Laki Aku Oh Laki Aku

Jamiyah seronok tahun ni. Yalah, dapat sambut puasa dan sekali gus beraya kali pertama sebagai seorang isteri. Dia rasa satu perasaan yang sangat indah. Tak sabar rasanya nak menanti 1 Ramadhan walaupun tinggal hanya 2 hari sahaja lagi. Hidung Jamiyah kembang semangkuk. Dia berazam untuk menyediakan juadah sahur dan berbuka puasa nanti dengan masakannya sendiri. Bukanlah dia hendak riak tetapi ahli keluarga malah kawan-kawannya kata memang masakannya sedap sehingga menjilat lima jari. Jamiyah senyum penuh riang.

Esoknya, selepas pulang dari kerja dia terus ke pasaraya untuk membeli barang dapur yang mana tidak ada. Ikan bilis, telur, telur masin, udang kering, sayur sawi , timun dan kacang buncis sikit. Cukuplah tu. Kalau dah habis nanti beli lagi, Jamiyah berkira sendiri sambil mengelek bakul ke kaunter pembayaran. Dia sudah berkira-kira apa yang hendak dimasak.  Pulang ke rumah dilihatnya kereta suaminya sudah berada di hadapan rumah. Dia memberhentikan kereta di belakang kereta Waja berwarna kelabu itu. Kemudian mengangkut plastik barang-barang.

“Maaflah, bang. Miyah pergi beli barang kat Giant tadi.” Jamiyah segera mohon maaf pada suami yang sedang duduk membaca suratkhabar. “Hmm.” Itu sahajalah jawapan yang memang dah maklum dek Jamiyah. Gitulah gayanya setiap kali membaca akhbar. Ibarat seorang pemikir yang perlu meneliti setiap berita yang tertulis di dalamnya. Jamiyah berlalu ke dapur, meletakkan barang-barang ke dalam peti ais dan kabinet dapur. Dia kembali ke ruang tamu dengan menatang secawan kopi panas. “Dah lama ke abang balik?” Jamiyah teruja nak berborak dengan suami yang dinikahi 5 bulan lalu. “Hmm.” Masih itu lagi jawapannya. Jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang. Pukul berapa Alauddin  sampai rumah kalau katanya dah lama. Keluar dari pejabat pukul 5, dari pejabat ke rumahnya sudah memakan masa 45 minit. Biar betul laki aku ni. Dia menjeling ke arah Alauddin yang sudah membaca ruangan sukan di muka surat belakang. Nampak gayanya dah nak habis, getus hati Jamiyah.

“Minumlah, bang. Petang esok kita dah tak boleh minum macam ni. Kalau abang nak kopi kena tunggu masa buka puasa.” Jamiyah senyum. Dia masih lagi berusaha membawa suaminya ke dunia perbualannya. “Emm, esok dah puasa, ya sayang?” Galak sakan Jamiyah bila dengar suaminya mula bersuara. “Pagi esok kita nak sahur. Abang nak makan apa untuk sahur? Sayang boleh sediakan bahan sekejap lagi. Esok terus masak.” Dia menongkat di lutut suaminya yang sedang menyandar di sofa. Sedang dia duduk bertimpuh di atas karpet. “Err..sebut pasal sahur. Maaflah, abang lupa nak beritahu sayang. Mak ajak bersahur rumah dia.” Muka Alauddin dah macam muka orang bersalah.

Jamiyah sedikit terkejut. Kenapa pulak kena bersahur kat rumah mak mertua aku tu? “Ala..sahur tak payahlah, bang. Berbuka puasa nanti kita pergi rumah mak, ya? Tapi tunggulah hari kedua atau ketiga ke. Sayang nak sambut puasa dengan abang.” Jamiyah cuba memujuk. “Abang dah janji dengan mak. Nanti merajuk pulak dia.” Suaminya mula bersuara perlahan, mendayu-dayu sahaja di telinga Jamiyah. Jamiyah rasa hendak menangis. Tapi, dia tahu dia dah tak kuasa nak melawan. Dia membantah pun, Alauddin akan bertegas juga dengan janjinya tu. Dia tahu betapa rapatnya Alauddin dengan emaknya.

Setelah menyiapkan makanan, Jamiyah masuk ke bilik tidur untuk mengejutkan suaminya. Beberapa kali digoncangnya tubuh suaminya itu, lelaki itu tetap membeku. Lagi susah rasanya mengejutkan suaminya pagi itu berbanding sebelum ini. Jam sudah pukul 5 suku pagi. Sedang berkira-kira hendak mengambil air untuk disapukan ke muka suaminya, daun pintu yang sedia renggang diketuk. “Biarkanlah Audin tu, Miyah. Kamu tak biasa. Dia memang macam tu. Marilah kita makan dulu.” Jamiyah terpaksa akur, membuntuti langkah ibu mertuanya ke ruang makan. Ayah dan keluarga kakak sulung Alauddin seramai 4 orang sudah mula menyuap makanan. “Makan dulu, Miyah.” Kak Dijah mengajak.

Jamiyah risaukan Alauddin. Dia selalu ingat kata Alauddin, yang dia tak tahan kalau tak alas perut masa bersahur. Nanti dia langsung tak bertenaga siangnya. Tengah dia menyua sebiji dua nasik ke dalam mulutnya, dia nampak ibu mertuanya sibuk meletakkan nasi dan lauk di dalam pinggan lain. Kemudian air teh o yang dibancuhnya tadi dituang dalam mug. Menonong orang tua itu berjalan menuju ke biliknya. Jamiyah hanya lihat dengan ekor mata. 10 pasang mata yang lain tertumpu ke arah muka Jamiyah yang kehairanan teramat sangat. Jamiyah tidak puas hati. Dia terus meluru ke bilik tidurnya.  Terkedu Jamiyah apabila melihat suaminya yang sedang duduk di atas katil asyik mengunyah makanan dengan mata tertutup rapat. Selimut di badannya pun masih membungkus. Ibu mertua ‘ku’ memang seorang yang penyayang. Huhu. Penyayang salah tempat!!! Jamiyah mendengus. Patutlah dia tak nak bersahur di rumah rupa-rupanya selama ini dia bersahur dengan disuapkan oleh ibunya. Alahai laki aku…jerit Jamiyah dalam hati.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s