Berbeza dengan bersebab

Ini adalah artikel yang saya tulis. Saya mahu abadikan di sini untuk bacaan umum. Mungkin ruangan yang saya gunakan sebelum ini agak terhad.

Pernah suatu hari dalam kelas Bahasa Inggeris yang saya hadiri bagi melengkapkan jam kredit pengajian bagi mata pelajaran pilihan di tahun 2, pensyarah Puan Zuraidah meminta kami mengadakan sebuah diskusi ringkas mengenai kewajaran menghantar ibu bapa ke rumah orang-orang tua.

Seramai 15 orang yang berada di dalam kelas tersebut, hanya saya seorang yang melontarkan pendapat yang berbeza. Saya bukan memilih untuk menjadi popular tetapi jawapan itu memang lahir spontan dari pemikiran saya dan terus saya lontarkan dalam ayat Bahasa Inggeris yang tidak sempurna namun masih difahami oleh Puan Zuraidah dan kawan-kawan.

Puan Zuraidah seakan terdiam seketika, berfikir apabila mendengar saya menyatakan yang saya bersetuju ibu bapa dihantar ke rumah orang tua sekiranya mereka mempunyai alasan yang kukuh untuk berbuat demikian.

Alasan saya, jika ia merupakan permintaan ibu bapa itu sendiri untuk berada di sana, tidak salah kalau permintaan mereka dipenuhi. Sekurang-kurangnya di sana mereka mempunyai kawan-kawan sebaya dan boleh sama-sama belajar ilmu agama.

Saya memilih pandangan tersebut kerana melihat dari sudut pandang yang berbeza. Maksud saya, bukan menghantar kerana tidak mampu menjaga kedua orang tua. Lantaran disebabkan kesibukan atau tidak sanggup menjaga kedua orang tua yang dirasa banyak kerenah dan menyusahkan. Tetapi mahu mereka menikmati kehidupan yang masih bersisa bersama teman-teman yang mempunyai aliran rasa yang sama dengan mereka.

Di samping boleh memanfaatkan masa dengan membaca al-Quran, berzikir dan menunaikan solat sama ada wajib atau sunat dalam keadaan yang tenang tanpa gangguan yang mungkin datang dari bunyi televisyen, tangisan cucu mahupun kerja-kerja rumah yang tidak pernah habis.

Yayasan Al-Jenderami yang bertempat di Jenderam Hilir, Dengkil contohnya, telah menyediakan penginapan khas kepada warga emas terutama kaum ibu bagi mendalami ilmu agama. Kompleks Warga Emas tersebut bukannya sebuah pusat penjagaan tetapi lebih kepada pusat pengajian tradisional ala-ala pondok. Di situlah para ibu menambah ilmu fardhu ain, solat berjemaah dan membaca al-Quran dalam suasana yang kondusif.

Malah, menurut statistik yang dikeluarkan pada tahun 2013 oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat, terdapat 1,116 pusat jagan orang tua di seluruh Malaysia. 629 buah merupakan pusat jagaan harian. Manakala 487 buah adalah rumah kediaman. Kewujudan pusat penjagaan ini signifikan dengan cara kehidupan masyarakat pada hari ini.

Tuntutan kerja dan taraf hidup yang semakin tinggi sekarang menyebabkan ada anak-anak yang tidak mampu menjaga ibu bapa di rumah. Oleh sebab itu, mereka mengambil inisiatif menghantar ibu bapa ke rumah jagaan harian. Ada juga ibu bapa yang sudah tidak mampu mengurus diri sendiri dan perlu kepada perhatian sepanjang masa.

Selain itu, ada juga ibu atau bapa yang tinggal bersendirian di rumah atau di kampung dan dibimbangi oleh anak-anak untuk mengurus kehidupan seharian. Jadi, ibu atau bapa ini akan bergilir-gilir tinggal di rumah anak-anaknya. Namun, sudah pastinya mereka kesunyian apabila anak-anak keluar bekerja awal pagi dan pulang lewat petang.

Pada saya, ibu bapa kita sepatutnya tidak kita sibukkan lagi dengan hal-hal duniawi kita. Meminta mereka menjaga anak-anak kita dengan bayaran tertentu walaupun kita tahu ada juga ibu bapa yang sanggup berbuat demikian kerana tidak mahu cucu mereka diasuh oleh orang asing.

Teringat pula saya kisah seorang wanita yang saya kenali terpaksa memendam perasaan dengan ibu mertuanya. Ibu mertuanya berkeras tidak membenarkan cucunya dihantar ke pusat asuhan anak-anak kerana khuatir dengan pelbagai kes penderaan dan kecuaian pengasuh.

Dan suami yang taat kepada ibu, hanya akur dengan tidak membenarkan permintaan sang isteri yang mahu anaknya sekurang-kurangnya dapat mempelajari sesuatu di tadika, meluaskan pergaulannya dan menyertai aktiviti untuk meningkatkan kemahiran motor halus dan kasarnya. Itu antara salah satu kisah kehidupan yang pelbagai rencam.

Walau bagaimanapun, saya sedar setiap daripada kita menghadapi laluan perjalanan kehidupan yang berlainan. Ada yang hidup berkeluarga, tetapi terpaksa pula meminta bantuan ibu menjaga anak mereka kerana tidak mempunyai kenderaan yang selesa untuk menghantar dan mengambil anak. Ada juga yang disebabkan masalah kesihatan anak yang memerlukan perhatian intensif daripada ahli keluarga. Ada juga yang tidak berkemampuan membayar yuran bulanan pusat asuhan dan bermacam lagi corat-coret yang Allah SWT anugerahkan kepada manusia.

Saya kira niat kita adalah paling penting. Sekiranya niat kita baik mahu memberikan yang terbaik, saya tidak melihat menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang tua dalam bentuk jagaan harian sebagai satu kesalahan yang besar dan patut diperlekehkan.

Hakikatnya banyak faktor yang perlu dilihat dalam keadaan masyarakat kita hari ini. Kita perlu mengambil kira faktor keselamatan, kesihatan dan juga sosial mereka. Biarkanlah mereka melalui kehidupan dengan ceria dan bahagia. Bukan dihadapkan dengan masalah-masalah kita yang mereka telah hadapi bertahun-tahun dahulu.

Jangan salah anggap yang saya menyokong untuk menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang-orang tua. Bagi saya, daripada ibu atau bapa kita hanya duduk di rumah dengan hanya menonton drama demi drama dari pagi hingga ke petang, lebih baik sekiranya kita peruntukkan sedikit wang untuk ibu bapa kita mendalami ilmu akhirat. Selain memperolehi ilmu baharu, masa mereka juga terluang dengan aktivit-aktiviti yang bermanfaat.

Ini juga merupakan antara cara berbakti kepada ibu bapa. Selain daripada kasih sayang dan perhatian, mereka juga masih memerlukan bimbingan agama untuk bekalan akhirat.

Dahulu, tidak pernah terdetik di hati saya untuk mengaitkan sesi perbincangan tersebut dengan ibu bapa saya sendiri kerana saya sendiri tidak akan sanggup menghantar mereka  ke sana. Saya kira, ketika itu pendapat saya itu kosong daripada naluri keibuan berbanding sekarang.

Namun, kalau menganggap ibu bapa sebagai beban lalu untuk ‘meringankan’ beban mereka, mereka menjauhkan ibu bapa sendiri daripada kehidupan sendiri. Langsung tidak menjenguk dan bertanya khabar. Itu pasti akan membuatkan hati saya terusik.

Mungkin ramai yang akan menyalahkan kerana sanggup menghantar ibu bapa ke rumah penjagaan orang tua. Lumrahnya, ramai manusia yang mengata sedang mereka sendiri tidak memahami apa yang kita hadapi sebenarnya.

Namun, kalau untuk kebaikan mereka, kita fikir-fikirkanlah dan timbang tara mana yang terbaik. Harapnya hati mereka senang hati dan gembira dengan apa yang kita lakukan untuk mereka.

Firman Allah SWT: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan apa jua. Dan berbuat baiklah kepada orang tua.” (an-Nisa’ 4:36)

Saya sentiasa berdoa agar saya tidak menjadi seorang tua yang kesepian kelak. Ini hanya pandangan peribadi saya.

Hakikatnya, kehidupan yang Allah aturkan untuk kita sudah mengikut jalur ketentuanNya. Skrip dan jalan ceritanya sudah disediakan, kita hanya ‘pelakon’nya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s