Tipah Demam

Tipah sedang berbaring di sofa di ruang tamu sambil memicit-micit dahinya. Lemah sungguh rasa badan. Nak makan pun tak larat. Dia mengerling ke arah tingkap cermin yang dibuka sejak selepas Subuh. Hari memang sudah terang benderang. Jam di dinding pun dah menunjukkan pukul 10. Dia mencapai bungkusan koyok yang diambil dari dalam laci  simpanan barang-barangnya. Plastik berwarna putih kuning itu dikoyakkan lalu dicapai 2 keping koyok. Ditampalnya ke dahi kiri dan kanannya.

Perutnya terasa lapar dan dia sepatutnya makan ubat untuk mengurangkan rasa sakitnya itu. Perlahan-lahan dia menapak ke dapur. Nasib baiklah rumahnya bukan banglo. Jalan dua tiga tapak sahaja sudah sampai ke dapur yang memuatkan kabinet berwarna coklat dan meja makan 4 kerusi. Dia senyum sendiri. Rumah kampung macam ni aku nak bandingkan dengan banglo, Tipah bicara sendiri.  Setelah mengambil sekeping roti dan membancuh segelas susu serta mengambil sebungkus ubat dari dalam peti ais, dia kembali ke ruang tamu. Dia makan perlahan-lahan kemudian dia menelan ubat mengikut arahan yang diberikan. Tidak lama, kesan ubat selsema bentuk air itu mula meresap ke dalam tubuhnya. Dia baring dan mahu melelapkan mata.

Dia tersedar apabila bahunya digoncang berulang kali. Terpisat-pisat dia membuka mata. “Hmm mak. Dah lama ke mak balik?” Dia bertanya apabila matanya menangkap objek tubuh ibunya yang bertudung. “Baru sampai ni. Apa yang kau buat kat rumah seharian ni, Tipah? Kamu tak kerja ke?” Mak duduk di sofa, di sebelah kiri Tipah. Tipah hairan, kenapa emak bertanya. Emak tahu yang dia cuti sakit hari ini. Rasanya koyok yang ditampal tadi sudah cukup menjelaskan kondisinya yang tidak sihat. Dia nampak emak menebarkan pandangan ke seluruh ruang tamu yang dicat warna maroon dan putih gading itu, “Ya Allah, kalau kamu cuti tak apalah. Tapi dah kebetulan cuti tu tolonglah mak kemaskan rumah ni.” Tipah rasa sakit kepala lagi. Takkanlah dalam keadaan macam ni pun emak nak dia buat kerja-kerja rumah? Bila masa pulak emak dah jadi emak Bawang Putih Bawang Merah ni?

“Tipah demamlah, mak. Sakit kepala, selsema.” Dia meraih simpati emak. Emak tenung wajah Tipah yang sudahpun duduk. “Tak ada gaya macam orang demam pun. Gaya orang terlebih tidur adalah.” Emak bersandar kepenatan, badannya rasa bertambah penat apabila melihat keadaan rumah. Adik-adik lelaki Tipah sudah ke sekolah dan biasanya tuala mandi  dibiarkan merata tempat. Dengan keadaan buku-buku sekolah yang tidak dibawa tetapi disepahkan di atas lantai. “Mak tengoklah ni. Tipah pakai koyok. Mak rasa badan Tipah. Panasss.” Dia menarik tangan emak ke lehernya. “Sejuk saja mak rasa. Kamu ni biar betul Tipah.” Tipah pula tercengang. dia meraba dahi kemudian mengalih pandangan ke atas meja. Eh, mana bungkusan ubat tadi? Takkan aku mengigau kot, Tipah bertanya dirinya sendiri. “

Kau tu bukan mengigau Tipah tapi seriau sebab budak Osman tu ajak kau makan tengahari dekat dengan pejabat kau kan?” Tipah garu kepala yang tidak gatal. Dia cuba mengingati imej Osman yang disebut oleh emak. Lelaki yang berkaca mata bulat dan gempal itu memang tidak pernah bosan mengajaknya keluar. Dia tidak kisah berkawan dengan sesiapa sahaja tetapi setiap keluar dengan lelaki itu, dialah yang membayar semua bil makanan. Kalau sedikit, tak mengapa. Ini makan untuk stok seminggu. Tak ke nipis duit Tipah. Ngeri Tipah mengingatkannya. Trauma dan hingga  merasakan diri sendiri demam tapi hakikatnya dia sihat walafiat. Sudahnya, Tipah bangun lalu meminta izin dengan emak untuk membeli cendol Mak Lijah di simpang kedai depan sana. Malu dan nak lindung rasa malu itu. Harap-harap emak tak ceritakan lawak di pagi hari itu kepada abah dan adik-adik. Kalau tidak dia akan mengalami rasa malu yang berlipat ganda lagi. Haru la kau ni, Tipah!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s