kita yang mereka telah hadapi bertahun-tahun dahulu.

Jangan salah anggap yang saya menyokong untuk menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang-orang tua. Bagi saya, daripada ibu atau bapa kita hanya duduk di rumah dengan hanya menonton drama demi drama dari pagi hingga ke petang, lebih baik sekiranya kita peruntukkan sedikit wang untuk ibu bapa kita mendalami ilmu akhirat. Selain memperolehi ilmu baharu, masa mereka juga terluang dengan aktivit-aktiviti yang bermanfaat.

Ini juga merupakan antara cara berbakti kepada ibu bapa. Selain daripada kasih sayang dan perhatian, mereka juga masih memerlukan bimbingan agama untuk bekalan akhirat.

Dahulu, tidak pernah terdetik di hati saya untuk mengaitkan sesi perbincangan tersebut dengan ibu bapa saya sendiri kerana saya sendiri tidak akan sanggup menghantar mereka  ke sana. Saya kira, ketika itu pendapat saya itu kosong daripada naluri keibuan berbanding sekarang.

Namun, kalau menganggap ibu bapa sebagai beban lalu untuk ‘meringankan’ beban mereka, mereka menjauhkan ibu bapa sendiri daripada kehidupan sendiri. Langsung tidak menjenguk dan bertanya khabar. Itu pasti akan membuatkan hati saya terusik.

Mungkin ramai yang akan menyalahkan kerana sanggup menghantar ibu bapa ke rumah penjagaan orang tua. Lumrahnya, ramai manusia yang mengata sedang mereka sendiri tidak memahami apa yang kita hadapi sebenarnya.

Namun, kalau untuk kebaikan mereka, kita fikir-fikirkanlah dan timbang tara mana yang terbaik. Harapnya hati mereka senang hati dan gembira dengan apa yang kita lakukan untuk mereka.

Firman Allah SWT: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan apa jua. Dan berbuat baiklah kepada orang tua.” (an-Nisa’ 4:36)

Saya sentiasa berdoa agar saya tidak menjadi seorang tua yang kesepian kelak. Ini hanya pandangan peribadi saya.

Hakikatnya, kehidupan yang Allah aturkan untuk kita sudah mengikut jalur ketentuanNya. Skrip dan jalan ceritanya sudah disediakan, kita hanya ‘pelakon’nya.

Pengalaman naik pesawat & PrayforMH370

Rentetan peristiwa kehilangan MH370 saya nak share pengalaman saya naik flight.
Ish….kenapa macam tak best saja ayat saya ni?  Huhu….lama sangat tak membebel dalam tulisan. Ginilah jadinya.

Pertama kali terbaca tentang kehilangan pesawat MH370, saya tak ambil endah sangat sebab sangat yakin tempoh kehilangannya takkan lama. Tetapi bila dah masuk hari ketiga ni, memang rasa bimbang, risau, sedih, pilu mengenangkan nasib mereka. Nasib anak kapal, penumpang dan keluarga penumpang. Rasanya jantung mereka mesti sentiasa berdegup kencang.

Disebabkan kes tu, saya just nak share pengalaman saya naik flight. Kali pertama naik flight…time saya balik ke rumah keluarga mertua di Sarawak pada tahun 2006. Masa tu rasa ok dan tak ada rasa cuak dan segala macam rasa bimbang sebab yakin dengan penerbangan Air Asia. Lagipun masa tu dengan my adeng dan umi abah. Umi saya yang takut sebenarnya. So, kalau saya takut masa tu saya tak boleh tunjuk sangat nanti umi saya lagi takut. Alhamdulillah penerbangan kami selamat tiba di Sibu waktu tu.

Cuma…ada sekali peristiwa yang buatkan saya rasa fobia nak naik flight. Masa tu nak balik raya. Tuah takde lagi time tu. Tak ingat tahun berapa. Maybe 2008 sebab time tu naik pakai Air Asia. 2009 baru kita orang start balik naik MAS sebab my adeng dah keja kerajaan dan dapat waran tiket.

Pulak tu kitaorang tak dapat duduk sekali. Sedih! My adeng kat seat depan dan saya kat seat kedua belakang. Sebelah saya 2 orang budak muda lelaki. Saya duduk kat tepi tingkap. Cuaca memang tak berapa elok. Asyik berlanggar awan je. Memang sepanjang perjalanan saya berzikir je.

Sampai satu level, pesawat yang tengah terbang tu jatuh mendadak. Zup! Ibarat macam tu lah. Ya Allah saya dah menjerit Allahuakbar. Takut betul saya waktu tu. Saya dah bayangkan pesawat tu akan terhempas. Tapi alhamdulilah…pesawat tu dapat dikawal dan terbang seperti biasa. Dan disebabkan terlalu kerap melanggar awan saya termuntah. Dan selepas itulah saya rasa fobia sangat-sangat nak naik flight. Tapi nak buat macamana…saya memang kena balik kampung my adeng tiap-tiap tahun dan komitmen kerja yang perlukan saya terbang ke New Delhi, Bandung pada tahun 2010 dulu  dan beberapa penerbangan domestik lain.

Ya, selepas beberapa kali saya kena akur. Saya tak boleh terus fobia walaupun saya akui fobia tu masih belum hilang seratus peratus. Saya pegang firman Allah, kunfayakun. Kalau kita takut macamana pun kalau Allah tak jadikan apa-apa masa tu masih bernyawa lah kita. Tapi kalau once Allah dah berfirman kunfayakun, lari ke hujung dunia mana pun, kita tak mampu nak lari dari semua musibah yang menakutkan tu.

Saya pasti setiap orang ada pengalaman berbeza setiap kali naik flight. Untuk MH370, saya doakan semoga segala urusan pencariannya dipermudahkan, semua ahli keluarga diberikan ketenangan dan kesabaran dan semoga Allah melindungi semua anak kapal dan penumpang di dalamnya dan semoga juga mereka kembali dengan selamat.

prayformh370

Buku ini sangat menginspirasikan!

Bismillahirrahmanirrahim.

Entri pertama saya di tahun 2014.

Saya tidak tergolong di kalangan orang yang teruja menyambut tahun baru kerana tidak mahu terikut-ikut dengan budaya barat yang terlalu sibuk dengan sambutan tahun baru. Tetapi saya tetap jadikan setiap tahun baru itu sebagai penanda aras untuk saya capai sesuatu. Terima kasih ya Allah, kerana masih memberikan nafas buat hamba-Mu ini. Walaupun masih banyak kesilapan dan kesalahan yang saya lakukan, sesungguhnya kasih sayang Allah tidak pernah surut buat saya dan keluarga. Masih banyak perkara yang sama mahu lakukan terutama untuk Tuah dan bakal adiknya. 🙂

Membaca dan menghayati catatan Nazali Noor dalam buku Ulu Yam di Liverpool, Aku Bukan Mat Salih Celup lebih memberikan kesedaran kepada saya betapa terlalu banyak impian saya yang mahu lakukan tetapi saya biarkan ia terperuk jauh dalam minda saja tanpa saya berusaha untuk merealisasikannya. (Mood tulisan agak official sebab kesan yang sangat mendalam daripada pembacaan buku ni).

Kenapa saya kata buku ini sangat menginspirasikan?

Pertama – Sesungguhnya dengan sejujurnya saya bersyukur kerana ‘dipertemukan’ dengan buku ini dan dibukakan hati untuk membelek isinya. Antara genre buku yang saya gemari ialah buku motivasi tetapi buku seperti ini tidak banyak dalam koleksi perpustakaan saya. Sebab saya takut ‘ditipu’. Yalah, niat membaca mahu memotivasikan namun selalunya saya kecewa dengan kandungan buku yang langsung tidak membangunkan spiritual saya. Saya tahu, apa-apa perubahan yang kita mahu lakukan bergantung kepada diri sendiri tetapi bak kata Nazali kadang-kadang kita perlukan orang lain untuk membantu kita merealisasikan impian sekurang-kurangnya dengan sokongan dan dorongan mereka.

Kedua – Buku ini adalah buku motivasi pertama yang saya baca dan habiskan dalam masa 3 hari sahaja (disebabkan kekangan rasa mengantuk yang cepat pada waktu malam sejak preggy ni). Selalunya rasanya tak khatam buku genre macam ni saya baca. Tetapi, buku ini buatkan saya jadi tak sabar untuk mengetahui kisah seterusnya dalam hidup Nazali. Sehinggakan saya bawa buku ni ke pejabat dan menghadiri temujanji Tuah di HUKM. Serius saya teruja!

Ketiga – Saya sangat terkesan dengan kehidupan Nazali yang sangat menghargai orang-orang di sekelilingnya. Bukan sahaja ibu bapa, isteri, anak-anak, adik-beradik tetapi juga pelajar-pelajarnya dan sesiapa sahaja. Bagaimana dia terlalu menghargai emaknya? Menyanjung ayahnya? Dan sangat menghargai Puan Ainon…isteri kesayangan yang digambarkan sebagai pendamping paling setia buat dirinya. Mungkin masih ramai orang seperti Nazali. Mungkin juga tak ramai. Tetapi Nazali telah mengangkat watak-watak penting dalam hidupnya dengan ayat yang ringkas namun menyentuh perasaan. Rasanya saya cemburu dengan Puan Ainon yang dilihat sebagai orang paling penting dalan hidup Nazali.Ya, dia telah mengungkapkannya dari hati yang paling dalam dan sebab itulah dia telah berjaya menyentuh hati saya.

Keempat – Beliau berjaya membawa kisah hidupnya daripada seorang kanak-kanak biasa di Ulu Yam hingga menjadi orang luar biasa di Liverpool. Sememangnya dia bertuah dipertemukan dengan 5 watak yang telah memberi impak mendalam dalam dia mengenali potensi diri sendiri.

Saya rasa mahu mempromosikan buku ini kepada sesiapa sahaja. Jadi, jika anda juga mahu sesuatu seperti ini apa kata dapatkan buku ni di kedai-kedai buku berhampiran. Haha..beriklan pulak kita ya?. Buku wajib baca untuk individu yang mahukan sesuatu yang menginspirasikan. Tadi saya dah whatsapp cover buku ni dalam group adik-beradik saya. Senang rasa hati!

Buku ni khabarnya antara buku terlaris di MPH. Dah masuk cetakan kedua. Okey…insya Allah nanti kita sambung di entri seterusnya untuk saya singkap apakah impian saya selama ini?

Terima kasih.

ilhamfatihah.

ImejAmbil dari website alaf21

McD Percuma..Sorry I’m Not Interested!

Sudah cukup sudah kita menyokong produk ISRAEL! Saya rasa apabila sudah ke tahap ini bedilan senjata ISRAEL ke atas nyawa-nyawa tidak berdosa cukup-cukuplah kita membeli produk mereka!

McD beri percuma sarapan la pagi ni? Biarlah percuma selama sehari, sebulan ataupun setahun, maaf kali ini saya katakan TIDAK kepada McD.

Saya bukan mendabik dada nak kata yang saya ni tak pernah makan McD . Ada masa-masanya say mengidam nak makan. Tapi kali ini saya tidak mahu lagi. Terlalu sedih dengan nasib yang menimpa umat Islam di Gaza. Kita masih bergembira di sini menikmati makanan dan masa lapang dengan suka ria tetapi mereka? Dalam debar dan ketakutan.

Kita sememangnya tak mampu nak mengangkat senjata memerangi musuh Islam ni. Iya, kita mungkin hanya mampu berdoa untuk kesejahteraan saudara Islam kita di sana. . Selain itu, untuk menunjukkan keseriusan kita melawan kekejaman zionis Israel, BOIKOT makanan keluaran mereka. BERTINDAKLAH SEKARANG!

Imam Muda 2010

Saya setuju! Program Imam Muda ni mencipta satu kelainan dalam program tv yang ada di Malaysia selepas Rancangan Adik-adikku (TV1). Masa promo, saya dah teruja nak tengok. Aduh…dalam keriuhan kita mencanang penyakit sosial yang berlaku di kalangan remaja kita, masih ada lagi rupanya sekumpulan remaja/belia yang masih kukuh dengan pegangan Islam.

Saya senang melihat wajah mereka, suci dan bersih. Tapi senang saya bukan sampai tahap memuja. Saya rasa bahagia menonton program ni. Jujurnya, saya akan menangis setiap kali melihat promo atau apa saja yang berkaitan dengan Imam Muda ni. Entahlah, perasaan tu sangat halus dan susah nak diterjemahkan.

Hehehe…kenapa saya rasa ayat saya sangat jiwang ni? IM dah masuk minggu keempat. Sebelum ni saya tak pernah dapat tengok betul-betul masa hari Jumaat. Ada saja program lain. Malam ni, saya betul-betul tengok dan saya yang mudah menangis ni, menangis lagi bila melihat muka-muka diaorang dan saat perpisahan Abe Syara dengan kawan-kawan yang lain. Aduuhh…sambil dalam hati berkata, saya terlalu ingin melahirkan zuriat seperi diaorang.

Saya doakan diaorang akan membawa bah perubahan  kepada masyarakat selepas ni. Dan..siapa Imam Muda pilihan saya? Saya suka dengan Hizbur, (yang sentiasa tenang dan nampak berkaliber),  Taufek (yang terserlah ketokohannya)  dan Nuri (yang walaupun kurang dari latihan teorinya tetapi sangat terserlah semasa latihan praktikal).

Semoga berjaya buat semua Imam Muda!!

Hizbur: berdiri paling kanan. Taufek: duduk kedua dari kiri. Nuri: duduk paling kiri

Mana Milik Kita

Sekadar perkongsian di hari Jumaat yang mulia…Jom hayati setiap patah lirik lagu ni!

Mana milik kita?
Tidak ada milik kita
Semua yang ada
Allah yang punya
Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja           

Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya
Kita Allah punya
Dunia ini ciptaan-Nya
Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaan-Nya
Mana kita punya        

Tidak ada kepunyaan kita
Kita hanya mengusahakan
Apa yang telah ada
Mengapa kita sombong
Memiliki Allah punya
Mengapa tidak malu
Kepada Allah yang empunya
Patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya
Malulah kepada Allah 

Kerana milik Ia punya
Janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa
Janganlah mengungkit        

Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya Allah punya
Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga
Bersyukur kepada Allah        

Bukan mengungkit jasa
Gunakanlah nikmat Allah itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya



                  Kenangan manis dengan Rabbani