Pungguk Rindukan Emak

Pungguk duduk termenung sambil menongkat dagu di muka pintu. Hujan petang yang tempias masuk tidak dipedulikan. Matanya ralit dan tepat ke jalan masuk ke rumahnya. Jalan kecil dihiasi dengan pokok puding yang ditanam di kiri kanan jalan yang bertar itu. Jalan itu baharu sahaja ditarkan beberapa bulan lepas. Entahlah, Pungguk sendiri tidak pasti bilakah hari yang setepatnya. Apa yang dia tahu telinganya rasa tidak selesa dengan bunyi kenderaan yang melenyek batu-batuan tar itu. Tidurnya terganggu dan selalunya babah akan melarang dia duduk di muka pintu. Dia tidak suka dengan suasana itu. Tempat itu adalah pot yang selesa untuk melepak setiap petang selepas dia terjaga dari tidur. Rutinnya mudah, pagi bangun pukul 10. Bangun sarapan kemudian bermain-main. Sudah tengahari, makan lagi. Selalunya selepas makan tengahari babah suruh dia tidur. Kalau diikutkan dia tidak mahu kerana dia masih sibuk dengan permainannya. Sampai malam pun dia tidak akan habis bermain.

“Hai, bila emak nak balik ni? Orang dah lama tunggu ni.” Dia membebel sendirian. Memandangkan rumahnya agak jauh dari rumah orang lain, jalan utama yang menyambungkan jalan ke pekan hingga ke hujung kampung jarang dilalui oleh orang kampung. Orang paling kerap lalu pun sudah tentulah Pakcik Tapa yang akan berulang alik dari rumah ke kebun pisangnya yang kalau berjalan kaki dari rumah Pungguk, memang terasa amat memenatkan.

Dia mendengar bunyi bising dari dapur. Tahu sangat dengan kebiasaan babahnya yang sudah mula sibuk memasak di dapur. Mesti babah masak sedap ni. Emak pun sekejap lagi nak balik, Pungguk terus bermonolog sendiri. Hujan sudah mula berhenti. Kawasan rumahnya yang dipenuhi rumput itu sudah digenangi air. Pungguk teruja. Kalau diikutkan hati mahu saja dia melompat ke dalam lopak-lopak dan berkubang sepuas hati tetapi dia takutkan babah. Pasti teruk dia dirotan. Ngeri Pungguk mengingatkan bilah rotan yang tersangkut di dinding tepi biliknya.

“Adik, mari sini. Tolong babah.” Lambat-lambat dia bangun. Di matanya seolah-olah terpandang sekumpulan kanak-kanak sedang riang ria bermain di halaman rumahnya. Sampai di meja dapur yang sudah semakin usang itu, dia menongkatkan dagu pula di situ. “Bila emak nak balik, babah?” Babah yang sedang sibuk menyiang sayur di atas meja itu memandang Pungguk dengan rasa hairan campur geram. Setiap hari itulah yang ditanya. Babah diam. “Pungguk nak emak.” Pungguk sudah mulakan enjinnnya. Babah terus membiarkan Pungguk. Dia rasa dia tidak menang tangan saat itu, dengan kuali yang sudah panas minyaknya untuk diletakkan ayam yang telah dilumur dengan serbuk kunyit dan garam, dengan gulai asam pedas cair ikan parang yang sudah menggelegak., dengan ikan kembung yang dibakar di atas dapur arang. Ini ditambah pula dengan esak Pungguk.

“Pergi masuk bilik Pungguk. Langsung tak boleh tolong babah.” Babah merungut sambil tangannya lincah mengupas bawang. Pungguk masih beku di situ. Mengesat-ngesat air mata yang berjurai dengan belakang tapak tangannya. T-shirt putih yang berlukis kartun Upin Ipin menjadi mangsa pula. Dikesatnya hingus yang dirasakan sudah mengalir. “Babah dah pesankan, jangan kotorkan baju. Pergi cari tuala.” Babah bersuara lembut. “Emak…huhuhu.”Pungguk duduk mencangkung pula di bawah meja. Rasa sedih dan sayu yang teramat sangat. Babah sudah meletakkan ayam yang dipotong kecil ke dalam kuali. Aroma ayam goreng mula menyusuri seluruh rumah. Kemudian api gulai dkecilkan sedikit, supaya ikan dan kuah jadi lebih mesra.

Dia duduk bertinggung mengadap Pungguk yang sudah duduk memeluk kedua-dua lututnya. “Adik dah lupa ya? Emak kan ada kat bilik, sebelah ruang tamu tengah susukan baby.” Pungguk mendongak. Matanya membuntang memandang wajah babah yang berminyak dan telinganya mula menangkap bunyi suara bayi menangis.

Tamat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s