Baik buruknya media sosial, kita yang tentukan

Segmen siaran Radio Era yang dikendalikan oleh Sepahtu baru-baru ini agak menarik. Saya selalu begitu. Tidak ‘setia’ pada satu saluran radio sahaja. Saya lebih suka menukar-nukar saluran yang dirasakan ‘enak’ di halwa telinga. Selalunya saluran yang lebih banyak memutarkan lagu ataupun ada topik menarik yang diulas, itulah yang saya pilih. Kalau rasa siaran tersebut agak membosankan, saya akan mula menukar-nukar saluran sehingga bertemu dengan yang berkenan di hati.

Kisahnya, saya tertarik dengan topik yang dibincangkan iaitu ‘Digoda atau Tergoda di Media Sosial’. Tajuk ini adalah rentetan daripada pendedahan tentang 22 sebab remeh pasangan yang berkahwin bercerai. Pasangan ini dikatakan pasangan yang telah berkahwin dalam tempoh 5 tahun ke bawah. Antara sebab yang disenaraikan ialah suami tidak suka makan di dalam kereta, isteri sorokkan kopiah suami kerana tidak mahu suami menghabiskan masa berborak di surau, berebut rancangan televisyen, cemburu pasangan berkawan dengan bekas kekasih dan macam-macam lagi.

Tempoh lima tahun perkahwinan ini adalah tempoh yang dilihat rapuh kerana dalam fasa inilah pasangan berusaha mencari keserasian antara satu sama lain. Fasa bercinta dan berkahwin adalah fasa yang berbeza. Ada orang kata fasa bercinta adalah fantasi dan fasa berumahtangga adalah realiti. Satu punca yang menyebabkan pengantin baharu bermasam muka ini memang melekat dalam fikiran saya. Remeh dan kedengaran kelakar. Si suami memicit dari atas. Si isteri pula memicit dari bawah. Berbeza cara memicit ubat gigi pun boleh menjadi isu.

Menurut statistik perceraian yang dikeluarkan, dalam tempoh enam tahun lalu, sebanyak lebih 274,000 pasangan Islam di Malaysia bercerai. Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut mendedahkan sebanyak 38,035 pasangan bercerai sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu.

Berdasarkan statistik itu, secara purata sebanyak 156 kes perceraian berlaku setiap hari atau enam kes bagi setiap jam.

Malah, dilaporkan perceraian pasangan Islam dalam tempoh lima tahun lalu juga menunjukkan peningkatan begitu ketara iaitu daripada 43,749 kes pada 2011 kepada 53,870 kes pada 2014, iaitu naik sebanyak 10,121 kes.

Namun, di sebalik semua punca tersebut hakikatnya ada lagi punca yang lebih besar iaitu penggunaan media sosial yang berlebihan sehingga menggugat keharmonian keluarga. Disebabkan ketaksuban itu, ada yang mula berkenalan dengan teman-teman di media sosial sehingga wujud perasaan sayang dan mula merasakan perkahwinan sedia ada bermasalah. Masakan tidak, pasangan di rumah diabaikan dan kurang berkomunikasi tetapi teman di alam siber itu yang lebih diutamakan. Dari pagi membawa ke malam, hanya teman siber yang dihubungi. Masakan hubungan yang hanya bermula dengan teman biasa boleh berubah kepada teman istimewa?

Berbalik kepada topik di Radio Era tadi, seorang pemanggil wanita menceritakan sendiri pengalaman beliau apabila suaminya mula berkenalan dengan seorang wanita lain di facebook. Kebetulan pula, beliau berkongsi akaun laman sosial itu dengan suaminya. Jadi, apa-apa komen di status atau di gambar-gambar yang dimuatnaik dapat dibaca dan dipantau oleh beliau. Beliau mula menyedari apabila ada seorang wanita yang kerap menekan butang like di status-status mereka.

Pada mulanya beliau tidak mengendahkannya dan menganggap itu perkara biasa. Namun, lama-kelamaan, beliau mula berasa sangsi. Lantas beliau mula memeriksa kotak mesej yang rupa-rupanya banyak memaparkan mesej-mesej yang ‘kurang enak’. Akhirnya, si suami mengakui yang di mempunyai hubungan dengan wanita lain. Dipendekkan cerita, mereka berpisah dan bekas suaminya itu berkahwin dengan wanita tersebut. Malangnya, perkahwinan mereka tidak bertahan lama.

Moralnya di sini, hubungan antara suami atau isteri orang ini hanya keseronokan sementara dan tidak berlandaskan ketulusan hanya keasyikan yang seketika. Beliau sempat menasihatkan kepada para pendengar supaya berusahalah untuk tidak menjalinkan hubungan sama ada dengan isteri atau suami orang.

Kisah sebegini sudah terlalu banyak kita dengar. Ini adalah realiti yang berlaku setiap hari. Dalam dunia yang terlalu mendambakan media sosial pada hari ini, gajet telah menjadi benda paling penting dalam hidup. Kehidupan bagaikan tidak sempurna seandainya sehari tidak menjenguk ke laman sosial.

Teringat pula saya kepada pertanyaan yang pernah saya baca di Majalah Remaja ketika berada di sekolah menengah. Pada ketika itu, tiada lagi penggunaan telefon bimbit. ‘Apakah barang yang wajib apabila keluar dari rumah?’ Selalunya soalan itu ditujukan kepada selebriti untuk sesuatu ruangan di dalam majalah tersebut. Antara jawapan yang masih saya ingat adalah kunci rumah, dompet, kad pengenalan, pen ataupun buku catatan.

Tetapi sekiranya soalan itu ditanyakan pada era ini, sudah tentunya jawapannya adalah telefon bimbit. Rasanya majoriti telah menggunakan telefon pintar yang boleh memuatkan pelbagai perisian seperti facebook, youtube, instagram, permainan Candy Crush Soda (yang telah termasuk di dalam iklan baru-baru ini tentang apa yang remaja lakukan sepanjang hari). Pada hari ini, facebook telah menajdi medium penting dalam kehidupan manusia. Aktiviti seharian dirasakan tidak lengkap tanpa membuka facebook.

Di sisi lain, saya melihat banyak juga manfaat yang kita boleh perolehi daripada facebook. Contohnya, peluang untuk kita membantu mereka yang tidak berkemampuan, membantu mereka yang memerlukan rawatan, tips mendidik anak, nasihat, tazkirah ringkas seperti fenomena ‘Ini Rashid’ yang menjadi viral dan perhatian kebelakangan ini.

Rasanya isu penggunaan laman sosial ini sudah banyak diperkatakan oleh pelbagai pihak termasuk cendekiawan dan ulama.

Menggunakan kemudahan yang ada bukan satu kesalahan cuma, sebagai seorang Islam kita perlu meletakkan had penggunaan bagi menyeimbangkan semua urusan dalam aktiviti seharian. Urusan paling penting adalah mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sedangkan kita ini dicipta oleh Allah hanya untuk beribadah kepadaNya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (Az-Zariyaat 51:56)

Mungkin ada yang mempertikaikan, ‘Aku berwhatsapp tapi aku sembahyang. Tidaklah sampai aku tinggalkan sembahyang.’ Kita tidak menafikan semua itu. Namun, kalau dihitung berapa banyak masa yang kita peruntukkan untuk gajet berbanding dengan masa menghadap Allah? Itupun selalu kita amalkan, telefon diletakkan di tepi sejadah. Habis sahaja salam akhir, telefon itulah yang kita capai dahulu. Lebih-lebih lagi apabila telinga kita menangkap bunyi ton menandakan ada mesej baharu yang masuk.

Selalu kan kita mendengar orang memberi alasan tidak sempat membaca al-Quran ataupun menunaikan solat sunat. Namun, ada pula masa untuk menskroll segala status yang terpampang di wall facebook. Itupun sudah memakan masa berapa lama? Kemudian, apabila ada status atau gambar yang menarik, kita pun menekan butang ‘ like’.

Selain itu, memberi perhatian kepada keluarga adalah tanggungjawab kita terutama memperuntukkan masa berkualiti dengan anak-anak. Tips mendisiplinkan diri untuk tidak menggunakan telefon bimbit atau sebarang gajet dari pukul 6 petang hingga 10 malam adalah satu kaedah terbaik yang boleh kita praktikkan. Saya sudah mencuba tetapi mungkin agak payah di awalnya kerana kebiasaan yang sudah sebati. Usaha ini masih berterusan apatah lagi anak-anak saya sekarang memang pantang melihat saya memegang telefon, mereka juga berebut-rebut hendak menggunakannya.

Saya cuba juga dengan membuang perisian YouTube. Saya terkesima baru-baru ini kerana ada juga video berbentuk animasi tetapi memaparkan adegan yang sama sekali tidak sesuai dengan kanak-kanak. Sekarang telefon hanya untuk menonton video gelagat mereka sendiri yang saya simpan sebagai kenang-kenangan.

Setakat ini, cara ini berjaya tetapi bimbang pula kerana anak makin membesar dan kalau mengikut kepada pengalaman kawan-kawan, anak mereka sendiri sudah pandai memuatnaik perisian yang mereka mahukan di Play Store.

Begitu juga dengan urusan kita dengan masyarakat. Manusia secara fitrah, perlu kepada hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap orang harus saling memerlukan di antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan. Tidak  mungkin seorang manusia boleh hidup seorang diri tanpa perlu berurusan dengan orang lain selama dia tinggal dalam sebuah komuniti.

Jiran adalah orang paling hampir untuk kita minta bantuan ketika berlaku kesusahan. Oleh sebab itu, Islam amat menganjurkan supaya umatnya berbuat baik kepada jiran tetangga seperti menziarahi jiran yang sakit, menghadiri jemputan perkahwinan atau apa-apa majlis yang sesuai, membantu ketika berlaku kematian, meraikan kegembiraan bersama-sama, berkongsi kesedihan dan sebagainya.

Pernah dengar tagline yang selalu digunakan oleh Allahyarham Aziz Desa dalam segmen Malaysia Hari Ini suatu ketika dahulu? ‘Yang jauh kita dekat-dekatkan, yang dekat kita mesra-mesrakan’? Nampaknya, dalam dunia hari ini, yang dekat itulah yang semakin renggang dan jauh kerana perhatian dilebihkan kepada yang jauh yang wujud di alam maya.

Di mana-mana sahaja sekarang ini, terutama di tempat makan. Telefon bimbitlah yang menjadi agen komunikasi. Berjumpa untuk tujuan berbual-bual tetapi tumpuannya lebih kepada alat perhubungan canggih itu, bukan sosok yang berada di hadapan mata.

Baik buruknya penggunaan media sosial, segala-galanya tertakluk kepada tapisan yang ada di dalam diri kita. Kawalan diri itu memang perlu ada kerana hidup kita bukan untuk disia-siakan begitu sahaja. Tanggungjawab yang dipikul perlu dilunaskan. Kita tidak mampu menolak kecanggihan teknologi yang dibekalkan kepada generasi hari ini. Yang mampu kita lakukan adalah membuat pertimbangan dan pertimbangan itu ada pada diri kita.

Editor.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s