Usaha+Doa+Tawakal

Bila aku tengok senarai entri, rupa-rupanya bulan 3 ni aku belum masukkan apa-apa entri rupanya. Kenapa, ya? Hmm…sibuk dengan tugasan di pejabat dan juga sedang menjalani usaha peribadi. Kebetulan kedua-duanya berjalan seiring. Tak apalah, yang penting aku kena kuat. Kuat semangat! Kadang-kadang soalan yang satu ni selalu muncul dalam fikiran aku. Apa yang aku perlukan di dunia ini sebenarnya? Rumah besar? Kereta besar? Harta berlimpah ruah? Anak setengah dozen? Hidup dalam kesederhanaan tetapi penuh jiwa rasa yang membunga? Ataupun apa?? Hakikatnya sehingga hari ini aku masih temui jawapannya. Patutkah?

Sudah mencecah 1524 hari usia perkahwinanku. Aku mengakui, kadang kala aku sunyi tanpa kehadiran suara kanak-kanak dalam kehidupan seharian sebagai seorang isteri. Kadang kala aku cemburu dengan pasangan yang sangat mudah mendapatkan anak. Kadang kala aku takut untuk menjadi seorang ibu, bimbang aku tidak mampu menjadi ibu terbaik buat zuriat-zuriatku. Namun, aku sedar semua ini adalah ujian dan aku harus berpegang Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk aku. Aku harus redha, sentiasa sabar dam berlapang dada dengan ketentuan ini. Walau apapun yang aku rasa, usaha untuk memiliki darah daging sendiri tetap diteruskan dengan sokongan daripada suami dan keluarga kedua-dua belah pihak. Dan sesungguhnya aku bersyukur kerana baik keluarga aku mahupun keluarga suamiku tidak pernah mendesak  kami. Cuma kami terpaksa menadah telinga menerima pertanyaan dan kadang-kadang berbaur sindiran daripada saudara mara yang lebih sudu dari kuah.

Aku jalani proses laporoskopi dan dye (lap n dye) sebagai tujuan menyiasat sebarang punca yang mungkin menghalang usaha aku untuk hamil. Keputusan untuk melakukannya bukan mudah untuk aku buat. Ada perbincangan dengan suami, ada timbang tara dalam diri aku sendiri.  Kena nekad sebelum benar-benar pasti untuk menjalani pembedahan kecil itu. Ya, ia memang pembedahan kecil kerana perut kita ditebuk lebih kurang setengah inci sahaja tetapi tetap mendatangkan kesakitan. Doktor pun cakap macam tu. Dah namanya pembedahan, sakit tetap datang.

Aku masuk wad HUKM pada 8.3.10. Aku disoal selidik oleh 2,3 orang doktor. Doktor yang biasa aku jumpa, memang tidak akan incharge di wad. Namun aku senang mereka bertanya dalam intonasi yang sangat prihatin. Terima kasih kepada mereka. Mereka jelaskan aku akan masuk ke bilik pembedahan keesokan harinya. Mereka ceritakan prosesnya secara ringkas dan aku pun dah buat pembacaan sikit-sikit dan dah dijelaskan oleh kawanku yang sudah melalui pengalaman itu.

Pai 9.3.10. Aku disuruh berpuasa tepat pukul 12 tengah malam. Air pun dah dimasukkan ke badan melalui saluran darah. Satu suasana yang memang tidak selesa apabila terpaksa membawa ‘tong’ air itu ke bilik air. Nurse kata kalau nak ke bilik air, panggilkan mereka dan mereka akan cabutkan ‘tong ‘air itu untuk sementara tapi rasanya aku masih boleh lunaskan hajat dengan keadaan begitu. Rasa macam tak nak menyusahkan orang. Lepas solat Subuh di surau wad, aku  ke bilik air untuk mandi. Waktu aku di bilik air, nurse melaung nama aku. Katanya, doktor OT (operation theatre) dah panggil. Tak boleh lambat nanti kena marah. Kembali ke katil, aku disuruh tukar baju berwarna putih. Kemudian aku ditolak dengan katil ke bilik pembedahan. Aku beristighfar banyak-banyak. Aku sempat hantar sms kepada suami memberitahu keadaanku. Kalau boleh memang aku nak dia ada sebelum aku masuk tetapi aku tak sangka pagi-pagi aku dah nak kena operate.

Sebelum masuk ke bilik pembedahan, aku diberi ubat penenang. Waktu ditolak ke bilik itu, aku masih sedar mereka yang ada kat situ tengah sibuk buat persiapan dan entah bila aku dibius dan terlena, sedar-sedar aku rasa sakit-sakit di perut dan tubuh aku menggigil menahan kesejukan yang maksima. Aku dengar suara-suara nurse  yang mintak supaya aku tidak banyak bergerak. Aku mamai masa tu. Aku tertanya-tanya, aku ni dah sudah ke belum? Tapi perut rasa sakit, maknanya dah sudahlah tu. Tadi aku sempat juga tengok jam. Aku masuk lebih kurang pukul 8.45 pagi dan keluar sebelum pukul 12 tengahari. Dah balik ke katil, aku terlena lagi. Bila dah sedar, sakitnya lagi terasa. Pergerakan agak terbatas dan rasa takut nak bergerak. Aku bayangkan macamanalah orang yang bersalin cara pembedahan. Aku ni pun dah rasa seriau sangat-sangat.

Dr. Aizudeen, doktor yang boleh dikatakan bertanggungjawab sepenuhnya di wad itu, mula menjelaskan penemuan pembedahan itu. Tiada masalah besar cuma ada spot-spot endometriosis yang mengurangkan peluang untuk aku mengandung. Endometriosis adalah satu keadaan selaput-selaput yang menjatuhkan darah haid pada setiap bulan tu berada di tempat-tempat lain seperti di kelenjar ovari dan luar dinding rahim. Dalam kes aku,  spot-spot tu dalam stage 1 dan tidak membahayakan. Doktor dah buang spot-spot tu dengan teknologi yang ada. Alhamdulillah.  Aku sedar ini adalah pengorbanan yang aku lakukan untuk suami aku dan diri aku sendiri walaupun hakikatnya suami aku tidak pernah memberi tekanan kepada aku.

Sekarang, aku mahu terus pandang ke hadapan dan tidak putus berdoa semoga segala usaha ini akan terus dipermudahkan dan membuahkan hasil juga satu hari nanti. Insya Allah.

2 thoughts on “Usaha+Doa+Tawakal

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s