Cerpen : Lelah Hati

Adakah ini dinamakan penyakit hati? Susah hati, berfikiran negatif dan selalu berprasangka buruk. Susahkah mahu memiliki seorang diri yang sentiasa positif? Nina mengeluh perlahan. Membuang pandang ke arah pemandangan kotaraya yang memaparkan bangunan setinggan yang masih berada di situ walaupun dikelilingi mercu tanda kebanggaan negara. Haruskah mereka dipersalahkan? Kemudian ditebarkan pandangan ke atas meja kerja. Serabut dengan keadaan meja yang bersepah dengan kertas, fail dan buku-buku.

“Puan Nina, Encik Taufik nak jumpa puan.” Suara dari interkom membangkitkan dengusan. Taufik. Taufik. Apa lagi yang dia mahu? Menambah rasa negatif yang masih bersarang dalam diri. “Suruhlah dia masuk. Tak diberi masuk nanti, kecoh satu opis ni pulak.” Nina tarik nafas, mahu mengumpul kekuatan menghadapi Taufik. Dia kembali duduk di kerusinya. Bilik kerjanya tidak begitu besar. Padanlah dengan jawatannya sebagai Pengurus Sumber Manusia. Dijelingnya jam tangan di tangan kiri. “Dah pukul 12.59, patutlah lelaki tu berani naik ke tingkat 5 ni.” Gerutu hati Nina.

Nina terpaksa mempamer senyum apabila Taufik menjenguk dari balik pintu. “Masuklah, malu-malu kucing pulak.” Taufik sengih lebar. Senang dapat menatap wajah Nina. “Berita apa pulak kau nak sampaikan pada aku hari ni pasal Adam?” Taufik tergelak-gelak. “Kot ya pun, jomlah kita pergi makan dulu.” Taufik berbasa basi.  “Tak naklah, Fik. Aku dah ambil sarapan berat pagi tadi. Perut aku ni bukannya macam perut kau.” Nina letuskan rasa geram dengan sindiran. Tapi dia faham sangat, Taufik bukan makan dengan sindiran. Muka tebal. Muka saja hensem tapi tak tahu malu.

“Kau ni, setiap kali jumpa aku mesti moody. Tak syoklah, beb. Kita kan dah lama kawan. Masing-masing dah kawin dan dah ada anak pun.” Nina menyandarkan tubuh. Nasib baik juga waktu rehat. Dapat juga dia merehatkan minda dan meregangkan otot-otot mata dan badan. “Tahu pun kau? Habis tu sapa yang dok menjaja cerita pasal suami aku kalau tak kau? Pening kepala aku.” Nina picit-picit dahi yang mula terasa pening. Konon dah makan padahal air coklat panas saja yang masuk  ke dalam perutnya hari ini.

“Apa pulak menjaja cerita? Aku beritahu cerita yang benar, Nina. Aku dah bagitahu kau dan kalau kau nak pastikan kesahihannya, kau kena siasat sendiri. Aku tahu aku pernah sayangkan kau dan sampai sekarang perasaan aku tak pernah berubah, Nina.” Renungan mata Nina tepat ke arah Taufik. Taufik seorang yang berterus-terang. “Cuma sayang aku kepada kau sekarang, tak lebih sebagai seorang kawan. Keluarga aku adalah segala-galanya, Nina. Irma dah banyak berkorban untuk aku. Kepercayaan, kesetiaan, kasih sayangnya. Aku bersyukur dikurniakan isteri sebaik dia walaupun aku tahu tak ada manusia di dunia ni yang sempurna. Love a man for what he is. Love a woman for what she does.” Taufik sudah duduk di kerusi mengadap wajah Nina yang sugul.

“Aku tak faham dengan kau ni, Taufik. Aku percayakan suami aku. Tapi, kau yang datang merobekkan rasa percaya aku. Kawan jenis apa kau ni?” Taufik menggeleng-gelengkan kepala. Tu lah kau. Nak marah tak tentu pasal.”

Bersambung…

Advertisements

Cerpen : Bedah, Latip dan Facebook

Bedah khusyuk menonton tv. Khusyuk ke? Tak ada khusyuknya. Tengah pendam perasaan tengok Latip tengah mengadap laptop. Sah-sah bukak facebook. Dah tau sangat pun. Dia yang menyatakan hasrat nak pasang internet kat rumah tapi untuk buat kerja-kerja berfaedah ataupun cari lubang yang boleh dibuat bisnes. tapi Latip setiap kali mengadap laptop, tulah kejanya. Tak facebook, you tube, tak pun bukak la website akhbar. Dah paham sangat dah. Umur muda lagi, baru 25 tahun tapi tak pernah nak berusaha perbaiki ekonomi ataupun taraf kehidupan. Dari dulu sampai sekarang, Bedah dah rasa jelak dengan perangai Latip.

“Pssstttt…”Bedah dah tahu sangat panggilan macam tu. Dia toleh kepada Latip dengan renungan tidak senang. “Tolong buatkan air kopi.” Latip meminta tolong dengan suara yang selembut-lembutnya. “Selalu panggil Bedah macam tu. Bedah tak suka tau tak, bang?” Sambil membebel dia bangun juga dari kerusi rotan yang diletakkan sofa nipis berwarna hijau pucuk pisang. Latip gelak-gelak. “Sori, sori.” Tu jelah ayat yang selalu Latip jawab setiap kali Bedah luahkan perasaan. Bedah bancuh air kemudian bawak sebiji mug berisi air kopi yang berasap. “Thank you.” Latip ucap terima kasih tanpa memandang wajah Bedah. “Fariz dengan Farah dah tidur?” tanya Latip sambil tangannya ligat menaip. Tengah berchatting la tu. Dia dapat rasa, Latip sembunyikan sesuatu daripada dia. Setiap kali dia lalu dekat Latip, dia mesti minimizekan facebooknya. Konon dia tengah tengok website lain. Bedah dah masak sangat dengan perangai Latip. Masak sangat-sangat!

“Dah. Lepas Isyak tadi terus Bedah tidurkan diorang.” Bedah ambil remote, cuba mencari siaran yang menarik. Hampa sebab hari ni hari Isnin. Memang tak ada rancangan menarik walaupun berpuluh saluran pun, tak ada satu rancangan pun yang menggoda seleranya. “Abang tengah berchatting dengan siapa tu?” Serius saja muka Latip seolah-olah dia sedang meneliti sesuatu yang sangat serius. Latip diam seribu bahasa. “Dah tengah malam macam ni, tak habis-habis lagi.” Bedah menggerutu. Dia boleh rasa yang Latip tengah berchatting dengan kawan perempuannya. Latip memang bermulut manis. Nampak macam seorang yang sangat penyayang dan mengambil berat tapi hakikatnya dia sebagai isteri sahajalah yang tahu perangai sebenar Latip.

Dia dah bosan sebenarnya hidup dengan Latip. Dia masih bersabar bila mengenangkan anak-anak. Walaupun anak-anak memang rapat dengannya tapi mereka juga perlukan belaian seorang ayah. Latip memang jarang bercakap. Bercakap bila ada hal penting sahaja. Bedah bosan. Tak ada komunikasi dalam rumahtangganya. Pergaulan dengan keluarganya lagilah menambah rasa sakit hati Bedah. Bila balik kampung, Latip macam orang bisu. Langsung tak mahu bercampur dengan keluarganya. Bukan dia tidak pernah tegur Latip tapi Latip tetap macam tu. Ada banyak benda yang Bedah terpaksa pendam sebab tak mahu mencetuskan pergaduhan. Latip ni nampak saja macam orang open minded tapi hakikatnya langsung tidak!

Akhir-akhir ni, mereka memang langsung tak bercakap. Cakap pun sepatah dua je. Lepas tu masing-masing buat hal sendiri. Bedah bosan! Sangat-sangat bosan dengan perkahwinan ni! Dia mahu berpisah dengan Latip. Biarlah dia hidup sendiri dengan anak-anak daripada terus tanggung dosa, merungut pasal suami yang tak pernah berusaha menyelami perasaan seorang isteri.

Cikgu Eton Yang Sangat Kecoh

“Duduk!” Arahan Cikgu Eton terasa menggegar kelas. Orangnya sangat comel dengan saiz kecil molek dan berwajah keanak-anakan tetapi suaranya amat besar. Arif pandang Yus sambil mengangkat-angkat kening. “Kau kenapa? Nak gaduh?” ujar Zaimi dengan nada berbisik. Mereka duduk sebelah menyebelah sahaja. “Bodohlah kau ni. Aku bagi isyarat, tengok muka Cikgu Eton yang cun tu.” Nazar memuncung mulut tetapi tidak ketara. Tapi Cikgu Eton yang memang bertelinga lintah itu terus menegur dua orang murid yang menjadi sahabat baik itu. “Kamu berdua ni kenapa?” Cikgu Eton mampir ke meja mereka yang terletak di hadapan sekali di tepi pintu. Arif sengih macam kerang busuk. “Eh? Saya tak suruh awak senyum. Yus, apa yang kamu berdua bisikkan tadi? Tak habis-habis lagi bercakapnya?” Giliran Yus pulak tersengih. “Tak ada apa-apa cikgu. Cakap-cakap kosong saja.” Cikgu Eton berdehem.

“Baiklah, kelas. Hari ini kita belajar tentang perumpamaan.” Cikgu Eton buka buku nota lalu dibentangkan di atas meja. Berbaris-baris perkataan tertulis di dalam buku nota kecil itu. Kemudian buku yang mengandungi 1001 perumpaan yang baharu sahaja dibeli hujung minggu lepas. Cikgu Eton halakan pandangan ke seluruh kelas. Kelas ini nampak sangat bersih. Tidaklah sampai bersinar-sinar tetapi memang ketara kemas dan bersih dari sampah sarap. Jumlah murid yang seramai 27 orang itu dirasakan tidak terlalu sesak. Kebetulan pula bilik kelas di hujung bangunan A ini agak besar berbanding bilik kelas yang lain.

Dia terpandang seorang murid perempuan yang sedang menunduk. Murid itu duduk di meja paling belakang di tepi pintu. “Salmah!” Murid itu memang terkejut beruk. Entah apa yang ada di dalam mulutnya. Benda itu terpelanting dek kerana terkejut tahap maksima. “Awak makan ke, Salmah?” Murid yang bernama Salmah itu menggeleng-geleng. Adegan itu sangat menarik perhatian Arif dan Yus. “Habis tu? Apa benda yang terpelanting tadi?” Cikgu Eton masih tercegat di hadapan kelas. “Waktu rehat tadi awak tak makan ke sampai nak makan dalam kelas pulak?” “Tak, cikgu.” Suaranya terketar-ketar. Dia memang takut dengan Cikgu Eton. “Ish, awk ni. Dah rugi masa saya nak mengajar.” Dia menapak ke meja Salmah. Semua mata tertumpu ke arah Salmah yang sudah mula hendak menangis. Hidungnya mula memerah. Mulutnya sudah mulut mencebik. “Tak payah nak menangis. Bagitahu saya awak makan apa tadi?’ Dia pandang-pandang ke bawah meja Salmah. Mungkin makanan itu terjatuh di situ.

“Cuba jawab soalan saya ni.” Dia memang tidak puas hati. Padahal kelasnya bermula sebaik sahaja habis waktu rehat. Takkan tak cukup makan lagi? “Cikgu, Salmah makan coklat.” Lina yang duduk di hadapan Salmah menjawab. Entah ya, entah tidak jawapan sukarelanya itu. “Bukan cikgu. Dia makan ubat batuk. Ubat tu macam gula-gula. Abah dia baru hantar tadi sebab dia terlupa nak bawa tadi. Tekak dia banyak sangat kahak. Dah 2 minggu dia batuk, cikgu.” Elly yang rapat dengan  Salmah menjawab bagi pihak kawannya. Dalam hati rasa marah dengan Cikgu Eton yang kecoh tak tentu pasal. Cikgu Eton tunjuk muka geli dan muka selamba melindungi rasa bersalahnya. “Okey, kelas. Kita mulakan pelajaran hari ini.” Dia berjalan kembali ke hadapan kelas. Yus dan Arif terpaksa ketawa dalam hati.

Kenapalah Ada Orang Macam Ni?

“Awak buat laporan yang Dato’ nak tu, saya nak hari ni juga.” Nida teguk liur. Dia pandang muka bosnya yang berjanggut sejemput itu. Sure, bos dia tak dapat tafsirkan riak wajahya ketika ini. Dia memang tak tahu tentang psikologi. Nida tebarkan pandangan ke atas meja yang penuh dengan kertas dan 3 buah abba fail yang menuntut perhatiannya juga. Monitor komputer yang sedang memaparkan minit mesyuarat yang berlangsung semalam juga perlu disiapkan sebelum lusa. Mana yang harus diutamakan sekarang ini? Bosnya yang memang tak prihatin tu terus masuk bilik.

Kemudian dia dengar deringan telefon dari bilik bosnya. Dia menangkap 2,3 patah perkataan. Berdebar-debar, risau kalau ada lagi kerja baru yang dia kena buat tapi hakikatnya itu bukan kerja dia. Baru saja dia nak menyambung kerja menaip, bosnya kembali terjengul di muka pintu. “Mana maklumat tentang prosedur yang saya nak tadi? Saya nak bentang pada Dato’.” Dia masih berlagak tenang dan sabar. Dia menyelak timbunan kertas di atas rak keluar masuk dokumen. Kertas 5 helai yang telah dicetak baru 10 minit tadi dihulur kepada bos yang menunggu bagaikan sang harimau lapar. “Jangan lupa, siapkan laporan tu. ” Kepala terasa berdenyut-denyut pula. Tolonglah, jangan sakit masa ni. Kerja-kerja ni mesti disiapkan hari ini juga. Kalau tak siap hari ni, makin bertimbunlah kerjanya apabila hari esok menjelma.

Telefon berdering. Kalau diikutkan hati, dia malas nak menjawab. Dah namanya kerjanya, terpaksalah juga dia menjawab. “Kelulusan pesanan barang? Bila akak hantar, ya? Sekejap ya, Nida check. Buka blog panjang ditarik. Menyelak-nyelak dan nasib baik apa yang diharapkan ditemui. “Ada kak. Tuan dah tandatangan. Nida dah beri pada pentadbiran semalam.” Gagang telefon diletak. Jari jemarinya kembali lincah menari. Dia mahu memuntahkan semua kandungan perbincangan dalam mesyuarat dengan segera. Nasib baik dia jenis yang cepat menaip dan baik dalam mengarang. Dia target sebelum makan tengahari dia mampu siapkan kerja itu.

“Nida, tolong tanya kepada Puan Izzah tentang bangunan kat Melaka tu? Saya nak tahu perkembangannya. Dah ada penyewa atau belum?” Sabar yang ada makin menipis. Dia ada telefon tetapi kenapa dia juga yang disuruh membuat panggilan. Mahu tak mahu, dia menekan nombor sambungan. “Sekejap lagi Izzah naik jumpa tuanlah.” Suara halus Izzah sedikit menenangkan. Dan dia terus menyambung kerja. Tiada istilah rehat untuk dia sebagaimana kawan sebelahnya yang sedang asyk masyuk menyalin resepi dari internet.  Dalam hati berdoa supaya biarlah suara orang yang suka  orang lain buat kerja dia itu diam untuk sejam dua. Ketenangan amat diperlukan saat ini. Diambilnya headphone yang diletak di atas cpu kemudian disangkut pada kepalanya. Suara mp3  dikuatkan sehingga dia tidak mendengar langsung suara-suara lain.

Cerpen : Nek Timah

Nek Timah duduk bertimpuh, sedang tekun mengupas bawang di ruang dapur rumah peninggalan arwah suaminya. Semua bahan yang hendak dimasak telah dilonggokkan di hadapannya. Memasak memang kegemarannya Cuma apabila sudah tinggal bersendirian begini, dia jarang memasak. Tak berbaloi rasanya menghabiskan tenaga untuk menyediakan makanan tetapi makanan yang boleh diterima oleh tekaknya hanya dua, tiga suapan. Namun hari itu berbeza. Berbeza kerana anak kesayangan yang dikatakan oleh anak-anaknya yang lain, hendak balik bercuti dari Kuala Lumpur. Semangat Nek Timah menggunung tinggi. Tenaganya jadi luar biasa hari itu. Sebaik solat Subuh dia sudah menapak perlahan-lahan ke kedai Salleh yang terletak selang tiga rumah sahaja dari rumahnya. Dia tahu Salleh memang sudah membuka kedai runcitnya seawal pagi kerana kedainya itu terletak bersebelahan dengan kedai makannya yang cukup popular di kawasan perumahan kos rendah itu. Setelah membeli bahan-bahan yang sesuai dengan menu yang menjadi kegemaran anak lelakinya itu, Nek Timah terus menapak pulang. Namun tidak lupa berkongsi cerita dengan Salleh dan pengunjung-pengunjung kedainya. Salleh, seorang lelaki berusia pertengahan 40-an, tahu kerinduan yang telah bersemi dalam hati Nek Timah. Anak lelaki itu adalah anak lelaki yang paling disayangi tetapi anak itulah juga yang jarang benar balik menjenguk ibu yang semakin uzur. Berbanding dengan tiga orang lagi anak Nek Timah yang memang akan balik menjenguk ibu mereka sebulan sekali. Cuma yang paling kerap ke situ adalah anak sulung Nek Timah, Zalinah yang kebetulan tinggal di bandar yang sama.

Sesudah menyiapkan semua bahan, Nek Timah mula menumis gulai asam pedas ikan tenggirinya. Sesekali dia mengerling ke arah jarum jam yang digantung di dinding dapur itu. Jam berbentuk bulat itu bersaiz agak besar. Senang mak nak tengok waktu nanti, kata Zalinah apabila dia membebel, tidak bersetuju jam itu diletakkan di situ. Selama ini pun dia dan arwah suaminya tidak pernah pula menggantung jam di ruang dapur. Pelik benar rasanya. Dia memang hendak membantah tetapi apabila menantunya, Zakri bersuara dia terus terdiam. Zakri memang jarang bercakap dengannya namun sepatah dia mengeluarkan suara memang mampu mematahkan semua bicara Nek Timah. Sebab itu, Nek Timah segan dengan menantu sulungnya itu.

“Tak lama lagi sampailah anak mak ni. Dah lama betul mak tak tengok Muhammad Hakim. Cucu-cucu mak apa khabarlah agaknya. Mesti dah besar. Menantu mak, Murni mesti makin cantik dan kekal dengan sifat lemah-lembutnya itu.” Sambil menggoreng ikan, Nek Timah bercakap sendiri. Dia senyum lebar. Sudah hampir dua tahun Muhammad Hakim tidak pulang. Anak-anaknya, Zalinah, Muhammad Hasyim dan Zarinah ada juga sekali sekala menelefon Muhammad Hakim bercerita tentang kerinduan emak terhadapnya tetapi alasan yang selalu diberikan ialah sibuk dengan kerja dan anak-anak pula sibuk dengan kelas tuisyen, sekolah kebangsaan dan sekolah agama petang. Nek Timah redha.

Mungkin ketara dia melebih-lebihkan Muhammad Hakim berbanding abang dan kakak-kakaknya. Dia memang selalu melebihkan anak bongsunya itu sejak dari kecil. Dia sendiri tidak pasti kenapa wujudnya perasaan sebegitu. Arwah suaminya yang meninggal ketika Muhammad Hakim berusia 12 tahun, selalu berpesan supaya dia berlaku adil kepada semua anak-anaknya dan meminta supaya tidak dimanjakan Muhammad Hakim itu berlebih-lebihan kelak akan membawa sengsara kepada dirinya. Nek Timah sudah berusaha tetapi Muhammad Hakim sangat istimewa baginya. Wajahnya saling tak tumpah dengan arwah tetapi sikapnya jauh berbeza dengan arwah yang tenang dan sangat penyabar itu. Kalau diikutkan itu, Muhammad Hasyim benar-benar menyalin perangai arwah suaminya itu.

Bunyi hon kereta di luar rumah terus menyemarakkan lagi rasa gembira dan bahagia di hati Nek Timah. Dia terus meluru ke hadapan rumah, membuka pintu dan menyambut kehadiran anak menantu dan cucu. Muhammad Hakim keluar dari perut kereta dengan senyuman yang langsung tidak ikhlas dari wajahnya. Nek Timah perasan tentang itu tetapi dia mahu menolak rasa itu jauh-jauh. Yang penting anaknya sudah balik menjenguknya. Setelah Muhammad Hakim mencium tangannya, dia terus memeluk erat anak yang sangat dirinduinya itu. “Hakim sihat?” Soalnya sambil air matanya tidak henti-henti berjurai. Dalam pelukan Nek Timah, Muhammad Hakim mengangguk-angguk. Dia berdebar-debar sebenarnya. “Ya Allah, balik juga Hakim ke rumah mak. Murni, Fahmi dengan Tizzy mana?” Dia melepaskan rangkulan lantas tertinjau-tinjau.Dia nampak ada susuk orang di dalam kereta itu tapi penglihatannya memang berkurangan sekarang ini.  “Emak,” dipegangnya tangan Nek Timah. “Hakim nak beritahu sesuatu pada mak.” Nek Timah pandang tepat ke wajah Muhammad Hakim yang sudah berkaca mata. Ada aliran debar di hatinya tetapi dia hanya bicara seterusnya dari bibir Muhammad Hakim. “Sebenarnya, Hakim dan Murni dah…dah berpisah. Dalam kereta tu, isteri baru Hakim, Mysara. Dah setahun kami kahwin, mak.” Nek Timah jadi lemah. Tidak pasti adakah kerana mendengar pengkhabaran perkahwinan baru Muhammad Hakim atau rasa yang sangat dukacita apabila dia diketepikan dalam hidup anak lelakinya itu. Sudah setahun tetapi baru saat ini hal itu dimaklumkan kepadanya? Dia bukan ibu kepada Muhammad Hakimkah? Air matanya tumpah lagi. “Cucu-cucu mak?” Dalam sendu, dia bertanya lagi walaupun rasanya dia mahu rebah ketika itu juga. “Hakim beri hak penjagaan pada Murni. Lagipun, Hakim boleh buat anak baru, mak. Hakim mampu.” Nek Timah terlongo. Terlalu kesat rasanya bahasa Hakim. Dia sedih, kecewa. Berasa terpinggir dan mula melihat anak yang paling dikasihinya itu amat berbeza dengan anak-anak yang sering diabaikan.

Cerpen : Bos Aku Ke Tu?

Naela duduk terpaku di kerusi meja kerjanya yang terletak betul-betul di hadapan bilik Pengurus Besar DH Consultant Sdn. Bhd. Dia menjeling menerusi cermin yang memisahkannya dengan ruang kerja lelaki yang digelar ‘big boss’ di pejabat itu. Dia dapat melihat lelaki berusia lewat 30-an itu sedang khusyuk menghadap komputer. Siap dengan dahi yang berkerut-kerut. Naela mengeluh. Ini yang aku malas ni. Kerja dia tak siap, aku pulak yang kena tunggu dia., bebelnya dalam hati. Sudah hampir sepuluh kali dia melihat jam di tangan. Jam sudah menunjukkan pukul 7 malam tetapi rasanya masih banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum pembentangan n kepada sebuah universiti swasta pada hari esok. Nasib baik juga pembentangan akan diadakan pada waktu petang. Masih ada lebih 24 jam untuk dimanfaatkan. Telefon yang berdering mematikan omelan dan rasa tidak puas hatinya. “Nael, mana profil universiti tu? Kan saya kata saya nak semak.” Nada suara di talian berbunyi perlahan tetapi sebentar tadi rasanya macam halilintar meminta supaya profil itu dibawa masuk dengan kadar segera. Naela teguk liur. Itulah, dari tadi dok membebel. “Maaf tuan. Saya tengah cari atas meja Fikri.” Dia menjeling ke arah meja Fikri, Pegawai Perhubungan Awam yang menyimpan semua profil institusi dan syarikat yang berurusan dengan mereka. Naela tahu, profil itu tidak susah untuk dicari memandangkan itu adalah projek utama DH Consultant buat masa ini. “Alahai, cepat-cepat. Saya ni kena balik sebelum pukul 9. Kang mengamuk pulak tunang saya tu. Dah janji nak makan malam dengan dia.” Naela garu kepala yang sah-sah tidak gatal itu. Mengigau ke cerita kat aku pasal hal peribadi. Tak pernah dibuat sebelum ini walaupun dia adalah pembantu khas Tuan Azlan Abidin bin Dato’ Mokhtar Abidin itu.”Ya, saya bawa masuk dalam bilik tuan Azlan.” Talian dimatikan yang terus mendorong Naela untuk mendapatkan apa yang dimahukan oleh majikannya itu.

Dia menghulurkan profil setebal 24 muka surat itu kepada Tuan Azlan. “Banyak lagi ke, tuan?” Berat untuk dia bertanya tetapi dia terpaksa bertanya. Tuan Azlan mendongan diiringi muka yang serius. “Awak nak balik ya, Nael?” Pucuk dicita ulam mendatang. Dia cepat-cepat mengangguk. “Eh, balik sekali dengan sayalah. Sementara tu awak pergi solat Maghrib dulu. Ada sikit lagi saya nak semak bahan pembentangan ni. Dah bagus dah apa yang Rafail buat ni tapi saya nak buat semakan supaya tidak ada kesilapan esok.” Naela hampa. Dia berlalu meninggalkan bilik itu dengan rasa membengkak. Dia tak ada pula menyuruh Naela melakukan apa-apa kerja sekadar menjadi penemannya. Naela ke bilik solat. Dia tahu ada lagi seorang dua pegawai di unit kewangan yang terletak berhampiran dengan bilik solat masih menyiapkan kerja mereka.

20 minit kemudian dia kembali dan melihat Tuan Azlan sudah bersiap-siap hendak balik. Dia mengorak senyum. Lega rasanya. Dia menunggu di muka pintu. “Tuan dah nak balik, ya?” Soal Naela sejurus Tuan Azlan muncul di hadapannya. “Belum lagi. Saya nak solat dulu. Saya tak balik rumah terus ni.” Dia memandang Naela dengan muka bersahaja. “Emm..kalau macam tu saya balik dululah, tuan.” Dalam hati sebenarnya dia risau pulang dalam waktu begitu. Nasib baik juga kereta diparkir di hadapn pejabat. Kalu parkir di tempat letak kereta di bawah tanah tu, mahu menggeletar juga lututnya untuk sampai ke keretanya. “Awak tunggu saya solat dululah, Nael. Nanti kita turun sama-sama,ya?” Sempat juga dia memberi senyum. Naela sendiri tidak pasti apa maksud senyuman itu. Dalam rasa yang amat terpaksa, dia menunggu juga lelaki itu selesai bersolat. Sambil itu, dia bermesej dengan kawan serumahnya, Ainda. Ruang pejabat itu sudah lama sunyi sejak pukul 6 tadi. Apabila dia menjenguk ke tempat kewangan, ruang itu pun sudah tiada orang. Mungkin mereka sudah balik ketika dia sedang berbual dengan Tuan Azlan tadi.

Kemunculan Tuan Azlan melegakan Naela. Jam sudah menunjukkan hampir pukul 8 malam. “Marilah kita balik. Lepas ni saya nak ke Bangsar.” ujar Tuan Azlan yang tampak berseri setelah wajahnya disapu dengan air wuduk. Naela hanya mengangguk. Tumpuannya kini hanya untuk tiba ke keretanya. “Kita dah tutup semua lampu tadi kan?” Sekali lagi Naela mengangguk. “Kenapa dengan awak ni? Senyap saja dari tadi. Marahkan saya sebab tunggu lama tadi, ya?” Tuan Azlan menduga apabila dilihatnya Naela hanya diam di dalam lif itu. “Tak adalah.” Dia bukannya marah sebab dia tahu dengan tuntutan kerjanya tetapi pelik benar Tuan Azlan malam ini. Suruh tunggu tapi bukan suruh dia membantu kerja-kerja yang perlu diselesaikan. Cuma menjadi pak pacak. “Saya tahu awak marahkan saya. Tapi…” bicaranya terputus. Dia memandang ke arah butang lif yang sudah menunjukkan butang tingkat bawah. Gelagat Tuan Azlan menarik perhatian. Sebaik pintu lif terbuka, dia hanya menanti bicara Tuan Azlan yang seterusnya. Dia tahu lelaki itu akan bercerita. “Awak tahu, seminggu ni saya selalu balik lambat dan solat Isyak pun kat pejabat. Awak bayangkan saya pergi bilik solat yang gelap gelita tu tapi dengar suara perempuan mengaji. Lepas tu, dengar suara bayi menangis tersedu-sedu. Hee..tak tahulah saya nak bayangkan perasaan saya masa tu. Tak adalah saya solat kat situ. Terus saya lari balik.” Langkah Naela mati. Dia tidak tahu sama ada hendak bereaksi takut atau mahu ketawa kerana lelaki yang dirasakan gagah selama ini terserlah benar penakutnya ketika  itu. Lain kali awak temankan saya lagi,ya? Tak sanggup saya nak menghadap bunyi-bunyi macam tu. Lagi satu, awak jangan ceritakan pulak pada kawan-kawan sekerja. Malu saya nanti.” Saat itu Naela rasa mahu ketawa sekuat hatinya.

Siti Yang Suka Bersyahdu

Siti duduk atas kerusi kayu  mengadap pokok limau yang tumbuh lebat di tepi rumah ibu mertuanya itu. Petang makin tua. Warna mentari yang sudah mahu menyembunyikan diri sudah mempamerkan calitan indah di kanvas alam. Lebat betul buahnya tahun ni, bisik hati Siti. Tapi dia tidak begitu menggemari buah limau. Kalau yang bergayut-gayut buah epal, anggur atau manggis dah lama dia petik dan makan sepuas-puas hatinya. Siti sengih sorang-sorang. Seronok juga mengelamun melayan perasaan ni. Kesempatan waktu cuti nilah dia boleh duduk rehat sepenuhnya macam ni. Kalau dah mula kerja, rasa nak makan dan masa untuk diri sendiri pun tak ada. Semua kerja nak mengejar dateline. Siti tiba-tiba teringatkan sesuatu. Dia menjenguk-jenguk mencari kelibat suaminya yang rasanya tadi berdiri kat depan pintu rumah. Tak ada, agaknya dah masuk rumah. Dia meneka sendiri. Anaknya dah dibawa berjalan oleh datuknya naik motor keliling kampung. Sekejap lagi tu baliklah sebab dia memang faham sangat dengan bapa mertuanya yang tak akan berada di luar rumah di waktu senja menjenguk diri.

“Awak…” Siti panggil sang suami dengan suara yang agak nyaring. Dia takut suaminya itu berada di bahagian belakang rumah. Tiba-tiba dirasakan belakangnya dipegang. “Ya Allah, terkejut saya. Macamana awak boleh ada kat belakang saya pulak ni?” Siti marah. Adnan tersengih melihat wajah isterinya yang memang penakut itu. “Takut tapi dok mengelamun kat luar petang-petang macam ni.” Siti hanya diam. “Saya tunggu Alaudin balik.” Dia memberi alasan. Adnan melabuhkan duduk di sisi sang isteri kemudian mengerlus lembut rambut Siti yang panjang mececah bahu itu. “Saya tahu, awak penat. Penat layan saya, anak, buat kerja kat pejabat, kat rumah lagi. Duduk kat sini awak memang boleh rehat sebab mak tu memang sayang habis kat awak.” Siti senyum tapi dia sendiri tak ambil kesempatan untuk tidak langsung melakukan apa-apa kerja. Kadang-kadang dia rasa bertuah kerana mempunyai ibu dan bapa mertua yang amat menyayanginya walaupun sebelum mengahwini Adnan, dia bukanlah gadis pilihan untuk dijodohkan dengan anak lelaki bongsu mereka itu. Namun, benarlah bagai dikata, keikhlasan dan kasih sayang yang dipemerkan kepada seluruh ahli keluarga Adnan terbayar. Dia bersyukur kerana diterima dan disayangi sebegini.

“Tu Alaudin dah balik.” Tunjuk Adnan ke arah motosikal ayah yang masuk ke perkarangan rumah. Siti bingkas bangun, mendapatkan anak sulungnya yang berusia 2 tahun. “Pergi mana tadi, sayang?” Dia mengepang tangan, menarik perlahan Alaudin yang berdiri di dalam raga motor. “Pergi pantai, ummi.” Si kecil itu tergelak-gelak. “Hmm, yalah. Jom, kita mandi sayang.” Dia mendukung Alaudin. “Yea, yea, Adin nak mandi.” Siti tak pernah memanggilnya begitu tetapi si kecil itu sendiri yang suka membahasakan dirinya begitu. Pandai.  Siti terus ke bilik mandi. Sekejap lagi dia sediakan juadah makan malam sebagaimana yang diminta oleh suaminya. Kangkung goreng belacan dan ayam goreng bersalut tepung. Ringkas.

Siti suka berbual dengan anaknya setiap kali memakaikan baju kepada Alaudin selepas mandi. “Alaudin sayang atuk dengan nenek?” Dia ingin menguji. Adakah si kecil itu sudah mengerti kasih dan sayang dalam umur mudanya itu. “Sayang. Sayang sangat. Macam ummi dengan babah sayang atuk dengan nenek la.” Siti jadi sebak. “Nanti dah besar Adin nak jaga ummi, babah macam ummi dengan babah jaga atuk dan nenek. Adin sayang semua.” Siti cium pipi Alaudin. Tidak disangka pemerhatian di kecil begitu tajam. Dia nampak kasih sayang yang mengalir dalam lingkungan keluarga ini.