Cerpen : Ikut Cakap Suami

Malam itu malam Sabtu. Ramadhani mula kelam kabut. Kurang dari 2 saat, dia akan menjeling ke arah jam berwarna merah hati yang tergantung di dinding dapur rumahnya itu. Cepat-cepat dia menyiapkan masakan untuk dihidangkan kepada suami tercinta buat juadah makan malam. Alamak, dah nak masuk waktu Isyak ni, dia mengomel  sendiri. Jam sudah menunjukkan tepat pukul 8.30. Nasib baiklah tinggal sayur terung  yang digoreng berlada. Selesai menutup api dapur, Ramadhani menghela nafas lega. Rasanya lebih daripada lipas kudung dia memasak  bermula selepas solat Maghrib tadi.

Suaminya masuk ke ruang dapur, siap berbaju melayu, berkain pelikat dan berkopiah. “Awak tak nak pergi ke, yang?” Ramadhani buat muka pelik. “Nak pergi mana, bi?” Dia menapak ke sinki, memulakan proses pencucian pula. “Tarawih lah sayang ooii.” Ramadhani teguk liur. Alamak, macamana aku boleh lupa malam ni dah mula Tarawih, bisiknya dalam hati. Err..macamana ni, ya? Otaknya ligat memikirkan alasan. “Tak apalah, bi pergi seorang sajalah malam ni. Lagipun yang baru siap masak. Nak mandi dulu. Yang janji, malam esok yang ikut bi solat ek?” Mata Syawal direnung dengan wajah mohon simpati. “Hmm…yelah. Lepas ni terus mandi, solat Isyak. Jangan nak duduk ngadap tv dulu.” Walaupun bicara suami itu lembut tetapi amat menusuk ke dada Ramadhani. Terlalu sedar, lelaki itu sudah begitu memahami perangainya.”Abang pergi dulu.” Dia cepat mengangguk. Hajat di hati mahu membereskan semua kerja sebelum jarum jam itu menunjuk ke arah angka 9.

Siap sahaja kerja dia terus berlari mendapatkan remote tv lantas membuka saluran yang dimahukan. Nasib baik tak mula lagi. Dia mula menyandar. Cerita ni mesti tengok dari awal. Dari intro lagi kalau tak, macam tak sempurna. Ralitlah Ramadhani menonton drama Nur Kasih kegemarannya untuk kira-kira 5 minit sebelum diganggu oleh iklan yang berkepuk-kepuk. Dia berkira-kira sama ada mahu solat dahulu ataupun menunggu sehingga cerita itu tamat. Kalau aku sembahyang sekarang, nanti tak khusyuk. Agak-agak suami aku ni balik pukul berapa, ya? Kalau aku tak solat lagi, teruk aku kena marah nanti. Suka lengah-lengahkan solat. Namun, dia tidak peduli. Menghayati drama itu sampai menangis-nangis.

Pukul 9.50, dia dengar bunyi enjin motor suaminya masuk ke perkarangan rumah. Alamak! Apa yang harus kulakukan ketika ini? Nasib baik suaminya membawa kunci rumah kalau tidak macamana dia nak lindung kegiatannya. Dia terus berlari mencapai tuala dan terus ke bilik air. Selepas solat Isyak, bergegas pula menyiapkan makanan. 10 minit semua sudah selesai. “Bi, jom makan.” Dia mengerling ke arah suaminya yang sedang duduk mengambil gilirannya di hadapan tv. Syawal menggamit meja makan yang tidak berapa jauh dari ruang tamu itu. “TV lagi penting dari solat,ya yang?” Rasa macam bom jangka saja soalan suaminya itu. Dia menggeleng kemudian mengangguk. “Yang tahu mana yang lebih penting tapi tak bolehlah, bi. Bi kan tahu yang suka sangat dengan cerita tu. Tak boleh ketinggalan satu scene pun.”

Syawal mengeluh perlahan. Tetapi dia sedar, sejak drama itu ke udara , begitulah tabiat isterinya. Dah banyak kali ditegur. Syawal kira dia harus menerima kerana tahu tabiat itu hanya wujud pada malam Sabtu sahaja. “Ikutlah, yang. Jangan dibuat tiap-tiap hari sudah. Nanti abang rotan, tau?” Syawal senyum, memberi bunga gurau buat si isteri yang bimbang. Ramadhani senyum. Dia tahu, dia kena ikut cakap suaminya. Ke arah kebaikan…itulah yang sepatutnya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s