Cerpen : Nek Timah

Nek Timah duduk bertimpuh, sedang tekun mengupas bawang di ruang dapur rumah peninggalan arwah suaminya. Semua bahan yang hendak dimasak telah dilonggokkan di hadapannya. Memasak memang kegemarannya Cuma apabila sudah tinggal bersendirian begini, dia jarang memasak. Tak berbaloi rasanya menghabiskan tenaga untuk menyediakan makanan tetapi makanan yang boleh diterima oleh tekaknya hanya dua, tiga suapan. Namun hari itu berbeza. Berbeza kerana anak kesayangan yang dikatakan oleh anak-anaknya yang lain, hendak balik bercuti dari Kuala Lumpur. Semangat Nek Timah menggunung tinggi. Tenaganya jadi luar biasa hari itu. Sebaik solat Subuh dia sudah menapak perlahan-lahan ke kedai Salleh yang terletak selang tiga rumah sahaja dari rumahnya. Dia tahu Salleh memang sudah membuka kedai runcitnya seawal pagi kerana kedainya itu terletak bersebelahan dengan kedai makannya yang cukup popular di kawasan perumahan kos rendah itu. Setelah membeli bahan-bahan yang sesuai dengan menu yang menjadi kegemaran anak lelakinya itu, Nek Timah terus menapak pulang. Namun tidak lupa berkongsi cerita dengan Salleh dan pengunjung-pengunjung kedainya. Salleh, seorang lelaki berusia pertengahan 40-an, tahu kerinduan yang telah bersemi dalam hati Nek Timah. Anak lelaki itu adalah anak lelaki yang paling disayangi tetapi anak itulah juga yang jarang benar balik menjenguk ibu yang semakin uzur. Berbanding dengan tiga orang lagi anak Nek Timah yang memang akan balik menjenguk ibu mereka sebulan sekali. Cuma yang paling kerap ke situ adalah anak sulung Nek Timah, Zalinah yang kebetulan tinggal di bandar yang sama.

Sesudah menyiapkan semua bahan, Nek Timah mula menumis gulai asam pedas ikan tenggirinya. Sesekali dia mengerling ke arah jarum jam yang digantung di dinding dapur itu. Jam berbentuk bulat itu bersaiz agak besar. Senang mak nak tengok waktu nanti, kata Zalinah apabila dia membebel, tidak bersetuju jam itu diletakkan di situ. Selama ini pun dia dan arwah suaminya tidak pernah pula menggantung jam di ruang dapur. Pelik benar rasanya. Dia memang hendak membantah tetapi apabila menantunya, Zakri bersuara dia terus terdiam. Zakri memang jarang bercakap dengannya namun sepatah dia mengeluarkan suara memang mampu mematahkan semua bicara Nek Timah. Sebab itu, Nek Timah segan dengan menantu sulungnya itu.

“Tak lama lagi sampailah anak mak ni. Dah lama betul mak tak tengok Muhammad Hakim. Cucu-cucu mak apa khabarlah agaknya. Mesti dah besar. Menantu mak, Murni mesti makin cantik dan kekal dengan sifat lemah-lembutnya itu.” Sambil menggoreng ikan, Nek Timah bercakap sendiri. Dia senyum lebar. Sudah hampir dua tahun Muhammad Hakim tidak pulang. Anak-anaknya, Zalinah, Muhammad Hasyim dan Zarinah ada juga sekali sekala menelefon Muhammad Hakim bercerita tentang kerinduan emak terhadapnya tetapi alasan yang selalu diberikan ialah sibuk dengan kerja dan anak-anak pula sibuk dengan kelas tuisyen, sekolah kebangsaan dan sekolah agama petang. Nek Timah redha.

Mungkin ketara dia melebih-lebihkan Muhammad Hakim berbanding abang dan kakak-kakaknya. Dia memang selalu melebihkan anak bongsunya itu sejak dari kecil. Dia sendiri tidak pasti kenapa wujudnya perasaan sebegitu. Arwah suaminya yang meninggal ketika Muhammad Hakim berusia 12 tahun, selalu berpesan supaya dia berlaku adil kepada semua anak-anaknya dan meminta supaya tidak dimanjakan Muhammad Hakim itu berlebih-lebihan kelak akan membawa sengsara kepada dirinya. Nek Timah sudah berusaha tetapi Muhammad Hakim sangat istimewa baginya. Wajahnya saling tak tumpah dengan arwah tetapi sikapnya jauh berbeza dengan arwah yang tenang dan sangat penyabar itu. Kalau diikutkan itu, Muhammad Hasyim benar-benar menyalin perangai arwah suaminya itu.

Bunyi hon kereta di luar rumah terus menyemarakkan lagi rasa gembira dan bahagia di hati Nek Timah. Dia terus meluru ke hadapan rumah, membuka pintu dan menyambut kehadiran anak menantu dan cucu. Muhammad Hakim keluar dari perut kereta dengan senyuman yang langsung tidak ikhlas dari wajahnya. Nek Timah perasan tentang itu tetapi dia mahu menolak rasa itu jauh-jauh. Yang penting anaknya sudah balik menjenguknya. Setelah Muhammad Hakim mencium tangannya, dia terus memeluk erat anak yang sangat dirinduinya itu. “Hakim sihat?” Soalnya sambil air matanya tidak henti-henti berjurai. Dalam pelukan Nek Timah, Muhammad Hakim mengangguk-angguk. Dia berdebar-debar sebenarnya. “Ya Allah, balik juga Hakim ke rumah mak. Murni, Fahmi dengan Tizzy mana?” Dia melepaskan rangkulan lantas tertinjau-tinjau.Dia nampak ada susuk orang di dalam kereta itu tapi penglihatannya memang berkurangan sekarang ini.  “Emak,” dipegangnya tangan Nek Timah. “Hakim nak beritahu sesuatu pada mak.” Nek Timah pandang tepat ke wajah Muhammad Hakim yang sudah berkaca mata. Ada aliran debar di hatinya tetapi dia hanya bicara seterusnya dari bibir Muhammad Hakim. “Sebenarnya, Hakim dan Murni dah…dah berpisah. Dalam kereta tu, isteri baru Hakim, Mysara. Dah setahun kami kahwin, mak.” Nek Timah jadi lemah. Tidak pasti adakah kerana mendengar pengkhabaran perkahwinan baru Muhammad Hakim atau rasa yang sangat dukacita apabila dia diketepikan dalam hidup anak lelakinya itu. Sudah setahun tetapi baru saat ini hal itu dimaklumkan kepadanya? Dia bukan ibu kepada Muhammad Hakimkah? Air matanya tumpah lagi. “Cucu-cucu mak?” Dalam sendu, dia bertanya lagi walaupun rasanya dia mahu rebah ketika itu juga. “Hakim beri hak penjagaan pada Murni. Lagipun, Hakim boleh buat anak baru, mak. Hakim mampu.” Nek Timah terlongo. Terlalu kesat rasanya bahasa Hakim. Dia sedih, kecewa. Berasa terpinggir dan mula melihat anak yang paling dikasihinya itu amat berbeza dengan anak-anak yang sering diabaikan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s