Dah Nak Raya

Betullah ya…pejam celik pejam celik, dah nak ke penghujung Ramadhan. Rasa sedih pun ada sebab bulan Ramadhan ni memang rasa lain sangat. Rasa tenang dan seronok walaupun berada dalam keadaan lapar, kan? Lebih kurang 3 atau 4 hari lagi kita akan beraya tapi suasana tu tak terasa sangat. Bila dengar lagu raya, naiklah mood sikit. Lain kan suasana raya dulu dengan sekarang.

Hmmm..raya ni aku akan beraya di kampung my adeng nun..kat Sarawak. Insya Allah, hari Jumaat ni aku akan terbang dari LCCT ke Sibu naik Air Asia. Teruja tak? Biasa saja kot. Tak tahulah nape…mungkin sebab suasana raya diorang kat sana lain. Tak semeriah macam kat Semenanjung. Yalah, malam raya kitaorang boleh relaks lagi tak buat apa-apa. Tapi, disebabkan aku nak rasa juga makanan raya, my adeng suruh buat sendirilah apa yang aku nak makan. Sebelum-sebelum ni aku pernahlah rebus ketupat segera, buat kuah kacang dan masak rendang daging. Barulah terasa sikit. Diorang kat sana tak ada makanan berat di pagi raya. Tengahari pun diorang dah makan nasi macam biasa. Selalunya kalau kat rumah Pekan, raya pertama tu memang kitaorang pulun makan nasi daganglah, laksalah, nasi minyaklah, sotolah yummm sedapnya…Hari raya kedua baru masak macam biasa. Perut melayu ni mana boleh kalau tak menjamah nasi putih, kan?

Lepas sembahyang raya, kitaorang makanlah apa yangdah dimasak. Lepas tu tunggu tetamu yang datang. Dalam lepas Zohor, baru gerak pergi rumah saudara mara my adeng. Hidangan yang sama di setiap rumah ialah kek lapis. Kalau ada kek yang lain daripada rumah mak mertua aku aku makan le. Kalau tak, tunggu balik rumah, sambung makan lagi. Bab makan kek lapis Sarawak ni memang puaslah kalau duduk sana. Macam-macam bentuk, macam-macam lapis, macam-macam warna boleh dinikmati sama ada yang berkukus ataupun dibakar. Hehehe.

Nantilah aku update cerita raya tahun ni pulak. Aku akan berada di sana dari hari Jumaat ni sampai 30hb 9.

kek sarawak

hari-raya

Beli belah Lagi?

Hehe..hari Sabtu kat rumah sahaja sebab my adeng ada kerja pejabat sikit. Aku memang relaks betul aritu. Petang pulak, memang tak masak. Kitaorang pergi pasar Ramadhan kat LRT Wangsa Maju tu. Aku dah aim nak beli gulai kawah. Bila tanya harga, RM5 sepaket. Entam sajalah, dah teringin nak makan. Lepas tu beli  sotong goreng kunyit, kuih burger Malaysia ngan bingka ubi. Nampak macam sedap lah. My adeng lak beli donut ngan ayam percik. Banyak kan? Entahlah…aritu lapar semacam je. Hmm..yalah, kitaorang tak sedar sahur sebab dah pergi makan kat gerai pukul 2 pagi tu.

Sampai rumah, set up untuk berbuka. My adeng  bancuh air bandung. Bila azan, apa lagi serang la. Lauk-lauk semua ok. Cuma yang malangnya kuih-kuih semua tak sedap. Kecewanyalah. Kenapalah sampai hati jual makanan macam tu? Lastnya buang sajalah kuih-kuih tu.Huhu.

Dah lepas solat tarawih, kitaorang layan tengok tv. Aku dok menunggu cerekarama pukul 10. Anna Maria, lakonan Fahrin Ahmad ngan Elly Mazlein. My adeng macam ajak minum kat Bangi Kopitiam. Tapi, aku rasa kenyang sangat. Aku cakaplah, pergilah lepas drama habis. Tak lama, dia bersiap. Mungkin nak beli makanan ringanlah tu. Tak lama, dia balik dengan sebungkus plastik Petronas. Mengadaplah kitaorang depan tv makan kacang. My adeng enjoy tengok cita tu. Aku pun bukan semua cita aku layan. Mana yang aku rasa best aku layan la. Kredit untuk lakonan Fahrin dan Elly yang bersahaja.

Hari minggu, seawal pagi kitaorang gerak ke Mydin Subang Jaya. Nak beli biskut raya, nak bagi kat rumah Pekan ngan Sarawak. Aku beli 6 bekas kuih. 3 untuk rumah Pekan, 3 untuk rumah Sarawak. Lepas bayar kitaorang gerak ke satu lagi destinasi. My adeng tak bagitahu pun nak pergi mana tapi aku dah boleh agak bila tengok signboard ke Putrajaya. Dia pun dok ajak aku pergi Pasar Borong Putrajaya. Destinasi kitaorang ialah ke jualan gudang kat Persint 2, Putrajaya. Ramai jugak orang kat sini. Tak adapun yang kitaorang beli cuma 4 tin nescafe yang dijual dengan harga RM5 untuk 4 tin tu dan sebungkus milo. Berasak-asak orang kat sana. Sendat, padat. Balik dari situ kitaorang singgah Giant Taman Permata. Nak beli lauk untuk masak. Baru sehari makan makanan kat pasar Ramadhan, tekak aku dah rindu masakan rumah.

Pastu kitaorang singgah kedai jual makanan ringan, kacang dan kerepek kat kawasan tu jugaklah. My adeng beli makanan untuk rumah Sarawak. Rumah Pekan tak payahlah sebab aku tahu adik-adik aku mesti belikan nanti. Fuh, tekak rasa dahaga dan perut dah mula rasa lapar. Masa tu dah pukul 2 lebih. Dari situ, pergi Taman Melawati pulak, ambil seluar baju Melayu dan kain sampin my adeng.Keluar dari kereta, bukan main banyak plastik yang aky bawak. Shopping sakan ni.

Sampai rumah, aku terus sembahyang Zohor. Disebabkan kain kotor dah penuh bakul, aku pusingkanlah mesin basuh tu. Nak relaks kejap. Rasa macam dah tak ada tenaga. My adeng dah selamat tidur dah kat ruang tamu. Aku pulak sempat baca suratkhabar dulu. Sedar tak sedar aku dah tertidur. Tersedar pukul 4 lebih. Rasa lambat pulak jam ni bergerak. Aku lepak kat ruang tamu sekejap sampai pukul 5. Lepas tu solat Asar. Hm…masa untuk memasak dah tiba dan bermulalah tugas aku menyiapkan juadah berbuka puasa. Aku masak asam pedas ikan kembung yang aku ubah sikit resepinya, kacang buncis goreng dengan udang dan ikan kembung goreng kering. Air pulak…teh o ais. Itu pun dah cukup menyelerakan. Adik-adik aku datang berbuka puasa kat rumah. Tambah lagi makanan, ayam percik ngan murtabak.

Aku rasa macam dah tak ada barang yang nak dibeli tapi rasa macam ada. Alamak, bila kerja-kerja membeli belah nak habis ni?

Cerpen : Ikut Cakap Suami

Malam itu malam Sabtu. Ramadhani mula kelam kabut. Kurang dari 2 saat, dia akan menjeling ke arah jam berwarna merah hati yang tergantung di dinding dapur rumahnya itu. Cepat-cepat dia menyiapkan masakan untuk dihidangkan kepada suami tercinta buat juadah makan malam. Alamak, dah nak masuk waktu Isyak ni, dia mengomel  sendiri. Jam sudah menunjukkan tepat pukul 8.30. Nasib baiklah tinggal sayur terung  yang digoreng berlada. Selesai menutup api dapur, Ramadhani menghela nafas lega. Rasanya lebih daripada lipas kudung dia memasak  bermula selepas solat Maghrib tadi.

Suaminya masuk ke ruang dapur, siap berbaju melayu, berkain pelikat dan berkopiah. “Awak tak nak pergi ke, yang?” Ramadhani buat muka pelik. “Nak pergi mana, bi?” Dia menapak ke sinki, memulakan proses pencucian pula. “Tarawih lah sayang ooii.” Ramadhani teguk liur. Alamak, macamana aku boleh lupa malam ni dah mula Tarawih, bisiknya dalam hati. Err..macamana ni, ya? Otaknya ligat memikirkan alasan. “Tak apalah, bi pergi seorang sajalah malam ni. Lagipun yang baru siap masak. Nak mandi dulu. Yang janji, malam esok yang ikut bi solat ek?” Mata Syawal direnung dengan wajah mohon simpati. “Hmm…yelah. Lepas ni terus mandi, solat Isyak. Jangan nak duduk ngadap tv dulu.” Walaupun bicara suami itu lembut tetapi amat menusuk ke dada Ramadhani. Terlalu sedar, lelaki itu sudah begitu memahami perangainya.”Abang pergi dulu.” Dia cepat mengangguk. Hajat di hati mahu membereskan semua kerja sebelum jarum jam itu menunjuk ke arah angka 9.

Siap sahaja kerja dia terus berlari mendapatkan remote tv lantas membuka saluran yang dimahukan. Nasib baik tak mula lagi. Dia mula menyandar. Cerita ni mesti tengok dari awal. Dari intro lagi kalau tak, macam tak sempurna. Ralitlah Ramadhani menonton drama Nur Kasih kegemarannya untuk kira-kira 5 minit sebelum diganggu oleh iklan yang berkepuk-kepuk. Dia berkira-kira sama ada mahu solat dahulu ataupun menunggu sehingga cerita itu tamat. Kalau aku sembahyang sekarang, nanti tak khusyuk. Agak-agak suami aku ni balik pukul berapa, ya? Kalau aku tak solat lagi, teruk aku kena marah nanti. Suka lengah-lengahkan solat. Namun, dia tidak peduli. Menghayati drama itu sampai menangis-nangis.

Pukul 9.50, dia dengar bunyi enjin motor suaminya masuk ke perkarangan rumah. Alamak! Apa yang harus kulakukan ketika ini? Nasib baik suaminya membawa kunci rumah kalau tidak macamana dia nak lindung kegiatannya. Dia terus berlari mencapai tuala dan terus ke bilik air. Selepas solat Isyak, bergegas pula menyiapkan makanan. 10 minit semua sudah selesai. “Bi, jom makan.” Dia mengerling ke arah suaminya yang sedang duduk mengambil gilirannya di hadapan tv. Syawal menggamit meja makan yang tidak berapa jauh dari ruang tamu itu. “TV lagi penting dari solat,ya yang?” Rasa macam bom jangka saja soalan suaminya itu. Dia menggeleng kemudian mengangguk. “Yang tahu mana yang lebih penting tapi tak bolehlah, bi. Bi kan tahu yang suka sangat dengan cerita tu. Tak boleh ketinggalan satu scene pun.”

Syawal mengeluh perlahan. Tetapi dia sedar, sejak drama itu ke udara , begitulah tabiat isterinya. Dah banyak kali ditegur. Syawal kira dia harus menerima kerana tahu tabiat itu hanya wujud pada malam Sabtu sahaja. “Ikutlah, yang. Jangan dibuat tiap-tiap hari sudah. Nanti abang rotan, tau?” Syawal senyum, memberi bunga gurau buat si isteri yang bimbang. Ramadhani senyum. Dia tahu, dia kena ikut cakap suaminya. Ke arah kebaikan…itulah yang sepatutnya.

Laki Aku Oh Laki Aku

Jamiyah seronok tahun ni. Yalah, dapat sambut puasa dan sekali gus beraya kali pertama sebagai seorang isteri. Dia rasa satu perasaan yang sangat indah. Tak sabar rasanya nak menanti 1 Ramadhan walaupun tinggal hanya 2 hari sahaja lagi. Hidung Jamiyah kembang semangkuk. Dia berazam untuk menyediakan juadah sahur dan berbuka puasa nanti dengan masakannya sendiri. Bukanlah dia hendak riak tetapi ahli keluarga malah kawan-kawannya kata memang masakannya sedap sehingga menjilat lima jari. Jamiyah senyum penuh riang.

Esoknya, selepas pulang dari kerja dia terus ke pasaraya untuk membeli barang dapur yang mana tidak ada. Ikan bilis, telur, telur masin, udang kering, sayur sawi , timun dan kacang buncis sikit. Cukuplah tu. Kalau dah habis nanti beli lagi, Jamiyah berkira sendiri sambil mengelek bakul ke kaunter pembayaran. Dia sudah berkira-kira apa yang hendak dimasak.  Pulang ke rumah dilihatnya kereta suaminya sudah berada di hadapan rumah. Dia memberhentikan kereta di belakang kereta Waja berwarna kelabu itu. Kemudian mengangkut plastik barang-barang.

“Maaflah, bang. Miyah pergi beli barang kat Giant tadi.” Jamiyah segera mohon maaf pada suami yang sedang duduk membaca suratkhabar. “Hmm.” Itu sahajalah jawapan yang memang dah maklum dek Jamiyah. Gitulah gayanya setiap kali membaca akhbar. Ibarat seorang pemikir yang perlu meneliti setiap berita yang tertulis di dalamnya. Jamiyah berlalu ke dapur, meletakkan barang-barang ke dalam peti ais dan kabinet dapur. Dia kembali ke ruang tamu dengan menatang secawan kopi panas. “Dah lama ke abang balik?” Jamiyah teruja nak berborak dengan suami yang dinikahi 5 bulan lalu. “Hmm.” Masih itu lagi jawapannya. Jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang. Pukul berapa Alauddin  sampai rumah kalau katanya dah lama. Keluar dari pejabat pukul 5, dari pejabat ke rumahnya sudah memakan masa 45 minit. Biar betul laki aku ni. Dia menjeling ke arah Alauddin yang sudah membaca ruangan sukan di muka surat belakang. Nampak gayanya dah nak habis, getus hati Jamiyah.

“Minumlah, bang. Petang esok kita dah tak boleh minum macam ni. Kalau abang nak kopi kena tunggu masa buka puasa.” Jamiyah senyum. Dia masih lagi berusaha membawa suaminya ke dunia perbualannya. “Emm, esok dah puasa, ya sayang?” Galak sakan Jamiyah bila dengar suaminya mula bersuara. “Pagi esok kita nak sahur. Abang nak makan apa untuk sahur? Sayang boleh sediakan bahan sekejap lagi. Esok terus masak.” Dia menongkat di lutut suaminya yang sedang menyandar di sofa. Sedang dia duduk bertimpuh di atas karpet. “Err..sebut pasal sahur. Maaflah, abang lupa nak beritahu sayang. Mak ajak bersahur rumah dia.” Muka Alauddin dah macam muka orang bersalah.

Jamiyah sedikit terkejut. Kenapa pulak kena bersahur kat rumah mak mertua aku tu? “Ala..sahur tak payahlah, bang. Berbuka puasa nanti kita pergi rumah mak, ya? Tapi tunggulah hari kedua atau ketiga ke. Sayang nak sambut puasa dengan abang.” Jamiyah cuba memujuk. “Abang dah janji dengan mak. Nanti merajuk pulak dia.” Suaminya mula bersuara perlahan, mendayu-dayu sahaja di telinga Jamiyah. Jamiyah rasa hendak menangis. Tapi, dia tahu dia dah tak kuasa nak melawan. Dia membantah pun, Alauddin akan bertegas juga dengan janjinya tu. Dia tahu betapa rapatnya Alauddin dengan emaknya.

Setelah menyiapkan makanan, Jamiyah masuk ke bilik tidur untuk mengejutkan suaminya. Beberapa kali digoncangnya tubuh suaminya itu, lelaki itu tetap membeku. Lagi susah rasanya mengejutkan suaminya pagi itu berbanding sebelum ini. Jam sudah pukul 5 suku pagi. Sedang berkira-kira hendak mengambil air untuk disapukan ke muka suaminya, daun pintu yang sedia renggang diketuk. “Biarkanlah Audin tu, Miyah. Kamu tak biasa. Dia memang macam tu. Marilah kita makan dulu.” Jamiyah terpaksa akur, membuntuti langkah ibu mertuanya ke ruang makan. Ayah dan keluarga kakak sulung Alauddin seramai 4 orang sudah mula menyuap makanan. “Makan dulu, Miyah.” Kak Dijah mengajak.

Jamiyah risaukan Alauddin. Dia selalu ingat kata Alauddin, yang dia tak tahan kalau tak alas perut masa bersahur. Nanti dia langsung tak bertenaga siangnya. Tengah dia menyua sebiji dua nasik ke dalam mulutnya, dia nampak ibu mertuanya sibuk meletakkan nasi dan lauk di dalam pinggan lain. Kemudian air teh o yang dibancuhnya tadi dituang dalam mug. Menonong orang tua itu berjalan menuju ke biliknya. Jamiyah hanya lihat dengan ekor mata. 10 pasang mata yang lain tertumpu ke arah muka Jamiyah yang kehairanan teramat sangat. Jamiyah tidak puas hati. Dia terus meluru ke bilik tidurnya.  Terkedu Jamiyah apabila melihat suaminya yang sedang duduk di atas katil asyik mengunyah makanan dengan mata tertutup rapat. Selimut di badannya pun masih membungkus. Ibu mertua ‘ku’ memang seorang yang penyayang. Huhu. Penyayang salah tempat!!! Jamiyah mendengus. Patutlah dia tak nak bersahur di rumah rupa-rupanya selama ini dia bersahur dengan disuapkan oleh ibunya. Alahai laki aku…jerit Jamiyah dalam hati.

Baju Yang Dibeli

Sabtu yang lalu, my adeng ajak aku pergi Jalan Tar, nak cari baju raya dia.  Aku pulak? Masih belum tetapkan baju apa aku nak pakai tahun ni. Dah tak nak pakai kurung Pahang sebab tahun lepas dah pakai. Baju kurung macam boring je. Hehehe. Tapi hati aku teringin nak pakai baju kurung Kedah. Tapi, kalau nak cari baju dah siap dah pastinya tak ada. Nak hantar tempah? Sapa yang nak amik? Huhuhu. Terpaksalah aku pendamkan keinginan aku ni. Semua ni disebabkan tak rasa mood raya lagi sebelum ni sebab tu tak buat apa-apa perancangan dan persiapan. Warna tema pun kitaorang tak putuskan nak pakai warna apa.

Mula-mula kitaorang round Kompleks Campbell, my adeng nak survey kasut. Aku follow sajalah. Dah dapat rasa, ini merupakan pusingan memantau harga dan design dulu. Lepas dah habis jenguk semua kedai, dia kata, ni kita tengok dulu. Kalau ada yang berkenan karanglah beli. Aku senyum aje la. Pastu dia ajak pergi Sogo. Huhu. Dalam hati, alahai sah-sah seramai-ramainya orang kat situ. Sampai kat seberang dari Sogo tu, hari Sabtu dan Ahad tu untuk jemputan saja. Jadi, kenalah batalkan niat untuk masuk ke dalam. Yes. Hehehe.

Kemudian kitaorang mulalah start merayau ke tapak pasar malam Jalan Tar, mencari bajunya. Dari Kompleks Campbell tu hinggalah ke Masjid India. Pastu sambung depan Semua House. Semua House pun kitaorang masuk. Mula-mula orang tak ramai sangat. Masa tu dalam pukul 10 lebih.  My adeng dah aim satu kedai setelah melakukan pemantauan terperinci. Hehe. Dia kata nak beli baju warna pink. Hmm…aku pun follow aje. Masa nak patah balik pergi ke kedai yang dia dah aim tu, orang makin ramai, lorong tu dah makin sesak. Terpaksa buat tak tahu saja, kalau dipikirkan boleh pengsan rasanya. Pulak tu, dua kali aku terpijak selipar dia. Akhirnya selipar yang dah sedia uzur tu pun putus, langsung tak boleh pakai. Dia nak pergi betulkan dulu tapi tak ada so, belilah selipar baru. Aku tunggu kat kawasan tu sambil usya baju untuk aku pulak. Aku dah buat keputusan nak pakai kurung moden tahun ni. Hehehe. Ada yang berkenan, tapi harganya dah lebih dari bajet. aku Ish, tak boleh, tak boleh. Tak apalah, setelkan dulu baju my adeng.

Bila my adeng datang semula kitaorang ke kedai. Cuba dan pilih, bertukar tanganlah baju melayu dan kain sampin dengan duit RM135. Rasanya harga tu munasabah. Baju my adeng dah selesai. Rasanya memang tak larat dah nak harung kesesakan kat situ. Jam pun dah pukul 1 lebih. Jadi, kitaorang balik. Nak cari baju aku area Wangsa Maju ke. Kitaorang singgah Carrefour Wangsa Maju. Mak aiii ramainya orang nak beli baju kurung moden ni rupa-rupanya. Sesak kedai-kedai kecil yang ada di sepanjang lorong antara kedai-kedai besar kat situ. Aku masih boleh bertahan tetapi harganya lebih mahal dari Jalan Tar tadi. Dahlah tak ada warna yang aku nak. Huhu.

Dari situ, ingatkan my adeng terus drive balik rumah, rupa-rupanya dia singgah kat pusat membeli belah baru tak jauh dari Carefour tu, Wangsa Walk. Tak siap sepenuhnya tapi hairan dah dibuka kepada orang awam. Kat sini, kitaorang cari kasut. Hmm..tak ada yang berkenan gak. Kedai pun tak banyak lagi yang buka. Sampai rumah, kitaorang rehat sementara tunggu waktu untuk masak. Tiba-tiba aku terfikir, aku ada satu baju kurung warna pink yang ummi aku baru siap jahit. Aku memang nak pakai baju tu masa beraya nanti tapi tak sangka lak my adeng pilih warna pink tahun ni. Hmm..daripada aku membazir baik aku pakailah baju tu raya pertama nanti, sedondon dengan my adeng. Baju kurung pun baju kurunglah, kan? Boleh aku gunakan duit tu untuk benda-benda lain yang baru aku rancang nak beli sempena sambutan raya ni.

pink colour

Iftar @ Zenith Restaurant

Semalam, aku ikut my adeng berbuka puasa dengan kawan-kawan sekerjanya dekat Zenith Restaurant, Desa Petaling. Bagi aku Desa Petaling ni sangat sinonim dengan kedai perabot yang ada kerusi besar dekat luarnya tu. Ala..sekadar design tapi besar kerusi tu. Hehe. Sebenarnya, restoran yang menghidangkan masakan halal cina ni adalah restoran milik Nazrey (bekas anggota Kumpulan Raihan) dengan kawan dia yang juga orang Sabah. Hmm…makanannya boleh tahan.  Aku tak sempat nak amik tahu apa menu yang dihidangkan kat kami . Tapi yang best rasanya sayur kailan, yang tengahnya ada seaweed yang dipotong halus-halus.

Kira aku boleh masuk la dengan chinese food ni walaupun sebelum ni aku agak kurang dengan makanan macam ni.  Aku dah plan dah, makan ni mesti tak kenyang ni. Dah siap rancang nak ajak my adeng pekena roti canai atau roti nan kat kedai mamak bila balik rumah nanti. Tapi, disebabkan makan dalam keadaan lapar kan? Apalagi, bedal sajalah apa yang ada depan mata. Hmm, semalam ada 9 menu. Bayangkanlah…selalu berbuka makan 2 jenis lauk saja… ini?? Masuk menu ketiga aku dah surrender. Nasib baik la satu meja 8 orang. Aku tak duduk semeja ngan my adeng. Aku duduk ngan geng perempuan. Seronok!

Aku malas nak snap gambar. Rugi kan? Masa kitaorang tunggu 2 lauk yang terakhir, Nazrey datang. Hehe. Dia ucap terima kasih sebab datang ke restorannya dan tanya kitaorang dari mana tahu pasal restoran ni? Kitaorang cakaplah, dari internet. Dia entertain kitaorang sampai kitaorang balik. Best! Sebelum tu dia bagi single terbaru dia yang dilancarkan hari ni dekat tempat yang sama. (Nanti aku letak gambar CD tu kat sini). Budak-budak lelaki sibuk mintak autograf. Kitaorang apa lagi, tumpang la sekaki. Yang kelakarnya, budak-budak lelaki lagi over snap gambar dengan Nazrey. Best gak kawan-kawan my adeng ni. Boss dia pun lagi happening. Peramah dan selamba!

So, lepas ni kalau ada sapa-sapa nak merasa masakan cina, bolehlah cuba makan kat restoran ni.


Kek Batik Made By Me

Semalam ada kawan lama tanya melalui chat facebook, macamana caranya nak buat kek batik sebab dia teringin nak makan. Nasib baik aku tahu cara buat sebab zaman budak-budak dulu aku pernahlah buat kek tu. Aku pun dengan senang hati memberikanlah resepi tu pada dia. Lepas dah taip resepi tu pada dia, aku pulak teringin nak makan kek tu. Jadi, aku pun merancang nak beli bahan yang belum ada kat rumah iaitu biskut marie dan nak beli kandos, untuk bahan tambahan.

Sampai kat kawasan rumah, aku singgah Petronas beli barang tu. Sampai rumah, aku solat Asar dulu. Lepas tu barulah bermulanya operasi aku. Bahan-bahan yang aku guna; 1 paket kecil  milo, 1 tin susu pekat, sedikit marjerin, 1 cawan air, satu bungkus biskut marie dan 6 keping coklat kandos.

Mula-mula masukkan air, milo dan susu ke dalam periuk. Kemudian mula kacau di atas api sederhana. Kandos tu dah boleh masukkan dah. Kacau dan kacau sampai adunan jadi likat. Bila dah pekat sikit, tutup api dan sejukkan dalam seminit dua. Biskut marie tadi patahkan dua atau 4. Terpulang kepada citarasa masing-masing. Kemudian masukkan biskut tu ke dalam adunan milo tadi. Kacau sampai sebati. Lepas tu masukkan dalam loyang dan padat-padatkan. Dah siap. Pastu masukkanlah dalam peti ais. Tak nak letak dalam peti ais pun boleh. Aku tak sempat nak snap kek yang aku dah buat tu. Tak apalah, aku copy gambar dalam internet sajalah. Hehe. Sama je rupanya tapi mungkin rasa saja yang berbeza kot.

kek batik

Saad Fikir Tentang Rekod 852 Hari Umar

Dr. Ismail kata khalifah Bani Umaiyyah ke-8, Umar bin Abdul Aziz diibaratkan sebagai penyambung kepada legasi Khulafa’ Ar-Rasyidin. Beliau diiktiraf sebagai Khulafa’ Ar-Rasyidin ke-5 bukan kerana beliau adalah cicit kepada Saidina Umar bin al-Khattab tetapi kerana sikap, kaedah dan pendekatan pemerintahan yang menyamai Khulafa’ Ar-Rasyidin.  Saad rasa kagum dengan kenyataan tersebut. Dia menadah telinga mahu menelan semua maklumat yang dilontarkan oleh pensyarah yang berkaca mata bulat dan penuh uban di kepala itu. Lelaki berusia dalam anggaran 50-an itu tampak agak ringkas dengan kemeja lengan pendek berwarna putih berjalur  halus kuning cair dan seluar slack berwarna coklat gelap. Seorang doktor falsafah tetapi cukup sempoi, bak kata kawan-kawan sekuliahnya. Buku-buku dan kertas-kertas di bilik pejabatnya setinggi siling. Tidak tersusun dan berterabur merata-rata tempat tetapi bila ditebak dengan macam-macam soalan tentang sejarah zaman  pemerintahan khalifah hingga Kerajaan Uthmaniyyah dia mampu menjawabnya dengan tenang, difahami dengan fakta serta bukti yang kukuh. Apa yang paling  membuatkan Saad terlopong ialah dia boleh bercerita tentang sejarah yang telah berlaku beratus-ratus tahun itu seperti seorang ibu menceritakan kisah Pak Pandir kepada anaknya. Macam kita tengok drama, tengok filem, kata Talib, kawan baik Saad.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz amat berhati-hati dengan harta rakyat. Kisah yang popular ialah di mana Khalifah Umar  telah menyediakan dua lilin di rumahnya. Pernah suatu ketika anaknya datang menemuinya, beliau bertanya terlebih dahulu sama ada urusan peribadi atau urusan kerajaan. Sekiranya urusan keluarga, beliau akan memadamkan lilin yang digunakan untuk menyelesaikan urusan-urusan kerajaan. Malah pada zaman pemerintahan beliau, rakyat hidup senang-lenang sehinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tidak ada lagi golongan yang layak menerima bantuan zakat. Beliau telah berjaya melakukan perubahan dalam sistem pemerintahan yang diwarisi daripada khalifah sebelumnya dalam tempoh 852 hari memegang tampuk pemerintahan.

Betapa hebat dan amanahnya khalifah ini. Masih adakah pemimpin seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz pada zaman ini? Atau benar-benarkah wujud penjawat awam atau swasta yang amanah dalam melaksanakan tugasan harian ataupun amanah dalam penggunaan harta pejabat? Syarahan Dr Ismail sentiasa bermain-main dalam kotak ingatan Saad. Sedang dia terus dilambakkan dengan berita-berita penyelewengan yang dilakukan oleh orang atasan dan orang bawahan di zaman yang digelar era langit terbuka ini.  Saad sedih dalam diam.

Puding Raja Kegemaranku

Waktu bulan puasa ni menu kegemaran aku ialah mi kari dan puding raja. Yummy…sedapnya. Puding raja tu resepi tradisional kerabat Diraja Pekan. Selalunya dihidangkan pada majlis-majlis rasmi istana pada zaman dahulu. Tetapi sekarang, bila-bila masa sahaja boleh makan. Dah namanya puding, sudah tentulah menu ni untuk pencuci mulut. Aku baru sahaja makan puding ni semalam. Aku beli kat Bazar Ramadan kat Pekan, Pahang. Alhamdulillah, aku makan seorang je disebabkan my adeng tak minat makanan ni. Aku suka, aku suka.

Setakat ni, aku tak pernah buat sendiri. Sebab ada satu bahan dia yang aku macam tak yakin je nak buat sendiri iaitu jala emas. Jala emas ni diperbuat daripada telur itik. Cara membuatnya menurut mak aku, sama dengan cara buat roti jala. Cari resepi dalam internet, tak ada yang beri penjelasan dengan sebenar-benarnya macamana nak buat jala emas yang betul. Aku nak tahu bancuhannya tu. Ada juga yang aku jumpa resepinya tapi dia tak buat jala emas tu. Aku rasa sedap  juga. Jala emas tu yang menjadi bahan utama menjadikan namanya Puding Raja. Warnanya kuning berkilat. Nak buat dengan telur ayam memang tak menjadi langsung. Insya Allah, dalam bulan puasa ni aku nak buat juga Puding Raja ni. Hehe. Jom tengok apa resepinya?

Bahan-Bahannya :-

15 biji pisang emas, masak dan segar
1 tin susu cair
250 ml air
4 sdb tepung kastad, dibancuh dgn sedikit air
5 sdb gula
1 tin buah campuran, buang air sirapnya
100 gm buah prune kering
minyak utk menggoreng
1/2 sdt garam

Cara- cara :-

1. Panaskan minyak dalam kuali. Goreng pisang sehingga perang. Masukkan ke dalam mangkuk kaserol.
2. Tabur buah prune ke atas pisang tadi. Ketepikan.
3. Masukkan susu cair, air, tepung kastad, gula dan garam ke dalam periuk. Kacau di atas api sederhana sehingga pekat dan tidak berketul.
4. Kemudian tuang ke atas pisang tadi. Tabur buah campuran ke atasnya.
5. Sedia dihidangkan. Boleh juga tabur kuih jala emas di atas.

puding raja

Gambar diambil dari kacip.blogspot.com