Momen Mencabar Tapi Indah

Dah lama saya nak upload entri ni tapi asyik tergendala je. Alhamdulillah, Tuah sudah genap 7 bulan mengikut tarikh lahirnya. Bila dia genap 6 bulan Disember lalu, itu adalah saat yang melapangkan dada saya. Bayangkan, dari hari pertama Tuah dilahirkan saya menghitung hari dan tidak pernah berhenti berdoa supaya Allah memberikannya kekuatan. Hari dia dibenarkan pulang beberapa hari sebelum Aidilfitri setelah berada 2 bulan di NICU, sememangnya hari yang menggembirakan saya dan my adeng. Tapi, jauh di sudut hati saya, saya cukup berdebar dan tertanya-tanya, bolehkah saya menjaga bayi ini dengan baik? Ketika itu beratnya tidak sampai pun 2kg.  Doktor membekalkan beberapa pesanan. Antaranya ialah, kami berdua kena selalu perhatikan pergerakan Tuah dan tak boleh tinggalkan dia bersendirian. Kalau nampak sesuatu yang mencurigakan terus rujuk ke Unit Kecemasan HUKM.  Kami juga diberi senarai klinik untuk temujanji susulan Tuah. Tuah kena jalani pemeriksaan mata, telinga, otak, fisioterapi dan klinik pediatrik secara berkala. Tuah juga dibekalkan 3 jenis vitamin yang perlu diambil setiap hari selama 2 bulan.

Gambar 2 hari sebelum Tuah dibenarkan discharge

Gambar hari ketiga kat rumah, bersiap nak ke HUKM untuk appointment pertama

Sepanjang perjalanan dari HUKM ke rumah, bibir saya tidak berhenti berdoa dan berzikir.Takut, cemas, risau, bimbang, cuak semuanya ada. Malam pertama Tuah di rumah, kami tiga beranak tidur di ruang tamu kerana saya takut saya tak sedar bila Tuah menangis mahukan susu.  Saya  memang seorang yang kuat tidur dan susah terjaga. Tapi, dengan adanya Tuah kebiasaan itu terpaksa saya ubah. Berbanding semasa di hospital, nurse yang banyak berikan susu, tukarkan lampin dan berikan ubat kepada dia, dan ketika ini bermulalah tugas saya sebagai seorang ibu sepenuhnya.

Esoknya, my adeng pergi ke pejabat sekejap kerana dia diberitahu yang  bahagiannya kena berpindah ke tingkat lain. Jadi, dia mahu mengemas meja kerjanya. Ketika saya memberikan susu badan kepada Tuah, tiba-tiba dia macam tersedak dan badannya terus lembik. Saya dah menggeletar masa tu. Beberapa kali saya panggil nama dia dan tepuk-tepuk dia. Allah sahaja yang tahu perasaan saya pada masa tu. Saya tak mahu hadapi kemungkinan yang sangat menakutkan tu. Saya telefon my adeng, menangis-nangis, mintak dia balik cepat.  Kaki saya dah lembik dah masa tu. Dalam beberapa minit, Tuah kembali normal. Walau macamanapun kami terus ke Unit Kecemasan UKM. Doktor bertanya beberapa soalan sambil memeriksa denyutan jantung Tuah. Tak ada apa-apa masalah. Saya diminta berada di situ dahulu untuk pemeriksaan lanjut. 3 orang doktor memeriksa Tuah dan akhirnya Tuah dibenarkan balik setelah yakin melihat keadaan Tuah. Doktor kata mungkin dia tersedak sebab susu saya banyak. Kemudian dia bagi tips macamana cara untuk menyusukan baby. Yelah, saya pun baru-baru nak belajar direct feeding. Tuah pun dah start menangis kelaparan. Lega rasanya.

HUKM sudah menjadi rumah kedua kami. Tiga minggu berturut-turut, Tuah menjalani pemeriksaan mata. Doktor temui ada saluran darah di matanya yang dinamakan ROP. Lazimnya ia boleh hilang tetapi memandangkan Tuah pramatang, doktor khuatir ia akan merebak dan seterusnya menyebabkan mata Tuah kena lazer untuk menghilangkannya. Berdebar dada saya bila dengar doktor terangkan pasal tu. Tapi, nak tak nak saya kena kuatkan hati. Kemudian appointment matanya berselang 2 minggu. Apabila melepasi tarikh Tuah sepatutnya lahir iaitu penghujung September, doktor kata ROP tu dah hilang. Alhamdulillah, mata Tuah dalam keadaan baik. Appointment seterusnya 6 bulan seterusnya iaitu dalam bulan 4 nanti. Hilang rasa beban di bahu.

Satu lagi masalah yang dihadapi oleh Tuah ialah bengkak di atas kemaluannya yang dinamakan hernia. Semasa dalam wad, doktor tidak maklumkan kepada kami yang Tuah ada simptom tu. Dalam bahasa kita, angin pasang. Cuma dimaklumkan disebabkan Tuah lahir terlalu awal, ada saluran yang mengeluarkan cecair dari perut ke kantung zakarnya yang belum tertutup. Tapi lazimnya ia boleh tertutup dalam masa setahun. Sekali lagi, kami bawa Tuah ke unit kecemasan setelah membaca laporan dischargenya. Memang ada tertulis dalam tu tapi kitaorang tak perasan.

Doktor di unit kecemasan memanggil doktor pead surgery sendiri untuk memeriksa Tuah. Dia menekan-nekan bengkak tersebut. Katanya, kalau baby tak menangis bila ditekan macam tu, jadi tak perlu bimbang. Dia kemudiannya terus mengatur pembedahan kecil untuk Tuah pada 29/9/11. Saya tanya doktor, solutionnya memang pembedahan ke doktor? Jawabnya, ya. Saya cemas lagi. Sebagai ibu, sumpah saya tak sanggup melihat anak sekecil itu dibedah. Konflik juga la saya dengan my adeng. Akhirnya, setelah dipertimbangkan kami nekad Tuah dibedah walaupun dibantah oleh keluarga. Mereka suruh kami buat rawatan tradisional. Saya yakin, Allah yang meniupkan rasa yakin saya ini. Hari sebelum Tuah dibedah, saya bermalam dengan Tuah di Wad Pediatrik. Pagi esoknya, Tuah ditolak ke bilik pembedahan. Saya diminta menukar pakaian khas kerana ibu akan berada di dalam bilik pembedahan dan diberi penjelasan sekali lagi tentang proses laparoskopi hernia repair dan tunggu sehinggalah bayi diberi bius. Sekali lagi, hati dan jiwa saya diuji. Rasanya saya mahu meraung ketika itu. Saya melihat badan Tuah dipasang wayar. Sejak semalam saya tidak putus berbisik kepadanya, yang dia mesti kuat jalani semua ini. Sebelum keluar saya cium pipi Tuah dengan air mata. Allah sahaja yang tahu perasaan saya pada masa itu.

Memang doktor dah jelaskan laparoskopi menggunakan kamera dan peralatan panjang untuk menebuk bahagian badan. Ia boleh menampal tempat hernia yang berlubang dengan mesh atau jaring. Cara baru ini mengurangkan kejadian hernia berulang. Parut dan kesakitan pun kurang. Selalunya pembedahan hernia berjalan lebih kurang sejam tapi saya menunggu Tuah lebih 2 jam. Tetapi sepanjang menunggu saya berasa sedikit lega sebab berbual-bual dengan ibu-ibu yang juga menunggu anak mereka. Kes hernia ni memang biasa rupanya. Beberapa kali saya ke tandas. Bila saya keluar dari tandas, saya nampak katil yang membawa Tuah. Dia dah menangis masa tu. Saya tahu dia lapar sebab start pukul 6 pagi, dia kena ‘berpuasa’. Kesian saya menengoknya. Tuah ditolak keluar dan kebetulan ramai pula orang yang menunggu sedara mara mereka di luar. Satu ayat yang menangkap ke telinga saya..Eee…keciknya baby ni, siannya dia. Tuah ditempatkan di Wad Pedeatrik Khas. Semalaman lagi di hospital dan esoknya saya lega kerana Tuah dibenarkan pulang. 11/10 ke hospital lagi sebab doktor nak tengok keadaan lukanya.

Gambar sebaik sahaja selepas surgery. Tuah tidur dalam kelaparan sebab doktor tak benarkan susu masuk dalam perut lagi. Sedih betul masa ni

Bersiap sedia nak balik rumah dah!!

Saya memang sangat bersyukur sebab Tuah adalah anugerah Allah yang kuat semangatnya. Plaster di perutnya langsung saya tak usik. Satu, sebab doktor dah pesan tak payah tanggalkan, biar ia tertanggal sendiri. Kedua, saya tak sampai hati nak tengok kesan luka tu. Bila jumpa doktor peads surgery, dia kata kesan tebukan tu dah sembuh. Memang sebelum doktor, saya tak berani nak  basahkan tempat luka. Berhati-hati betul saya mandikan Tuah. Saya nak Tuah cepat baik.

Sebenarnya, banyak yang saya nak ceritakan pasal Tuah ni. Memang banyak yang berlaku sepanjang 6 bulan saya menjaganya sepenuh masa. Saya melihat perkembangannya dan rasanya perasaan risau tu memang sentiasa dalam diri saya. Walaupun keluarga saya kata, tak payah risau-risau, tapi sebagai ibu dan ayah yang melihat dia daripada sebesar botol mineral kecil, dan bernafas dengan bergantung kepada oksigen dan wayar yang berselirat di badan, rasa risau tu memang tidak dapat dielakkan terutama sekali saya. Dia batuk dan selsema pun saya risau. Saya takut sebab melalui pembacaan bayi pramatang ni mudah terkena asma.

Sekarang, Tuah dah makin bijak. Dah kenal ibu dan ayahnya, dah pandai tengok tv. Kalau tengok tv tu, beriya-iya macam dia faham je cerita tu hehehe…Dah pandai gelak, dah pandai senyum. Kalau saya pakai tudung, dia macam tahu je nak pergi jalan. Dia pandang je dan bila angkat dia bukan main excitednya dia. Dia pun dah dibawa balik ke kampung saya dan my adeng. Cuma majlis cukur jambulnya lagi belum dibuat. Insya Allah, kami rancang nak buat bulan depan. Tak sabar tengok kepalanya dibotakkan walaupun saya sangat sayangkan rambutnya yang hitam dan lebat tu.

Tengok rambutnya yang saya old school kan? Disebabkan rambutnya lebat macam2 gaya saya buat. K-Pop boleh, rambut pacak pun boleh.

4 thoughts on “Momen Mencabar Tapi Indah

  1. Iman hayaty says:

    Hai….ape yg saudari lalui sy pn sedang laluinya skrg…..melihat ank membesar dr sebesar botol mineral mmg mbuatkan sy sentiasa dlm berdebar2 krn mcm2 yg sy pk.bby sy pramatang 27mgu..sy name kan nur iman khadijah..khadijah sempena name isteri rasulullah saw….krn sy mahu ank sy kuat cm siti khadijah…sume yg saudari lalui tu sy pn laluinya..brulang hsptl,jmpe pkr pediatrik,wt ROP….skrg ank sy bru 6bln dgn brt 3.5kg…..terasa lmbt je dia membesar…xseperti bby normal….

    • ilhamfatihah says:

      Sabar dan tabah adalah ubat paling mujarab saat ini. Percayalah, kerana suatu hari nanti apabila melihat anak ini membesar kita akan rasa seperti tidak percaya kita punya kekuatan seperti itu. Kekuatan yang dianugerahkan oleh Allah untuk anugerah terindah dalam hidup kita.

      Ya, dalam waktu ni kita akan menghitung hari dan sentiasa fikir bila la anak ni nak membesar. Tak apa, just follow the flow dan tidak lupa sentiasa berdoa semoga Allah terus berikan kekuatan buat awak dan Nur Khadijah. Insya Allah anak-anak seperti ini adalah pejuang.

      Oh ya, tahniah kerana dikurniakan Nur Khadijah. Semoga Nur Khadijah menjadi anak solehah dan berbakti kepada agama bangsa dan negaranya. Amiinn..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s