Cerpen : Bos Aku Ke Tu?

Naela duduk terpaku di kerusi meja kerjanya yang terletak betul-betul di hadapan bilik Pengurus Besar DH Consultant Sdn. Bhd. Dia menjeling menerusi cermin yang memisahkannya dengan ruang kerja lelaki yang digelar ‘big boss’ di pejabat itu. Dia dapat melihat lelaki berusia lewat 30-an itu sedang khusyuk menghadap komputer. Siap dengan dahi yang berkerut-kerut. Naela mengeluh. Ini yang aku malas ni. Kerja dia tak siap, aku pulak yang kena tunggu dia., bebelnya dalam hati. Sudah hampir sepuluh kali dia melihat jam di tangan. Jam sudah menunjukkan pukul 7 malam tetapi rasanya masih banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum pembentangan n kepada sebuah universiti swasta pada hari esok. Nasib baik juga pembentangan akan diadakan pada waktu petang. Masih ada lebih 24 jam untuk dimanfaatkan. Telefon yang berdering mematikan omelan dan rasa tidak puas hatinya. “Nael, mana profil universiti tu? Kan saya kata saya nak semak.” Nada suara di talian berbunyi perlahan tetapi sebentar tadi rasanya macam halilintar meminta supaya profil itu dibawa masuk dengan kadar segera. Naela teguk liur. Itulah, dari tadi dok membebel. “Maaf tuan. Saya tengah cari atas meja Fikri.” Dia menjeling ke arah meja Fikri, Pegawai Perhubungan Awam yang menyimpan semua profil institusi dan syarikat yang berurusan dengan mereka. Naela tahu, profil itu tidak susah untuk dicari memandangkan itu adalah projek utama DH Consultant buat masa ini. “Alahai, cepat-cepat. Saya ni kena balik sebelum pukul 9. Kang mengamuk pulak tunang saya tu. Dah janji nak makan malam dengan dia.” Naela garu kepala yang sah-sah tidak gatal itu. Mengigau ke cerita kat aku pasal hal peribadi. Tak pernah dibuat sebelum ini walaupun dia adalah pembantu khas Tuan Azlan Abidin bin Dato’ Mokhtar Abidin itu.”Ya, saya bawa masuk dalam bilik tuan Azlan.” Talian dimatikan yang terus mendorong Naela untuk mendapatkan apa yang dimahukan oleh majikannya itu.

Dia menghulurkan profil setebal 24 muka surat itu kepada Tuan Azlan. “Banyak lagi ke, tuan?” Berat untuk dia bertanya tetapi dia terpaksa bertanya. Tuan Azlan mendongan diiringi muka yang serius. “Awak nak balik ya, Nael?” Pucuk dicita ulam mendatang. Dia cepat-cepat mengangguk. “Eh, balik sekali dengan sayalah. Sementara tu awak pergi solat Maghrib dulu. Ada sikit lagi saya nak semak bahan pembentangan ni. Dah bagus dah apa yang Rafail buat ni tapi saya nak buat semakan supaya tidak ada kesilapan esok.” Naela hampa. Dia berlalu meninggalkan bilik itu dengan rasa membengkak. Dia tak ada pula menyuruh Naela melakukan apa-apa kerja sekadar menjadi penemannya. Naela ke bilik solat. Dia tahu ada lagi seorang dua pegawai di unit kewangan yang terletak berhampiran dengan bilik solat masih menyiapkan kerja mereka.

20 minit kemudian dia kembali dan melihat Tuan Azlan sudah bersiap-siap hendak balik. Dia mengorak senyum. Lega rasanya. Dia menunggu di muka pintu. “Tuan dah nak balik, ya?” Soal Naela sejurus Tuan Azlan muncul di hadapannya. “Belum lagi. Saya nak solat dulu. Saya tak balik rumah terus ni.” Dia memandang Naela dengan muka bersahaja. “Emm..kalau macam tu saya balik dululah, tuan.” Dalam hati sebenarnya dia risau pulang dalam waktu begitu. Nasib baik juga kereta diparkir di hadapn pejabat. Kalu parkir di tempat letak kereta di bawah tanah tu, mahu menggeletar juga lututnya untuk sampai ke keretanya. “Awak tunggu saya solat dululah, Nael. Nanti kita turun sama-sama,ya?” Sempat juga dia memberi senyum. Naela sendiri tidak pasti apa maksud senyuman itu. Dalam rasa yang amat terpaksa, dia menunggu juga lelaki itu selesai bersolat. Sambil itu, dia bermesej dengan kawan serumahnya, Ainda. Ruang pejabat itu sudah lama sunyi sejak pukul 6 tadi. Apabila dia menjenguk ke tempat kewangan, ruang itu pun sudah tiada orang. Mungkin mereka sudah balik ketika dia sedang berbual dengan Tuan Azlan tadi.

Kemunculan Tuan Azlan melegakan Naela. Jam sudah menunjukkan hampir pukul 8 malam. “Marilah kita balik. Lepas ni saya nak ke Bangsar.” ujar Tuan Azlan yang tampak berseri setelah wajahnya disapu dengan air wuduk. Naela hanya mengangguk. Tumpuannya kini hanya untuk tiba ke keretanya. “Kita dah tutup semua lampu tadi kan?” Sekali lagi Naela mengangguk. “Kenapa dengan awak ni? Senyap saja dari tadi. Marahkan saya sebab tunggu lama tadi, ya?” Tuan Azlan menduga apabila dilihatnya Naela hanya diam di dalam lif itu. “Tak adalah.” Dia bukannya marah sebab dia tahu dengan tuntutan kerjanya tetapi pelik benar Tuan Azlan malam ini. Suruh tunggu tapi bukan suruh dia membantu kerja-kerja yang perlu diselesaikan. Cuma menjadi pak pacak. “Saya tahu awak marahkan saya. Tapi…” bicaranya terputus. Dia memandang ke arah butang lif yang sudah menunjukkan butang tingkat bawah. Gelagat Tuan Azlan menarik perhatian. Sebaik pintu lif terbuka, dia hanya menanti bicara Tuan Azlan yang seterusnya. Dia tahu lelaki itu akan bercerita. “Awak tahu, seminggu ni saya selalu balik lambat dan solat Isyak pun kat pejabat. Awak bayangkan saya pergi bilik solat yang gelap gelita tu tapi dengar suara perempuan mengaji. Lepas tu, dengar suara bayi menangis tersedu-sedu. Hee..tak tahulah saya nak bayangkan perasaan saya masa tu. Tak adalah saya solat kat situ. Terus saya lari balik.” Langkah Naela mati. Dia tidak tahu sama ada hendak bereaksi takut atau mahu ketawa kerana lelaki yang dirasakan gagah selama ini terserlah benar penakutnya ketika  itu. Lain kali awak temankan saya lagi,ya? Tak sanggup saya nak menghadap bunyi-bunyi macam tu. Lagi satu, awak jangan ceritakan pulak pada kawan-kawan sekerja. Malu saya nanti.” Saat itu Naela rasa mahu ketawa sekuat hatinya.

2 thoughts on “Cerpen : Bos Aku Ke Tu?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s